Pengurus Besar, Derek Gomez berbicara tentang bespoke servis di The St. Regis Langkawi — daripada layanan butler peribadi sehinggalah pengalaman kesihatan mewah.

Dinobatkan sebagai “Permata Pulau Asia Tenggara” yang menjadi rebutan ramai, berdiri megah St. Regis Langkawi. Terletak di hujung tenggara pulau yang tenang dan dilingkungi hutan hujan berusia ratusan tahun, resort mewah bertaraf 5 bintang ini berada dalam Geopark pertama Asia Tenggara yang diiktiraf UNESCO, terkenal dengan gugusan 99 pulau yang mempesonakan.
St. Regis Langkawi terletak di lagun semula jadi terbesar pulau ini, dihiasi pantai pasir putih sepanjang 600 meter dan air hijau zamrud Laut Andaman. Dengan keindahan panorama laut dramatik, kehijauan tropika, vila eksklusif di atas air, serta kemudahan bertaraf dunia, resort ini menawarkan percutian yang tiada bandingannya.
Di pucuk pimpinan ialah Pengurus Besar, Derek Gomez, berkongsi bagaimana St. Regis Langkawi mendefinisikan semula hospitaliti mewah, melalui servis butler peribadi, sajian lestari dan pengalaman tetamu yang dikurasi penuh teliti.

Antara kemewahan bertaraf dunia termasuklah pengalaman kulinari di enam restoran dan bar signature, rawatan penuh indulgence di St. Regis Spa, serta ketenangan di tepi kolam infiniti, semuanya berbingkai latar dramatik pesisir hutan hujan Langkawi. Vila atas air yang ikonik menawarkan akses terus ke pantai dan panorama matahari terbenam yang menakjubkan, manakala ruang dalamannya memadukan sentuhan klasik dengan tona berani serta karya seni imaginatif daripada pelukis tempatan ternama. Setiap kamar pula menampilkan teres luas dengan pemandangan tanpa halangan, sama ada hamparan laut biru kehijauan atau kehijauan rimba tropika yang memukau.
Sejarah dan DNA Jenama St. Regis Hotel & Resort
Legasi St. Regis bermula pada tahun 1904 apabila John Jacob Astor IV membuka hotel pertama St. Regis di kota New York, sebuah hotel yang direka untuk mencerminkan keanggunan dan keagungan kediaman era Gilded Age. Sejak itu, jenama ini sinonim dengan keanggunan, servis mewah serta sofistikated.
Setiap hartanah St. Regis berpaksikan warisan penuh cerita ini, namun sentiasa ditata semula dengan penuh seni untuk mencerminkan budaya setempat. Daripada ritual ikonik kami seperti Champagne sabrage hinggalah kepada St. Regis Butler Service yang ditempa khas, DNA jenama ini berakar kukuh dalam dunia kemewahan tanpa kompromi dan perhatian terhadap setiap perincian yang sempurna.

The St. Regis Langkawi terletak di dalam Geopark pertama Asia Tenggara yang diiktiraf UNESCO, terkenal dengan gugusan 99 pulau. Kongsikan lebih lanjut mengenai lokasi unik ini.
Langkawi sememangnya sebuah mahakarya alam semula jadi. Dibelai oleh perairan zamrud Laut Andaman, pulau mempesona ini menawarkan keharmonian yang jarang ditemui antara hutan hujan purba, tebing batu kapur yang menjulang, serta teluk biru firus yang masih terpelihara. Sebagai sebahagian daripada Geopark Global UNESCO pertama di Asia Tenggara, pulau ini menempatkan khazanah geologi berusia 550 juta tahun, ekosistem yang penuh warna-warni dan warisan budaya yang berakar umbi.
The St. Regis Langkawi berdiri anggun di hujung selatan pulau utama yang tenang, hanya 30 minit pemanduan indah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Di sini, panorama matahari terbenam dan keindahan semula jadi yang menyeluruh mencipta suasana yang intim.


