Langgan

MEA KL Melancarkan Kempen Home in Malaysia

Inisiatif baharu Marriot merai percutian seakan berada di rumah sendiri.
3 minit untuk membaca
Published: June 16, 2026

Era pelancongan moden hari ini semakin menitik beratkan pengalaman autentik dan hubungan bermakna dengan mana-mana sahaja destinasi yang dikunjungi. Bersempena dengan falsafah itu, Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur (MEA KL) memperkenalkan kempen baharu bertemakan Home in Malaysia. Sebuah inisiatif yang membawa tetamu merasai keunikan budaya, kreativiti dan hospitaliti Malaysia seperti seorang penduduk tempatan.

Diinspirasikan oleh tradisi rumah terbuka yang menjadi identiti masyarakat Malaysia. Kempen ini direka khas untuk pengembara jangka panjang, pelancong perniagaan, keluarga serta mereka yang ingin mengenali Kuala Lumpur dengan lebih dekat. Melalui pelbagai aktiviti yang disusun secara teliti, para tetamu berpeluang menikmati kehidupan harian rakyat Malaysia melangkaui pengalaman penginapan hotel konvensional.

Menghidupkan Semangat Rumah Terbuka Moden Malaysia

Teras utama kempen ini ialah pengalaman interaktif The Modern Malaysian Open House. Ia menukar salah satu unit apartmen MEA KL menjadi sebuah kediaman Malaysia kontemporari. Konsep ini memberi peluang kepada tetamu untuk menyelami budaya tempatan menerusi tiga ruang utama. Segalanya mewakili aspek berbeza kehidupan masyarakat Malaysia.

Di dapur, para tetamu dapat menyertai demonstrasi penyediaan Popiah Basah yang dikendalikan oleh Ketua Cef MEA KL, Chef Partiban Nalliah. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan teknik penyediaan makanan popular tersebut, malah berkongsi kisah dan warisan kulinari yang menjadikannya kegemaran ramai.

Sementara itu, ruang tamu menampilkan ‘A Little Piece of Malaysia’ Postcard Bar hasil kerjasama bersama Kozie Krafts. Di sini, pengunjung boleh mereka kad pos peribadi yang menggambarkan interpretasi mereka tentang “Home in Malaysia”. Segalanya menggunakan ilustrasi, cop dan elemen kreatif berinspirasikan budaya tempatan.

Pengalaman diteruskan ke ruang bilik tidur menerusi Wunderbath’s Oyen Bath Bomb Painting Workshop. Di sini para peserta boleh menghias bom mandian berbentuk Oyen. Kucing oren yang cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Aktiviti ini menggabungkan unsur kreativiti, kesejahteraan dan humor tempatan dalam satu pengalaman yang unik.

Keselesaan Seperti Di Rumah Tengah Bandar Raya

Selain memperkenalkan budaya tempatan, Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur turut menawarkan konsep penginapan yang mengutamakan keselesaan seperti di rumah sendiri. Terletak di pusat bandar Kuala Lumpur, hartanah ini menggabungkan fleksibiliti kehidupan apartmen dengan kemudahan hospitaliti premium.

Kemudahan seperti dapur kecil lengkap, mesin basuh dalam bilik, fasiliti kesihatan serta ruang mesra keluarga membolehkan tetamu menjalani rutin harian dengan lebih selesa. Lokasinya yang strategik berhampiran Taman KLCC, Menara Berkembar Petronas dan pelbagai pusat perniagaan serta gaya hidup utama menjadikan MEA KL pilihan ideal. Cukup sesuai bagi pelancong yang mahukan akses mudah tanpa mengorbankan keselesaan.

Menyantuni Tetamu Melalui Cita Rasa Tempatan

Tidak lengkap pengalaman Malaysia tanpa makanan. Seiring dengan pelancaran kempen ini, restoran Bistro Kia Peng memperkenalkan rangkaian hidangan khas Home in Malaysia yang diinspirasikan daripada ramuan dan cita rasa yang mencerminkan kepelbagaian gastronomi negara.

Menu yang dikurasi oleh Chef Partiban Nalliah menampilkan interpretasi moden terhadap hidangan tempatan yang dekat di hati rakyat Malaysia. Antara sajian istimewa ialah Chef Parthiban’s Coastal Curry, yang menggabungkan ikan merah, bendi, terung dan tomato dalam kuah kari yang kaya dengan rempah serta aroma.

Menu istimewa ini akan ditawarkan di Bistro Kia Peng menerusi pelancaran menu à la carte baharu bermula Julai 2026.

Dibuka Kepada Orang Awam Sempena Ulang Tahun Pertama

Selepas sesi pratonton media, pengalaman The Modern Malaysian Open House bersama beberapa bengkel pilihan akan dibuka kepada orang awam pada Ogos 2026 sempena ulang tahun pertama Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur.

Melalui kempen Home in Malaysia, MEA KL bukan sekadar menawarkan tempat penginapan, tetapi membuka pintu kepada pengalaman yang lebih peribadi dan bermakna. Ia mencerminkan bagaimana hospitaliti Malaysia dapat diterjemahkan dalam bentuk yang moden, mesra dan dekat di hati setiap pengunjung, menjadikan setiap perjalanan terasa seperti pulang ke rumah.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down