Langgan

Naratif Baru Seni Bina Kuala Lumpur

Biar sudah berganti generasi, 8 seni bina lama Kuala Lumpur ini bernadi dengan watak dan cerita yang baru.
3 minit untuk membaca
Published: September 15, 2024

REXKL

Dibangunkan sebagai sebuah pawagam terawal di Kuala Lumpur, REX beroperasi pada tahun 1947 sebagai pusat hiburan keluarga yang ketika itu di bawah kendalian Shaw Brothers. Direka oleh jurubina James Robert Vethavanam, REX berubah mengikut peredaran zaman sebagai destinasi yang bergerak mengikut kehendak komuniti Kuala Lumpur. Hari ini dengan penjenamaan semula, REXKL bergerak sebagai sebuah hab gaya hidup anak muda merangkumi seni, muzik, gastronomi dan pusat aktiviti komuniti.

SEMUA HOUSE

Dikenali sebagai destinasi fabrik dan pakaian – Semua House memiliki sejarah dan nilai sentimental yang tersendiri terutama bagi generasi yang membesar di era 90-an. Terletak di Jalan Bunus, Semua House memulakan operasi pada tahun 1986 menjadi destinasi cukup popular di musim perayaan terutamanya. Hari ini dengan kapasiti yang diperbesarkan dengan idea yang segar, Semua House datang dengan naratif berbeza menjadi destinasi kreatif anak muda untuk berkongsi idea.

RUMAH TANGSI

Terletak di Jalan Tangsi yang destinasinya strategik di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur dan tidak jauh dari Dataran Merdeka. Asalnya menjadi kediaman rasmi Loke Chow Kit pada awal 1900 sebelum melalui proses transformasi bagi tujuan lot komersial yang dijual kepada badan korporat. Pernah menjadi hotel juga firma guaman, hari ini Rumah Tangsi menjadi destinasi acara-acara gaya hidup daripada pelbagai organisasi bebas.

THE STORIES OF TAMAN TUNKU

Bergerak sebagai sebuah kejiranan yang petangnya dipenuhi dengan gurau senda komunitinya yang menghirup secangkir kopi sambil berkongsi cerita, Taman Tunku berkembang sebagai lokasi bisnes dan gaya hidup yang tidak hanya melengkapi kehendak penghuni setempat tetapi menawarkan keterujaan serupa bagi komuniti Kuala Lumpur.

Taman Tunku hari ini menawarkan status gaya hidup yang lebih tinggi tarafnya dengan barisan gedung peruncitan gastronomi, butik, pusat khidmat serta bergerak sebagai sebuah hab kreatif anak muda yang mahu berkarya dengan bebas dan terbuka. Kenny Hills Bakers & Bistro, Omar Ali, QRA, Posh & Nails dan Mokky’s Pizza antara senarai runcit yang cukup popular di kalangan pengunjung Taman Tunku.  

APW BANGSAR

Terletak di Jalan Riong, Bangsar – APW merupakan pusat percetakan yang begitu prolifik di Kuala Lumpur sejak diperkenalkan di awal 50-an sebelum menjadi tumpuan anak muda hari ini sebagai tarikan gaya hidup penuh stail dan santai. Berlokasi di Jalan Riong, Bangsar - APW diubah struktur seni binanya bagi memenuhi permintaan kehidupan urban komuniti sekitarnya.

SENTUL DEPOT 

Sentul menjadi destinasi yang memberi kehidupan lebih lima ribu pekerja sebelum ia diserang dan dibom ketika Perang Dunia Ke-2. Lokasi Sentul Depot diambil alih Keretapi Tanah Melayu sebagai lokasi bengkel kejuruteraan kereta api sebelum menjadi tempat meletakkan kereta api yang tidak lagi boleh beroperasi. Hari ini Sentul Depot telah diubah suai menjadi pusat komuniti yang mewakili segenap kelompok gaya hidup hari ini.

BANGUNAN ZHONGSHAN 

Bangunan empat tingkat yang terletak di Kampung Attap ini dibina sekitar era 50-an sebagai lokasi perumahan dan pusat penyembelihan. Di bawah Selangor Zhongshan Association, ia turut menjadi pusat komuniti penduduk di sini untuk meraikan aktiviti kemasyarakatan juga kejiranan. Pada awal 2000 sebahagian daripada unit bangunan yang berusia lebih tujuh puluh tahun ini bertukar menjadi asrama pekerja warga asing. 

Bangunan Zhongshan hari ini menjadi pusat komuniti anak muda yang mahukan gaya hidup santai. Ruang kreatif seperti Malaysia Design Archive, The Back Room, Design Union, Balai Buku Raya dan Anatomy antaranya diusahakan anak tempatan. Kafe-kafe yang ada di sini juga cukup ikonik dan dikenali seperti Tommy Lee Baker, Piu Piu, Kok Far Tea Shop dan lainnya.

ELSE KUALA LUMPUR 

Else Hotel hari ini menjadi destinasi istirehat kebanyakan warga asing juga tempatan yang mahukan penginapan hujung minggu yang selesa dan mewah. Terletak di jalan Tun HS Lee tidak jauh daripada kesibukan china town di Jalan Petaling, Else datang dengan idea dekorasi cukup menawan. Setiap sudut dalamannya datang dengan ilham moden dan minimalis memberikan ambien berbeza dengan apa yang ada di persekitaran bangunannya.

Gambar oleh: Udey Ismail

*Artikel penuh boleh dibaca menerusi majalah ELLE edisi September 2024.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down