Langgan

Noordin Mews - Persembunyian Sebuah Warisan Pulang Pinang

Sejak diumumkan UNESCO sebagai salah satu kota diiktiraf sebagai World Heritage, Georgetown berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan.
3 minit untuk membaca
Published: December 14, 2024
Fasad hadapan Noordin Mews yang masih dipelihara warisan seni bina asalnya.

Sejak diumumkan UNESCO sebagai salah satu kota diiktiraf sebagai World Heritage,  Georgetown Pulau Pinang tidak pernah sunyi daripada perkembangan pesat sebagai destinasi pelancongan. Bangunan lamanya dipelihara dan dibaik pulih memberi nilai tambah pada kelangsungan hayatnya. Melewati Lebuh Noordin, mata akan tertumpu pada hotel butik Noordin Mews dengan pintu masuk berwarna merah yang begitu menyerlah sekali.

Noordin Mews dibuka buat pengunjung sejak tahun 2012 dengan ilham kolonial. Tahun ini setelah 12 tahun dikunjungi tetamu yang datang daripada pelbagai lapisan usia, bangsa dan warganegara – Noordin Mews menemukan hayat barunya dengan pembukaan semula bilik-bilik yang diberi wajah baru.

Struktur asal bangunan tidak diubah tetapi diberikan cita rasa lebih moden pada pemilihan perabot, dekorasi dan ambien keseluruhannya. Dicipta bagi anda yang mahukan sesuatu yang cukup tenang tanpa kebisingan hiruk pikuk jalan raya utama, Noordin Mews menawarkan sesuatu yang mendamaikan buat pengunjungnya.

Ruang makan di Noordin Mews

Made In Penang!

Melewati bilik yang disediakan di sini, mata saya tertumpu pada pemilihan perabot terutama sekali katil dan almari yang ada di kamarnya. Ada ilham scandinavian dalam ilham peranakan yang di sini - dua elemen yang menyatu cukup baik membentuk idea baru buat pengunjung.

Membentuk semula Noordin Mews dengan ilham segar membawa pereka dalaman yang dilantik iaitu Neoh daripada Studio Eleven mencari tahu cara terbaik bagi mengekalkan keaslian seni bina dan pada masa yang sama memberi nilai tambah pada struktur sedia ada.

Menurut Neoh, kerjasama Studio Eleven bersama Noordin Mews tidak sekadar satu jalinan bisnes tetapi ia adalah penyantuan idea dan jiwa dua badan berbeza dalam merealisasikan satu visi yang serupa. Tambah Neoh cabaran terbesar adalah untuk tidak terlalu mengubah identiti bangunan dan memberi fokus pada perincian dalamannya untuk satu pengalaman baru pengunjung.

Dekorasi menggunakan perabot rekaan By Hogen jenama asal Pulau Pinang

Studio Eleven yang merupakan studio dekorasi dari Penang dan untuk menjadikan projek ini sebagai satu kesinambungan naratif yang menjadikan ia produk Penang, mereka bekerjasama dengan ByHogen, sebuah lagi jenama asal Penang yang menciptakan perabot berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.

ByHogen menjadi dedikasi Neoh dan rakan bisnesnya Goh bagi menciptakan perabot yang ada di Noordin Mews. Bangku yang direka khas diletakkan di setiap bilik tetamu yang berkunjung. Saya perhatikan juga saiz katilnya agak besar berbanding saiz biasa yang kita dapatkan saat berhabisan masa di hotel lain cukup selesa.

Satu hal yang menarik perhatian saya adalah kopi drip yang disediakan di bilik hotel ini. Dibru istimewa oleh barista berasal dari Penang juga. AE Coffee, sebuah kafe yang diusahakan dua anak watan Penang dalam meneruskan minat mereka dengan dunia kopi. Bersama Noordin Mews, pemiliknya Megan dan Jonathan memberi sesuatu yang cukup istimewa buat pengunjung Noordin Mews.

Lebih istimewa, cawan seramik yang diletakkan di hotel ini juga merupakan hasil daripada kerja kreatif anak kelahiran Penang iaitu, Belle Yeoh yang merupakan pemilik jenama seramik, Buttersage. Menurut Belle, projek bersama Noordin Mews ini cukup istimewa kerana dia diberi peluang untuk mereka cawan istimewa dalam kuantiti lebih kuran 60 unit yang dibuatnya sendiri dalam masa tiga bulan.

Di Noordin Mews juga, mereka mementingkan aspek kelestarian. Bahan terbuang seperti plastik dikitar semula dan dijadikan laundry bag dan untuk menjadikan ia satu ilham yang nyata, pihak hotel bekerjasama dengan jenama tempatan iaitu Bungkus. Rekaannya cukup menarik pandangan dan ia sebetulnya benar-benar melengkapi kehendak dan prinsip rekaan hotel ini.

Hotel ini saya kira tempat persembunyian yang cukup mendamaikan. Cukup sesuai untuk pengunjung yang mahukan sesuatu yang terselidung daripada hiruk-pikuk jalan utama Penang yang sentiasa sibuk. Terletak di Lebuh Noordin, jalan kecil yang masih dipelihara keaslian seni binanya. Anda dapat melihatnya dengan berjalan kaki sahaja.

Di sekitarnya terdapat juga beberapa restoran yang harus anda cuba. Antara yang sempat saya kunjungi adalah Gen Communal - sebuah bistro komuniti yang menawarkan hidangan lazat dan ruang yang cukup selesa untuk anda menghabiskan masa bersama teman-teman khususnya. Jika mahu sesuatu yang lebih eksklusif singgah ke TONG sebuah restoran fine dining yang menawarkan pengalaman gastronomi terbaik yang ada di Penang.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down