Langgan

ELLE Creative Council: Pamela Tan

Pamela Tan menjadi inspirasi ramai pelapis dalam bidang seni bina dan arca khususnya.
2 minit untuk membaca
Published: November 7, 2024

Cukup berpengalaman dan dikenali dalam bidangnya, Pamela Tan menjadi inspirasi ramai pelapis dalam bidang seni bina dan arca khususnya. Obsesi terhadap rupa dan bentuk dalam struktur rekaan membawa Pamela Tan hari ini bernadi sebagai seorang pereka dalam bidang seni bina yang sentiasa dekat dengan ilham seni tanpa batas.

Ceritakan tentang diri anda

Saya seorang pereka dalam bidang seni bina dan studio yang saya tubuhkan pada tahun 2018 iaitu Poh Sin Studio menjadi destinasi untuk saya meneroka minat dalam bidang ini yang merentasi pelbagai cabang seni. Hasil karya saya kebanyakannya dihasilkan untuk mencipta rasa ingin tahu yang tinggi bagi setiap yang melihat dan pada masa yang sama memberi pengalaman baru daripada sudut pandang berbeza.

Boleh ceritakan bagaimana karier anda bermula?

Pada tahun 2018 saya mendapat peluang untuk menghasilkan installation berskala besar berjudul “Eden” yang menarik perhatian ramai orang. Bermula daripada situ saya mula meneroka dunia seni reka tanpa batas dan pada masa yang sama ia menjadi laluan untuk saya menemukan idea-idea baru.

Adakah apa yang anda lakukan sekarang sebahagian daripada impian masa kecil?

Sebetulnya kalau diingatkan ketika kecil saya tidak memiliki visi yang jelas apa yang akan saya lakukan ketika dewasa. Tapi seingat saya ketika kecil dulu saya sering menggunakan elemen struktur dalam kebanyakan projek yang dilakukan. Daripada situ kedua ibu bapa saya melihat potensi dan menggalakkan saya saya untuk meneroka lebih lagi kemampuan dalam bidang seni bina yang sehingga hari ini menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.

Boleh ceritakan proses kreatif ketika bekerja?

Selalunya bermula dengan persoalan tentang subjek yang mahu dijadikan fokus. Selepas itu rujukan mendalam dilakukan dan naratif disusun sebagai panduan dalam membentuk formasi seni. Saya sukakan fasa eksperimentasi dalam proses kerja di mana ia menjadi peluang untuk saya mencari tahu teknik baru atau material apa yang bersesuaian untuk digunakan. 

Bagaimana anda mentafsirkan hasil karya anda?

Kebanyakan hasil kerja saya memiliki elemen terlindung yang mungkin memerlukan ketajaman penglihatan juga pangamatan. Selain itu setiap kali berkarya saya suka untuk membentuk satu movement yang menjadi kekuatan dalam elemen rekaan seperti garis dan corak.

Ada rujukan tertentu atau ikon pilihan?

Saya sukakan sesuatu yang simple dan organik. Struktur seperti lengkung, garis, sudut dan corak banyak menjadi rujukan saya dalam membentuk sesuatu yang lirikal. Hal-hal ini juga banyak saya dapatkan daripada pemerhatian terhadap alam.  

Apa yang membezakan anda dengan pereka lain?

Secara peribadi saya percaya setiap individu memiliki keunikan yang tersendiri. Sebagai seorang pekerja seni apa yang penting bagi saya adalah kejujuran dalam berkarya dan percaya pada kemampuan sendiri. Setiap pengalaman dilalui saya adaptasikan dalam setiap hasil kerja. 

Apa yang memberi inspirasi buat anda kebelakangan ini?

Saya banyak terinspirasi dengan elemen air dan cahaya. Mungkin kerana ia berkaitan dengan projek terbaru saya yang merupakan arca air pancut yang menggabungkan kedua-dua elemen tersebut. Satu interaksi alam dan seni yang begitu dinamik serta berkembang sepanjang masa.

Jenis muzik yang anda dengarkan ketika berkarya?

Bergantung pada projek tetapi muzik instrumental sangat membantu saya untuk fokus ketika bekerja. Saya juga suka pada muzik yang membangkit mood serta emosi.

Tiga perkataan yang menggambarkan estetika pada gaya rekaan anda?

Intricate, Speculative, Narrative.


Penyelaras: Hafizan Mohd / Athirah Zahra Arahan Seni: Iera Nadzlim Penataan Gaya: Ardi Idewani Fotografi: Azim Mahayudin/Am Studio Solekan: El Manda menggunakan YSL Beauty Dandanan: VV Chan menggunakan Shisheido Professional

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down