Langgan

Kimpton Naluria Kuala Lumpur: Takrifan Hotel Urban Masa Kini

City escape yang harus ada dalam bucket list setiap anda!
5 minit untuk membaca
Published: June 22, 2026

Dibina di bawah jenama gaya hidup mewah IHG Hotels & Resorts, Kimpton Naluria Kuala Lumpur gah tersergam menandakan kemunculan jenama Kimpton dari San Francisco untuk keberadaannya di Malaysia. Ini sekali gus membawa gabungan hospitaliti mewah berteraskan reka bentuk, personaliti tersendiri dan sentuhan sofistikated ke ibu negara.

Terletak di Tun Razak Exchange (TRX), hab perniagaan dan gaya hidup antarabangsa Kuala Lumpur yang pesat berkembang, hotel ini turut bersambung secara terus dengan The Exchange TRX Mall. Sebuah destinasi baharu untuk membeli-belah, menjamu selera dan hiburan bertaraf premium. Lokasi strategiknya memberikan akses mudah ke pelbagai tarikan utama di pusat bandar dan sekitarnya. Ini sekali gus menjadikannya pilihan ideal untuk pelancong moden masa kini yang mementingkan gaya hidup urban.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Reka Bentuk Dan Penawaran Utama

Direka bentuk oleh firma reka bentuk pemenang anugerah Hassell, konsep 'Botanics Beyond Aesthetics' diterjemahkan melalui penggunaan tekstur semula jadi, elemen kehijauan berlapis dan karya seni tempatan yang dipilih teliti. Hal ini mencerminkan lagi keindahan landskap tropika Malaysia. Menjulang setinggi 26 tingkat, hotel ini menawarkan 466 bilik dan suite yang direka penuh gaya. Selain terdapat ruang santai atas bumbung yang menampilkan pemandangan panorama latar langit Kuala Lumpur. Turut tersedia kolam renang terbuka, pusat kecergasan serta teres yoga khas untuk tetamu.

Kimpton Naluria Kuala Lumpur turut memperkenalkan empat konsep restoran dan bar yang menggabungkan cita rasa tempatan dan antarabangsa. Antaranya Rise & Grind, sebuah bar espresso yang diinspirasikan daripada budaya kopitiam Malaysia, Tuai + Till yang berkonsep farm-to-table yang menggabungkan kafe tempatan dan brasserie Barat. Selain itu Four Siblings bar dan lounge atas bumbung bertemakan rempah-ratus dengan pemandangan bandar menakjubkan. Tidak ketinggalan Sabato’s, restoran berinspirasikan retro yang menghidupkan semula era 'Red Sauce Joint' dan budaya disko 70-an. Ia cukup dikenali menerusi hidangan autentik Itali-Amerika.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Dengan pengalaman penginapan yang sentiasa diperibadikan, kemudahan premium dan sentuhan layanan penuh karakter, Kimpton Naluria Kuala Lumpur menawarkan satu pengalaman penginapan unik, lestari dan mewah. Hotel ini menggabungkan keperluan penginapan di nadi kota metropolitan dengan suasana mesra tetamu dan penuh jiwa. Ini menjadikannya antara hotel gaya hidup paling menarik untuk diterokai di rantau ini saat ini.

Pembukaan Kimpton Naluria Kuala Lumpur turut mencerminkan strategi pengembangan berterusan jenama Kimpton di seluruh Asia. Ia sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman hospitaliti bertaraf global yang tetap mengekalkan identiti dan budaya tempatan. Tahun ini juga menyaksikan beberapa pembukaan hotel baharu di bawah jenama tersebut, termasuk Kimpton Mayfair Adelaide, Kimpton Era Midtown New York, Kimpton De Post Rotterdam dan Kimpton Shanghai 9 Tree Art Center.

ELLE Malaysia berkesempatan mengunjungi hotel ini sendiri. Berikut adalah ulasan penuh tentangnya.

Penginapan

Sepanjang berada di One-Bedroom Naluria Suite, perkataan paling tepat untuk menggambarkan pengalaman ini adalah selesa. Dengan keluasan 66 meter persegi, suite ini menawarkan keseimbangan sempurna antara kemewahan moden dan ketenangan penginapan. Sebaik sahaja melangkah masuk, perhatian terus tertumpu kepada tingkap kaca dari lantai ke siling yang membingkaikan panorama Kuala Lumpur. Ini termasuk pemandangan menghijau Royal Selangor Golf Club yang terasa seperti oasis di tengah kesibukan kota.