Pelbagai pilihan bilik, suite dan vila atas air yang boleh ditempah di The St. Regis Langkawi.
Direka oleh G.A Design dengan seni bina daripada firma ternama Gensler, The St. Regis Langkawi menggabungkan keanggunan klasik dengan sofistikasi kontemporari. Resort ini menampilkan 85 bilik dan suite yang ditata indah, bersama empat vila persendirian atas air, setiap satunya direka dengan teliti bagi mencerminkan gaya hidup pulau yang penuh kehalusan.
Sentuhan warna berani serta karya imaginatif artis tempatan menghadirkan identiti yang unik pada setiap ruang, manakala perabot khas, katil empuk, serta pemandangan indah. Sama ada ke arah hutan hujan mahupun Laut Andaman, menciptakan suasana mewah yang terserlah dengan penuh kesederhanaan.
Daripada percutian romantis hinggalah percutian keluarga, setiap penginapan menggabungkan keselesaan moden dengan keindahan semula jadi pulau ini. Sunset Royal Villa, yang terletak di atas air dengan kolam infiniti peribadi serta butler eksklusif, adalah puncak privasi dan kemewahan tanpa tandingan.

Sebagai seorang Pengurus Besar, apakah perkara pertama yang anda perhatikan apabila melangkah masuk ke sebuah hotel dan butiran apakah yang anda beri perhatian khusus?
Bagi saya, suasana adalah perkara terpenting sekali . Saya serta-merta akan merasai tenaga ruang itu, sama ada ia menyambut dengan hangat, bagaimana aliran pengalaman tetamu mengalir dengan lancar, serta sejauh mana pasukan benar-benar berinteraksi secara tulus dengan tetamu. Saya lebih peka terhadap pencahayaan, aroma dan alunan bunyi, namun di atas segalanya, mutu layanan adalah penentu utama. Senyuman penuh yakin di pintu masuk, atau layanan bijaksana yang dilakukan tanpa perlu diminta... itulah tanda aras sebenar hospitaliti bertaraf mewah.

Bagaimana anda mengekalkan standard layanan yang konsisten di St. Regis?
Konsistensi lahir daripada budaya kecemerlangan yang berakar kukuh. Kami memberi tumpuan besar pada latihan dan bimbingan, memastikan setiap kakitangan memahami bukan sahaja apa yang perlu dilakukan, tetapi juga mengapa ia penting. Kami beroperasi berlandaskan prinsip layanan penuh antisipasi, bukan sekadar memenuhi jangkaan, tetapi juga keperluan yang tidak terucap. Taklimat harian, audit berkala dan kitaran maklum balas masa nyata membolehkan kami mengekalkan standard tinggi sambil terus memperhalusi pengalaman tetamu.

Ceritakan lebih lanjut tentang St. Regis Butler Service, elemen ikonik yang menjadi asas kepada jenama St. Regis.
St. Regis Butler Service benar-benar tiada tandingan, ia adalah lambang kemewahan yang unggul. Setiap tetamu, tanpa mengira kategori bilik, akan mendapat layanan butler peribadi yang tersedia 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Dari membantu dengan bagasi dan menyeterika pakaian, hinggalah ke mengatur itinerari yang direka khas, butler kami sentiasa intuitif. Mereka bukan sekadar penyedia layanan, tetapi kurator yang teliti terhadap setiap penginapan tetamu, memastikan setiap perincian dilaksanakan dengan sempurna.


Apakah pengalaman kulinari yang boleh dinikmati para tetamu di The St. Regis Langkawi?
The St. Regis Langkawi menampilkan enam destinasi kulinari dan bar eksklusif, setiap satu direka untuk memikat deria. Restoran ikonik atas air, Kayuputi hasil rekaan Bill Bensley, menyajikan haute cuisine berinspirasikan Asia dalam ruang dramatik yang dihiasi antik dan khazanah seni bina. L’Orangerie pula mempersembahkan masakan Perancis moden dengan sentuhan Asia, berlatarbelakangkan panorama Laut Andaman.
Untuk pilihan lebih santai, The Gourmand Deli menawarkan pastri artisanal dan teh herba ais yang menyegarkan. Pada waktu malam, tetamu boleh menikmati koktel ikonik di The St. Regis Bar termasuk Lang Mary yang diinspirasikan budaya tempatan, atau mencuba koleksi vintaj eksklusif di The Decanter. The Drawing Room menyediakan suasana elegan untuk pertemuan intim. Setiap ruang mencerminkan komitmen resort ini terhadap kecemerlangan kulinari dan keunikan lokasinya.

