Sarat dengan pesona semula jadi dan misi lestari, LUSH Malaysia kembali mengorak langkah bersama MareCet ke perairan Pulau Sibu dalam ekspedisi penuh makna. Dari habitat dugong yang kian terancam hingga komuniti desa yang hidup harmoni bersama alam semula jadi, ELLE turut serta dalam ekspedisi penuh makna ini bersama LUSH Malaysia dan MareCet di Pulau Sibu, Johor.
Gugusan pulau terpencil ini bukan sekadar destinasi eksotik, ia adalah permata tersembunyi yang menempatkan kurang daripada 200 penduduk dan menjadi pelindung kepada antara populasi dugong terakhir di Malaysia. Mamalia laut yang pemalu dan terancam ini bergantung sepenuhnya pada hamparan padang rumput laut yang menghijau.
Lawatan Kampung & Bengkel Minyak Kelapa Dara


Dari pengalaman ELLE sendiri, menyusuri kampung Pulau Sibu adalah seperti melangkah ke dunia penuh cerita dan tradisi yang kaya dengan keindahan semula jadi. Peluang keemasan untuk belajar secara langsung daripada para artisan tempatan yang cekap, menunjukkan proses tradisional menghasilkan minyak kelapa dara yang bukan sekadar bahan masakan, tetapi juga ramuan semula jadi yang penuh manfaat. Sebuah pengalaman yang membuka mata dan jiwa, membawa kami lebih dekat dengan warisan asli yang terus hidup.
Dugong Watch: Menyelusuri Habitat Unik di Pulau Sibu

Hamparan padang rumput laut yang mengelilingi Pulau Sibu adalah ekosistem penting yang menjadi habitat utama kepada populasi dugong di Malaysia. Dalam usaha menyaksikan sendiri keajaiban marin ini, satu sesi eksklusif menaiki bot telah dianjurkan oleh pasukan pakar dari MareCet. Ekskursi ini bukan sahaja memberikan peluang untuk menyaksikan kelibat sang legenda laut yang pemalu, malah memperluaskan lagi pemahaman tentang keunikan biodiversiti marin tanah air.
Pendakian Dengan Pemandangan Menakjubkan di Bukit Pasu

Bersedialah untuk terpesona dengan kehijauan sekeliling dan udara segar yang menyegarkan. Di puncak, keajaiban sebenar terbentang luas dengan panorama indah yang menampilkan hotspot dugong yang memukau dan Pulau Tinggi yang masih asli terletak anggun di sebelah kiri serta kawasan perkampungan yang menawan terbentang di sebelah kanan.
Aktiviti Pembersihan Pantai

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan LUSH Malaysia dan MareCet, aktiviti pembersihan pantai di Pulau Sibu ini menjadi detik penting dalam menjaga kebersihan dan kesihatan pesisir laut kita. Setiap tahun, sampah yang dibuang secara tidak bertanggungjawab mencemari lautan, dan usaha kolaborasi ini bertujuan membersihkan sisa plastik serta serpihan lain demi memulihkan keindahan semula jadi pantai kita. Inisiatif ini bukan sahaja memperindah pesisir pantai, malah mengingatkan kita semua akan tanggungjawab menjaga alam sekitar demi generasi akan datang.