Langgan

Melangkah Dalam Dunia Kulinari Bersama Chef James Won

Dari hanya dapur nenek kini ke puncak dunia masakan
Oleh | TERJEMAHAN Farah Sofea
5 minit untuk membaca
Published: December 10, 2024

Gambar: luxuo.com

Sebagai pengasas 'Shin’Labo by James Won' — rumah kepada Krug Chef’s Table satu-satunya di Asia. Chef James Won telah mengangkat martabat masakan Malaysia ke persada dunia. Gabungan kekayaan budaya warisan beliau dengan ketelitian masakan Perancis melahirkan ciptaan yang luar biasa. Kehalusan seni gastronomi Jepun turut memberi sentuhan istimewa pada setiap hidangan. Setelah menimba ilmu di institusi Michelin 3 bintang di Perancis dan Jepun, Chef James menguasai teknik dan bahan-bahan yang disalurkan dalam restoran tersohornya. Shin’Labo berpegang pada falsafah 'farm-to-table', bekerjasama dengan suku pribumi Malaysia untuk menonjolkan keindahan dan kekayaan biodiversiti tanah air.

Pada 2024, Chef James Won dianugerahkan Chevalier (Ordre du Mérite Agricole) oleh Republik Perancis. Penghormatan ini diberikan atas sumbangannya dalam industri kulinari. Beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima penghormatan ini pada abad ke-21. Chef James juga telah diiktiraf sebagai Chevalier oleh Ordre des Coteaux de Champagne. Beliau menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik ke dalam rangkaian Krug Ambassade. Penghargaan ini mewakili negara di pentas gastronomi global.

Gambar: luxuo.com

Falsafah kulinari Chef James berakar pada ajaran neneknya. Pengalamannya di dapur Michelin bintang telah memperkaya lagi pemahamannya. Setiap hidangan beliau adalah sebuah karya yang menghormati bahan-bahan tulen dan kisah di sebaliknya. Ia menawarkan pengalaman makan yang penuh emosi dan mendalam.

Di luar kepakarannya di dapur, Chef James memegang peranan penting sebagai duta The Plan. Beliau mewakili rekaan dapur dan almari terbaik seperti PoggenPohl, Ernestomeda, Porro, serta Gaggenau. Gaggenau adalah pembuat peralatan rumah mewah Jerman yang terkenal.

Chef James juga satu-satunya Hennessy Chef Ambassador yang kembali ke Hennessy X.O Gastronomy Series. Beliau turut berperanan sebagai Pensyarah Tambahan di Taylor’s Culinary Institute, terus menginspirasi generasi baharu.

Sebelum ini, Chef James mengetuai Enfin by James Won. Restoran ini terkenal sebagai rumah kepada Krug Chef’s Table satu-satunya di Asia. Keistimewaan ini mengukuhkan reputasinya sebagai pelopor dalam dunia masakan mewah.

Apa yang menginspirasi semangat memasak anda dan bagaimana ia berkembang?

Semangat saya untuk memasak bermula dengan nenek, yang juga merupakan mentor pertama saya. Dia memiliki bakat luar biasa dalam mengolah semula hidangan, tidak kira Eropah atau Asia, dengan cara yang selalu mengejutkan saya.

Sejak kecil, dia mengajarkan saya untuk benar-benar menghargai rasa dan kekayaan alam. Nilai ini masih saya pegang dalam setiap hidangan yang saya hasilkan.

Dengan berlalunya waktu, cara saya memasak semakin berkembang. Kini, saya lebih fokus kepada bahan-bahan utama yang dipersembahkan dengan pelbagai teknik.

Setiap hidangan menghasilkan lapisan rasa yang tidak dijangka dan mencerminkan kepelbagaian budaya serta anugerah alam.

Gambar: luxuo.com

Di mana anda mendapatkan inspirasi ketika mencipta hidangan atau menu baru?

Ciptaan kulinari saya bermula dengan satu perjalanan. Sama ada meneroka tempat-tempat yang kaya dengan warna atau menikmati keindahan alam semula jadi. Alam adalah sumber inspirasi kedua saya. Saya sentiasa terpesona dengan kesegaran dan kemurnian bahan-bahan. Apa yang paling memikat adalah menemukan intipati rasa — bagaimana sesebuah bahan itu harus dirasai pada puncak kesegarannya, memberikan yang terbaik darinya. Hubungan saya dengan alam adalah "dakwat" yang saya gunakan untuk melukis setiap hidangan, meraikan detik-detik terbaik yang diberikan oleh alam.

Gambar: luxuo.com

Bolehkah anda kongsikan pengalaman kulinari yang mengubah gaya masakan anda?

Salah satu pengalaman kulinari yang paling mengesankan berlaku apabila pak cik saya yang sedang sakit, yang hanya mampu makan telur, meminta saya memasaknya. Walaupun dalam keadaan sakit, rasa dan kenangan terhadap keenakan makanan tetap sangat penting baginya. Beliau dapat segera mengetahui jika orang lain yang memasak telur itu. Pengalaman ini mengajar saya bahawa walaupun hidangan yang paling ringkas, ia memerlukan perhatian dan ketepatan. Setiap bahan harus mempunyai tujuan dan memainkan peranan dalam menghasilkan rasa yang sempurna, dan pelajaran ini terus membimbing cara saya memasak hingga hari ini.

Gambar: luxuo.com

Bagaimana anda mengimbangkan inovasi dan tradisi dalam ciptaan kulinari anda?

