Langgan

Nadia Annuar Buktikan Umur Bukan Penghalang: HYROX Mengubah Cara Melihat Kecergasan

Bagi Nadia Annuar, HYROX bukan sekadar perlumbaan yang menguji kekuatan fizikal. Ia adalah medan untuk membina disiplin, ketahanan mental dan membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencabar diri.
3 minit untuk membaca
Published: July 7, 2026

Sebagai hos televisyen, pengacara majlis dan content creator, Nadia Annuar sentiasa percaya bahawa setiap cabaran membuka ruang untuk berkembang. Prinsip itu membawanya ke dunia HYROX, perlumbaan kecergasan yang menggabungkan larian, latihan berfungsi serta ketahanan mental. Selepas menamatkan empat perlumbaan dengan catatan masa peribadi terbaik 1:15:13 di HYROX Singapura, Nadia kini bersedia menguji kemampuan diri sekali lagi di Delhi, Bangkok dan Singapura.

ELLE: Bagaimana rutin latihan Nadia berubah menjelang HYROX berbanding rutin kecergasan sebelum ini?

Nadia Annuar: Dahulu saya lebih fokus kepada senaman untuk penampilan dan kecergasan secara umum. Tetapi HYROX mengubah semuanya. Tiba-tiba setiap sesi latihan ada tujuan yang jelas. Saya mula memberi lebih perhatian kepada larian, membina endurance, belajar mengawal pacing dan bagaimana untuk pulih sambil terus bergerak. Ia bukan lagi sekadar mengangkat beban yang berat, tetapi bagaimana untuk terus beraksi ketika badan sudah mula keletihan. Saya kini berlatih untuk menjadi atlet yang lebih baik, bukan sekadar kelihatan cergas.

E: Pernahkah ada ketika Nadia merasakan diri belum benar-benar bersedia untuk menyertai HYROX?

NA: Banyak kali. Terutamanya ketika saya baru mula berlari. Saya hanya mula berlari kira-kira enam bulan sebelum HYROX pertama saya di Singapura. Setiap kali sesi larian tidak menjadi, saya tertanya-tanya sama ada saya terlalu berani mendaftar pertandingan ini. Tetapi saya sentiasa mengingatkan diri bahawa kita tidak perlu berasa bersedia untuk bermula. You just have to keep showing up. Looking back now, I’m so glad I did.

E: Ramai melihat HYROX di media sosial sebagai perlumbaan yang memerlukan kekuatan luar biasa. Adakah itu benar?

NA: Itu antara salah tanggapan terbesar. Ramai fikir bahagian paling sukar ialah sled push atau sled pull kerana ia nampak sangat mencabar. Tetapi sebenarnya larian yang paling menguji. Anda perlu melengkapkan lapan larian sejauh satu kilometer yang diselang-seli dengan lapan stesen latihan. Jadi mengawal degupan jantung, tenaga dan pacing sama penting dengan kekuatan fizikal. HYROX bukan tentang siapa paling kuat, tetapi siapa paling konsisten sehingga ke garisan penamat.

E: Dari segi mental pula, apa yang bermain di fikiran Nadia ketika berdepan saat paling sukar sepanjang perlumbaan?

NA: Saya tidak pernah berkata kepada diri sendiri, "Saya tak boleh buat." Sebaliknya saya hanya fokus kepada langkah yang seterusnya. Sampai ke stesen berikutnya, habiskan set ini dahulu, kemudian ambil satu langkah lagi. Apabila kita memecahkan perlumbaan kepada sasaran kecil, semuanya terasa lebih mudah. Badan mungkin penat, tetapi minda yang menentukan sama ada kita mahu terus bergerak atau berhenti.

E: Jakarta menyaksikan Nadia menamatkan dua perlumbaan dalam satu hari. Adakah pengalaman itu lebih bermakna daripada yang dijangkakan?

NA: Definitely. Pada mulanya saya hanya berharap dapat menamatkan perlumbaan dengan baik, tetapi akhirnya saya melakukan sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan. Saya menyertai Women's Doubles dan Women's Relay pada hari yang sama. Saya berusia 42 tahun, seorang ibu, dan pasukan relay kami juga terdiri daripada wanita dalam lingkungan usia 40-an. Pengalaman itu benar-benar membuka mata saya bahawa usia bukanlah satu batasan. Malah, ia membuktikan kita mampu melakukan lebih daripada apa yang kita sangkakan.

E: Apakah pelajaran terbesar yang Nadia bawa pulang daripada HYROX?

NA: Progress beats perfection. Ada hari latihan yang sangat baik dan ada hari yang langsung tidak menjadi. Tetapi setiap sesi tetap membawa saya selangkah ke hadapan. Prinsip itu saya bawa dalam kehidupan juga. Kita tidak perlu sempurna. Kita hanya perlu terus bergerak. Konsistensi sentiasa mengatasi motivasi.

E: Bagaimana kecergasan mengubah keyakinan Nadia dalam kerjaya dan kehidupan?

NA: Saya belajar bahawa keyakinan datang apabila kita menunaikan janji kepada diri sendiri. Setiap kali saya hadir ke latihan walaupun tidak bermotivasi atau berjaya menghabiskan sesi yang mencabar, saya semakin percaya kepada kemampuan diri. Perasaan itu saya bawa ke dalam setiap aspek kehidupan sebagai hos, pencipta kandungan dan juga seorang ibu. Apabila kita sedar kita mampu melakukan perkara yang sukar secara fizikal, kita juga mula yakin bahawa kita mampu menghadapi cabaran lain dalam hidup.

E: Akhir sekali, apakah pesanan Nadia buat wanita yang berminat mencuba HYROX tetapi masih berasa gentar?

NA: Jangan tunggu sehingga anda rasa cukup cergas. Tiada siapa bermula dalam keadaan sempurna. Saya sendiri hanya mula berlari beberapa bulan sebelum menyertai HYROX pertama. Jika saya menunggu sehingga rasa benar-benar bersedia, mungkin saya tidak akan pernah berada di garisan permulaan. Mulakan dengan apa yang anda ada, berlatih secara konsisten and trust the process. You might surprise yourself! Yang paling penting, jangan bandingkan diri dengan orang lain. Satu-satunya individu yang perlu anda kalahkan ialah versi diri anda semalam. Itulah yang menjadikan HYROX begitu istimewa.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down