Ruang tamunya yang luas dan terang dilengkapi perabot moden, tekstur lembut serta pencahayaan mewujudkan lagi suasana santai dan mengundang rehat. Ia menjadi ruang ideal untuk menikmati secawan kopi sambil mengagumi latar langit bandar atau cukup sekadar berehat selepas seharian meneroka Kuala Lumpur.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Konsep 'Botanics Beyond Aesthetics' masih kekal diterjemahkan menerusi karya seni abstrak berinspirasikan hutan hujan tropika, kemasan kayu bernada bumi dan elemen dekoratif berinspirasikan alam semula jadi. Cermin berbentuk daun yang menghiasi ruang suite ini juga menjadi antara perincian yang paling mencuri perhatian. Sekali gus menambahkan karakter unik pada penginapan ini.

Bilik mandi pula tampil elegan dengan kemudahan walk-in shower dengan bath tub. Selain rangkaian produk mandian mewah daripada Penhaligon’s yang memberikan lagi sentuhan eksklusif kepada setiap rutin mandian.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Secara keseluruhannya, One-Bedroom Naluria Suite menawarkan pengalaman penginapan yang bergaya, tenang dan penuh karakter. Satu pilihan sempurna bagi mereka yang menginginkan percutian urban mewah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Gastronomi

Pengalaman gastronomi di Kimpton Naluria Kuala Lumpur turut menjadi antara sorotan utama sepanjang berada di sana. Untuk makan malam, restoran Sabato’s yang terletak di tingkat 25 hotel dikunjungi. Mengambil inspirasi daripada restoran klasik New York era 1970-an, ruang makan ini menggabungkan suasana nostalgia dengan sentuhan moden penuh karakter. Dari alunan muzik disko hinggalah dekorasi retro yang menyerlah. Sabato’s berjaya menambat tetamu mengimbau era kegemilangan Italian-American dining.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Menu yang ditawarkan pula menampilkan hidangan klasik yang disediakan untuk dikongsi bersama. Antara yang mencuri perhatian ialah Spaghetti & Meatballs dengan sos marinara yang kaya rasa serta Sabato’s Spicy Rigatoni yang cukup memuaskan. Dipadankan dengan pilihan wain Itali dan koktel berinspirasikan era 70-an, pengalaman menjamu selera di sini terasa meriah namun tetap sofistikated.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Keesokan paginya, sarapan disajikan di Tuai + Till, restoran makan sepanjang hari yang menggabungkan dua konsep berbeza di bawah satu bumbung. Nama 'Tuai' yang membawa maksud hasil tuaian dan 'Till' yang merujuk kepada proses mengusahakan tanah diterjemahkan menerusi konsep farm-to-table. Ia menekankan lagi penggunaan bahan-bahan makanan segar dan berkualiti.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Bufet sarapan menawarkan pilihan yang pelbagai, merangkumi hidangan tempatan dan antarabangsa. Daripada sajian sarapan Malaysia yang lazat sehinggalah pilihan pastri, buah-buahan segar dan hidangan Barat. Setiap pilihan disusun dengan baik untuk memenuhi pelbagai cita rasa. Suasana restoran yang terang dan santai menjadikan ia tempat yang ideal untuk memulakan hari sebelum meneruskan aktiviti di sekitar bandar.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Fasiliti

Selain bilik dan pilihan gastronominya yang menarik, hotel ini turut menawarkan pelbagai fasiliti yang melengkapkan pengalaman gaya hidup moden. Selari dengan identiti jenama Kimpton yang menitikberatkan hubungan sosial dan pengalaman lebih peribadi, tetamu boleh memulakan hari dengan Kimpton Kickstart. Sajian kopi barista dan pilihan teh premium secara percuma di lobi hotel. Menjelang petang pula, Kimpton Social menghidupkan suasana menerusi sesi koktel santai yang memberi peluang tetamu untuk berinteraksi dalam suasana mesra dan kasual.

Bagi mereka yang ingin kekal aktif sepanjang penginapan, hotel ini menyediakan pusat kecergasan serba lengkap. Selain satu dek yoga di aras bumbung yang menawarkan pemandangan latar langit Kuala Lumpur yang memukau. Kolam renang terbuka di aras yang sama juga menjadi lokasi ideal untuk berehat sambil menikmati panorama bandar dari perspektif berbeza.

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Gambar ihsan: Kimpton Naluria Kuala Lumpur

Kimpton Naluria Kuala Lumpur turut menampilkan lima ruang acara yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan. Sama ada untuk mesyuarat korporat, majlis sosial mahupun sambutan istimewa yang lebih intim. Dengan gabungan reka bentuk moden, suasana santai dan fasiliti menyeluruh, hotel ini berjaya menawarkan pengalaman eksklusif namun tidak terlalu formal. Ia sesuai untuk pelancong yang amat menghargai keseimbangan antara keselesaan, gaya hidup dan hubungan sosial.

ADVERTISEMENT
ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down