Sejauh manakah kepentingan kelestarian dalam pendekatan kulinari anda dan bagaimana ia diterapkan di seluruh ruang makan hotel?
Kelestarian adalah tanggungjawab sekaligus sumber inspirasi. Kami bekerjasama rapat dengan petani dan nelayan tempatan untuk mendapatkan hasil segar bermusim, sekali gus mengurangkan jejak karbon sambil menyokong komuniti setempat. Kami juga meminimumkan pembaziran makanan melalui perancangan bijak dan inisiatif kompos, di samping giat meneroka pilihan menu berasaskan tumbuhan di seluruh ruang makan kami. Bagi kami, kelestarian bukan sekadar tentang apa yang terhidang di pinggan, ia adalah tentang mencipta perjalanan kulinari yang sedar dan telus.
Apakah koktel kegemaran anda di St. Regis Langkawi Bar?
Pertama sekali tentunya Lang Mary - interpretasi istimewa kami terhadap Bloody Mary. Berani, pedas, dan diperkaya dengan cita rasa tempatan seperti pandan dan asam jawa, ia benar-benar menangkap semangat Langkawi dalam satu hirupan.
Kedua, Pengat Pisang Cenang — ciptaan lestari terbaharu kami. Koktel inovatif ini menampilkan Chivas 18 yang diinfus dengan kulit pisang dan pandan, sirap perang buatan sendiri, serta lapisan krim kelapa — semuanya diolah semula dengan penuh teliti daripada dapur kami untuk mengurangkan pembaziran sambil memperkayakan rasa.

Fasiliti spa & wellness di The St. Regis Langkawi kelihatan menakjubkan! Boleh kongsikan dengan lebih lanjut?
Di The St. Regis Langkawi, wellness adalah sebahagian penting daripada pengalaman tetamu. Spa kami menggabungkan teknik tradisional dengan terapi moden, menggunakan botani tropika serta rawatan yang disesuaikan untuk mengembalikan keseimbangan tubuh dan minda. Antara ritual istimewa yang menonjol termasuk Where Oceans Meet, yang diinspirasikan oleh tradisi kecantikan Indonesia, serta Urutan Malaysia, urutan badan penuh tradisional berakar daripada warisan tempatan. Tetamu juga boleh menikmati rawatan wajah, manicure dan pedicure, semuanya dilaksanakan dengan penuh teliti dan perhatian terhadap setiap perincian yang menjadi ciri ikonik St. Regis.

Apakah yang menjadikan pengalaman menginap di hotel sesuatu yang tidak dapat dilupakan?
Segalanya bermula dengan sentuhan emosi. Tetamu mungkin tidak lagi mengingati butiran fizikal seperti fabrik cadar, tetapi mereka pasti akan mengingati bagaimana mereka dilayani, sambutan hangat yang menyapa, layanan mengejutkan yang penuh makna atau detik hening yang memukau. Penginapan yang abadi dalam ingatan ialah apabila setiap perincian, sama ada nyata ataupun tersirat, berpadu untuk membuatkan tetamu merasa benar-benar difahami, dihargai dan diraikan.

St. Regis Langkawi merupakan sebahagian daripada rangkaian Marriott Bonvoy. Nilai apakah yang dibawakan kepada hartanah ini?
Menjadi sebahagian daripada portfolio Marriott Bonvoy menghubungkan kami dengan komuniti global pengembara yang arif dan berpengetahuan. Ia memberikan capaian serta pengiktirafan yang luas, sambil membolehkan kami mengekalkan keunikan karakter resort ini. Program kesetiaan tersebut juga membolehkan kami menghargai tetamu setia dengan lebih bermakna, melalui pengalaman yang dipertingkat, akses eksklusif serta layanan peribadi yang semakin mendalam dengan setiap kunjungan.


Bagaimana anda melihat industri hospitaliti berkembang dalam beberapa tahun akan datang?
Kemewahan kini berkembang daripada berfokus kepada produk kepada pengalaman yang dipimpin oleh emosi. Pengembara masa hadapan mencari keaslian, sentuhan peribadi, serta hubungan yang penuh makna. Kelestarian, wellness dan teknologi akan terus membentuk pengalaman tetamu, namun tidak sekali-kali mengorbankan sentuhan insani. Di The St. Regis Langkawi, kami menyambut masa depan ini dengan menggabungkan tradisi abadi bersama inovasi yang penuh pertimbangan, memastikan tetamu kami sentiasa berasa seperti di rumah, meskipun dalam dunia yang sentiasa berubah.
Untuk maklumat lanjut mengenai St. Regis Langkawi, layari laman web di sini.
