Langgan

Interview: Mengupas Evolusi ELLE Malaysia Bersama Andrea Wong

Kami berbual dengan editor pengasas ELLE Malaysia yang berkongsi memori bersama jenama ikonik ini.
3 minit untuk membaca
Published: September 22, 2024
Andrea Wong, Ketua Pengarang ELLE Malaysia 2014-2015 / Foto: All is Amazing

Walaupun baru sahaja dilancarkan semula dalam Bahasa Melayu, ELLE pernah hadir di Malaysia suatu ketika dahulu. Kami berbual dengan editor pengasasnya, Andrea Wong, yang berkongsi memorinya bersama jenama ikonik ini.

Tentang Andrea
Andrea Wong melihat dirinya sebagai seorang multi-hyphenate dalam fesyen. Selain daripada penataan fesyen dan penulisan, dia juga bekerja sebagai pengarah kreatif dan telah memperluaskan kepakarannya dalam kerja-kerja perhubungan awam, pengurusan acara dan perkhidmatan beli-belah peribadi. Dia juga dikenali atas sumbangannya dalam pasukan penataan fesyen filem Hollywood, 'Crazy Rich Asians.'

Bolehkah anda berkongsi pengalaman atau cerita yang tidak dapat dilupakan semasa anda berada di majalah ini?

Sewaktu saya melancarkan ELLE Malaysia pada tahun 2013, tidak ada penerbitan lain sepertinya di negara ini. Untuk memastikan kami menyampaikan mesej yang tepat kepada audiens Malaysia, saya telah pergi ke Perancis untuk menjalani latihan bagi memahami sepenuhnya etos majalah ini. Antara pengalaman yang paling diingati adalah tempoh sibuk menjelang keluaran isu pertama kami, di mana sema orang bekerja tanpa henti. Pasukan pengasas ELLE Malaysia mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam hati saya kerana kami semua bersama-sama dari saat permulaan. Kami menghadapi malam-malam yang panjang, bekerja tanpa henti hingga ada kalanya tidak pulang ke rumah.

Isu atau tema manakah yang paling anda banggakan dan mengapa? 

Semestinya saya amat berbangga dengan isu pertama kami. la merupakan satu kenyataan yang penting dan detik besar untuk ELLE Malaysia, kerana ia menandakan kemunculan pertama tajuk ini di sini. Saya memikirkan mesej dan intipati ELLE serta apa yang saya mahu ia wakili dalam pasaran ini secara mendalam. ELLE mempunyai pelbagai identiti bergantung pada negara terbitannya dan saya tahu versi kami perlu memperjuangkan wanita, tetapi bukan secara luaran sahaja. Saya mahu menyampaikan bahawa ELLE bukanlah autoriti, namun ia mengetengahkan pengalaman bersama dan solidariti; matlamat kami adalah untuk berhubung dengan pembaca. Selain itu, walaupun edisi Bahasa Inggeris mempunyai fokus antarabangsa, ia adalah penting bagi saya untuk menjadikan kandungan kami tempatan dan relevan kepada rakyat Malaysia, memastikan majalah ini berhubung dengan audiensnya dalam cara yang bermakna.

Isu pertama ELLE Malaysia tahun 2014

Adakah anda mempunyai cover kegemaran? 

Kami memilih pelakon Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, untuk muka depan pertama kami dan saya telah ke Paris untuk sesi penggambaran. Sehingga sekarang, cover itu kekal relevan dan bermakna, terutamanya selepas kemenangannya di anugerah Oscar tahun lepas. Saya juga tidak lupakan majlis pelancaran besar kami, di mana kami mendedahkan cover dalam gaya dramatik, serupa dengan persembahan Cirque du Soleil. Acara tersebut menampilkan persembahan hebat dan kerjasama seni artis-artis tempatan. Saya sering mendengar daripada para tetamu bahawa majlis pelancaran itu adalah salah satu yang terbaik yang pernah mereka hadiri.

Perubahan atau inovasi apa yang anda laksanakan yang anda percaya mempunyai impak berkekalan?

Salah satu cabaran utama adalah untuk mengubah fokus majalah daripada menampilkan selebriti dan model antarabangsa serta wajah-wajah kaukasia, kepada menonjolkan bakat Malaysia. Pada masa itu, banyak majalah fesyen Bahasa Inggeris tempatan masih tertumpu kepada muka-muka global, jadi perubahan ini tidak boleh dilakukan dengan serta-merta. Walau bagaimanapun, saya bertekad untuk secara beransur-ansur memperkenalkan lebih banyak wajah Malaysia dalam kandungan kami. Kami menampilkan ikon-ikon seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Yuna dan Fazura di muka depan kami dan ia sangat memuaskan apabila melihat wajah-wajah tempatan lebih dihargai daripada wajah-wajah asing yang pernah mendominasi. Cabaran lain adalah memastikan kami berbicara dengan wanita dalam kedudukan berpengaruh untuk memberikan pandangan unik dalam pelbagai bidang. Kami menampilkan tokoh-tokoh inspirasi yakni Datin Paduka Marina Mahathir dan Yang Berhormat Hannah Yeoh, bersama-sama dengan profesional lain seperti peguam dan doktor. Ini adalah penting untuk DNA ELLE—mewakili pelbagai suara yang bermakna.

Aрakah maksud ELLE bagi anda? 

Jenama ELLE digambarkan dengan indah oleh satu petikan daripada pengasas majalah ini, Hélène Lazareff: "Ironi dalam keseriusan dan keseriusan dalam kejenakaan." Ini menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh ELLE dengan sempurna. Kami mengambil minat kami dengan serius dan berusaha menangani isu-isu sebenar dengan sentuhan yang jujur dan manusiawi.

Di samping itu, kami mengimbangi isu-isu penting dengan pendekatan yang mesra dalam segala yang kami lakukan. ELLE bukan sahaja menyampaikan maklumat, kami malah berinteraksi dengannya dalam cara yang terperinci. Kadang-kadang, kita mungkin terlalu serius dengan pekerjaan kita, tetapi penting untuk menyuntikkan elemen keseronokan dan keperibadian ke dalamnya. Itulah yang membuat kandungan tersebut relatable dan menjadikannya setia kepada semangat ELLE.

Adakah anda mempunyai sebarang nasihat atau kata-kata untuk dikongsi dengan pasukan editorial yang baharu, sebelum memulakan pelancaran semula ini? 

Ini bukanlah industri yang mudah, tetapi dalam saat-saat yang sukar itulah anda boleh menemui kejelasan dan mungkin juga berpeluang untuk menghargai perjalanan ini. Kelilingilah diri anda dengan orang-orang yang komited untuk menyelesaikan masalah bersama. Walaupun dengan cabaran-cabaran yang ada, terdapat sesuatu yang benar-benar memuaskan tentang kerja ini.


* Artikel ini adalah sebahagian daripada rencana Evolusi ELLE Malaysia dalam majalah ELLE Isu September 2024. Dapatkannya di pasaran sekarang
.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down