Langgan

Oasis Muzik Indie Masa Kini

Muzik menjadi medium membebaskan kreativiti dan ideologi ramai orang. Melodi dan lirik menyatu mentafsir pemikiran dan perasaan.
3 minit untuk membaca
Published: August 8, 2024

Taylor Swift mengusik jiwa dengan cerita patah hati, Ed Sheeran mewakili lelaki-lelaki hopeless romantic dalam lagu-lagu. Sama ada ia cerita bahagia atau sebaliknya, muzik ternyata memainkan peranan penting untuk kita sebagai manusia mengemudi kehidupan dengan lebih warna sebetulnya.

Pemuzik tempatan juga tidak pernah kering idea dalam membuah ilham bermuzik mereka. Pasaran indie antara yang progresif dalam melontar ilham baru dan mencipta bunyi yang tersendiri. Jika dulu Butterfingers, Too Phat dan Hujan pernah membuka mata pendengar temapatan dengan idea mereka, hari ini lebih ramai pemuzik baru tampil radikal dalam membentang idea mereka.

APA ITU INDIE?

Sebuah pembebasan berfikir dan berkarya - Pemuzik indie bebas merangka muzik mereka tanpa terikat dengan apa yang label rakaman mahukan. Karya mereka datang tanpa tapisan, semuanya yang dihasilkan cukup raw dan telus. Daripada proses pembentukan idea, rakaman sehingga pengedaran dan hak cipta juga promosi dilakukan secara sendiri.

Bermula pada era 70-an gerakan muzik ini banyak dihidupkan pemuzik British seperti Joy Division, The Smiths dan Depeche Mode. Kugiran indie ini kesemuanya datang sebagai gerakan alternatif dalam memberi warna serta rasa berbeza dalam menikmati muzik generasi baru ketika itu.

Joy Division

Alunan muzik ketiga-tiga kugiran ini bersulan muzik yang lebih kelam dan berat berbannding muzik komersial yang ada di pasaran semasa. Lirik dalam bait kritikan sosial, kisah jiwa-jiwa tertindas membentuk satu sub-budaya yang mewakili anak muda ketika itu.

Gerakan indie di British menjadi lebih besar ketika Brit Pop diperkenalkan sekitar 90-an. Gelombangnya semakin besar dengan kehadiran kugiran pelapis seperti Blur, Pulp dan Oasis yang menembusi pasaran muzik global dengan begitu sukses sekali.

Di era 2000 sebuah syarikat rakaman di bawah kendalian EMI iaitu Parlophone meneruskan nadi muzik ini untuk lebih hidup dengan kehadiran nama-nama besar seperti Radiohead, Coldplay, Keane dan Franz Ferdinand.

SUB GENRE TERKAIT

Kata indie kerap dikaitkan dengan muzik underground yang sinonim dengan jaluran muzik Rock, Hard Core dan Hip-Hop. Selain itu pemuzik Indie banyak menghasilkan bunyi yang jarang diketengahkan di pasaran muzik semasa yang lebih kemersil sifatnya. Sub genre seperti Punk terkait rapat dengan sub budaya atau cult seperti Skinhead yang sinonim dengan muzik Ska.

KARAKTER DALAM LIRIK

Karakter muzik indie berkait rapat dengan penulisan lirik yang bersifat rebellious. Cukup dominan dalam mengkritik isu sosial dan politik, pemuzik indie sensitif terhadap persekitaran mereka. Kritikan sosialnya keras dalam cerita komuniti yang ditindas juga bersifat minoriti. Pemuzik indie menjadi wakilan suara anak muda yang idea mereka mahu didengar.

Midnight Fusic

PEMUZIK INDIE TEMPATAN

Pasaran muzik tempatan sentiasa diisi dengan bakat-bakat baru yang ideanya banyak dipengaruhi pemuzik luar. Bersulam dengan idea baru yang disatukan dengan cara mereka, terhasil satu bunyi yang cukup segar dan bereksperimentasi.

Butterfingers, OAG dan Hujan sudah melalui zaman indie sehingga meniti era kegemilangan mereka dengan idea baru yang cukup diterima ramai dengan terbuka. Apa yang mereka hasilkan memberi lebih keyakinan bakat-bakat muda untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berani dan meyakinkan.

Melihat katalog muzik tempatan lima tahun kebelakangan ini semakin ramai anak muda tampil yaking menghasilkan muzik sendiri. Hal ini sudah tentu kerana akses untuk menghasillkan dan memasarkan muzik itu lebih mudah capaiannya.

Zamaera

Nama-nama seperti Midnight Fusic, Insomniacks, No Good, Lunadira, Zamaera dan Pastel Lite antara yang diraikan muzik mereka hari ini. Datang dengan idea yang lebih segar dengan infusi muzik yang disatukan daripada pelbagai rujukan serta jaluran.

Kelajuan teknologi serta akses capaian yang mudah hari ini benar-benar membebaskan proses kreatif mereka untuk bergerak dengan mudah dan cepat. Idea yang ada disalurkan secara terus dan tidak terikat dengan hal-hal regulasi yang aturan yang datang dengan lapisan yang bermacam-macam.

Maka dengan itu lahir juga produser muzik indie seperti MFMF. dan Reddirocket yang menciptaka bunyi baru dengan kualiti produksi yang cukup boleh dibanggakan hasilnya. Lagu-lagu seperti "W.H.U.T", "Old Love", "Ur Cute But Boring", "Caramel Cream", "Get Munni" antara sound baru muzik tempatan yang bersifat global.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down