PJ Hilton berdiri megah sebagai salah satu hotel mewah terawal yang ada di Petaling Jaya. Lokasinya yang cukup strategik, fasiliti yang mencukupi serta kepenggunaan yang pelbagai merangkumi akses gaya hidup sehingga keperluan korporat menjadikan ia sebagai sebuah destinasi pilihan sejak awal 80-an.
Hari ini ia terus bernadi sebagai hab pilihan keluarga sehingga badan korporat. Hadir dengan terampilan baru serba segar, moden dengan teras memberi keselesaan maksima kepada pengunjung. Memasuki ruang lobinya sahaja sudah membuat saya teruja betapa berbezanya berbanding kali terakhir ke sini dulu.
Sangka saya hotel ini semakin kurang perhatian dek kerana kebangkitan banyak hotel-hotel baru yang pastinya memberi saingan. Ada yang datang dengan konsep berbeza, unik dan bertema - Namun PJ Hilton masih dipenuhi pengunjung.


Saya sempat bermalam di sini melewati senang dan tenangnya persekitaran. Ruang King Premium tempat bermalam yang sempurna. Lengkap dengan ruang yang selesa dan apa yang penting sekali pastinya katil dan tilam yang empuk.
Bilik airnya mengekalkan kemewahan serupa dengan pancaran cahaya, lantai marmar yang mewah saat disimbah cahaya. Kemasannya luar biasa dengan perincian yang cukup unik . Bath tub itu satu yang paling menarik perhatian. Di sini tempat saya menghabiskan masa sambil melayani lagu dan membaca.
Dari ruang bilik air juga didindingi hanya dengan pintu kaca yang membolehkan anda menonton televisyen dari ruang tersebut. Pengalaman santai dan bersahaja yang ditawarkan ini cukup sesuai untuk anda yang tidak mahu keluar.

Toh Yuen PJ Hilton
Toh Yuen 桃苑 menyajikan masakan berteras citarasa Oriental yang membawa maksud “Peach Court”. Restoran ini menawarkan antara hidangan terbaik dengan sajian yang berasal dari selatan China dengan pengaruh Kantonis, Hokkien dan Teochew.
Ia juga ditampilkan dengan sentuhan kreatif yang menyatukan elemen tradisional dan moden. Cukup popular pada setiap sambutan perayaan Tahun Baru Cina di kalangan penduduk setempat ia juga menjadi destinasi makan besar bagi kebanyakan keluarga.
Terletak di aras satu Hilton PJ, Toh Yuen dihiasi dengan elemen estetika Cina yang memberikan suasana seperti rumah wain tradisional (jiu lou, 酒樓). Restoran ini menyediakan ruang makan terbuka serta bilik-bilik peribadi juga untuk majlis khas.