Mengimbangkan inovasi dan tradisi dalam masakan saya seperti berjalan di atas tali, antara yang biasa dan yang baru. Tradisi adalah asas saya, di mana saya belajar tentang kebijaksanaan, kekayaan budaya, dan teknik yang telah bertahan lama. Inovasi pula memberi ruang untuk kreativiti saya berkembang, memberikan nafas baru kepada elemen-elemen tradisional. Saya mungkin mengambil bahan yang dihargai sejak dulu dan menyajikannya dengan teknik moden, atau menggabungkannya dengan rasa yang berbeza untuk mencipta kelainan dan kedalaman.

Ia seperti tarian yang berhati-hati, di mana saya mengangkat hidangan asli dengan tekstur dan sensasi baru. Setiap hidangan menceritakan kisah yang menghubungkan yang lama dan baru, dengan setiap bahan memainkan peranan penting. Tujuannya adalah untuk mengekalkan tradisi sambil meneroka batas-batas seni yang baru.

Gambar: luxuo.com

Apa kemahiran atau kualiti penting yang perlu dimiliki oleh 'Chef' untuk berjaya dalam industri kulinari?

Chef yang bercita-cita tinggi perlu memahami bahawa kesabaran bukan sekadar menguasai teknik, tetapi melihatnya sebagai nilai dalam perjalanan memperkemas kemahiran. Melalui latihan yang berterusan, chef bukan sahaja mengembangkan ingatan otot, tetapi juga "flavour library" yang membantu kreativiti. Kesabaran ini membolehkan anda memperhalusi deria rasa, memahami bahan dan interaksi mereka. Penguasaan datang melalui pengulangan, tetapi seni sebenar terletak pada pemahaman bahawa setiap percubaan dan penambahbaikan membawa kepada sesuatu yang lebih besar.

Rendah hati juga penting kerana dapur sentiasa mengajar kita sesuatu yang baru. Mengenali asal-usul masakan memberi asas kukuh dan menghormati tradisi menjadikan karya lebih autentik. Kesabaran, kerendahan hati, dan penghormatan terhadap akar kulinari adalah asas kejayaan seorang chef.

Apa cabaran dalam perjalanan kulinari anda dan bagaimana ia membentuk anda sebagai chef?

Salah satu cabaran besar saya adalah menemui minat ini agak lewat, sementara rakan-rakan sudah lama berpengalaman. Ditambah dengan kekurangan penguasaan bahasa Perancis, saya sukar untuk memahami budaya dan tradisi mereka. Namun, saya sedar bahawa gastronomi lebih daripada sekadar memasak, ia adalah seni kehidupan yang berkait rapat dengan seni dan budaya.

Penyedaran ini mengubah pendekatan saya sebagai chef. Saya sedar saya tak tahu segalanya dan perlu terus belajar, bukan hanya teknik tetapi juga menghargai makanan dan budaya di sebaliknya. Makanan adalah penghubung yang menyatukan orang dan tradisi. Cabaran ini mengajar saya bahawa kerendahan hati, kesabaran, dan minda terbuka adalah kunci di dapur, selain kemahiran teknikal.

Gambar: luxuo.com

Bandar gourmet manakah yang paling anda suka di dunia?

Bandar gourmet kegemaran saya adalah Paris dan Kyoto. Paris memikat dengan sejarah dan budaya makanannya, di mana wain dan makanan disajikan dengan sempurna. Dari bistro hingga restoran Michelin, setiap hidangan menceritakan kisah tersendiri, mencerminkan kecintaan mendalam terhadap seni masakan.

Kyoto memikat saya dengan dedikasinya terhadap tradisi dan seni masakan. Fokus mendalam pada bahan-bahan serta penghormatan terhadap setiap komponen mencipta pengalaman makan yang penuh dengan budaya. Kedua-dua bandar ini menawarkan kontras dalam falsafah masakan, masing-masing memberi inspirasi unik dalam perjalanan kulinari saya.

Apakah wain kegemaran anda?

Saya suka Krug Champagne-Grand Cuvee, Domaine Georges Roumier’s Musigny Grand Cru, Domaine William Fèvre’s Les Clos Grand Cru, Penny’s Hill The Gully, dan Ao Yun 2016.

Gambar: luxuo.com

Dimanakah destinasi percutian kegemaran anda di Asia untuk berehat dan menyegarkan tenaga?

Thailand. Negara ini memikat saya dengan ketenangan rohani, masakan yang hebat, dan terapi urut kelas dunia. Alam yang damai dan budaya yang kaya di Thailad juga menjadikannya tempat sempurna untuk saya rehatkan tubuh dan minda.

Malaysia pula terkenal dengan pulau-pulau yang cantik dan tempat menyelam yang menarik. Sipadan dan Pulau Mabul, contohnya, menawarkan pengalaman bawah laut yang hebat, sangat sesuai untuk peminat selam. Gabungan pantai yang bersih, kehidupan laut yang pelbagai, dan makanan tempatan yang sedap menjadikan Malaysia destinasi terbaik untuk saya berehat dan mengembara.

Jika ada seorang mentor yang memberi inspirasi kepada anda, siapakah beliau?

Mentor terbesar saya adalah nenek, yang walaupun bukan seorang tukang masak profesional, beliau menunjukkan kasih sayangnya melalui masakan setiap hari. Pendekatannya yang penuh kasih mengajar saya tentang rasa dan betapa pentingnya membangkitkan rasa ingin tahu orang lain melalui pengalaman deria makanan.

Nenek mengajar saya untuk memasak dengan kasih sayang, menjadikan setiap hidangan satu perayaan kreativiti dan hubungan. Pengaruhnya membentuk kemahiran dan pemahaman saya tentang sisi emosi dalam masakan. Legasinya mengingatkan saya untuk menghargai dan berkongsi warisan budaya kita dengan bangga.

Article asal daripada LUXUO.

Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down