Baru-baru ini, Jin daripada BTS melancarkan video muzik terbaharunya bertajuk ‘Don’t Say You Love Me’, yang tular bukan sahaja kerana melodinya yang menyentuh hati, tetapi juga penampilan istimewa pelakon jelita, Shin Sae-kyung. Dalam video tersebut, mereka menghidupkan kisah cinta yang lembut namun memilukan, menyentuh jiwa penonton dengan lakonan penuh emosi dan kehalusan ekspresi.

Menariknya, kisah percintaan kompleks antara Jin dan Shin Sae-kyung ini berlatarkan lokasi yang tidak jauh dari tanah air, iaitu di National Gallery Singapore, sebuah ruang seni dan warisan yang bukan sahaja memukau dari segi seni bina, tetapi turut sarat dengan nilai sejarah, budaya dan estetika yang menarik perhatian.
Terletak di bekas bangunan Mahkamah Agung dan Dewan Bandaraya Singapura, National Gallery Singapore merupakan muzium seni visual terbesar di Asia Tenggara. Di sinilah terkumpul karya agung daripada tokoh seni Asia seperti Liu Kang dan Georgette Chen. Bangunan ini menjadi lokasi utama kepada kisah cinta mereka, memperkayakan naratif dengan suasana yang elegan dan penuh makna.



Pemuliharaan struktur bersejarah ini diketuai oleh firma seni bina Studio Milou yang mengekalkan keaslian reka bentuk asal menerusi pendekatan restorasi minimal tetapi signifikan. Hasilnya ialah simfoni visual yang menggabungkan keagungan warisan silam dengan sentuhan moden yang memukau.


Antara ruang paling menonjol, dan turut menjadi latar kepada adegan-adegan romantis dalam video muzik ialah atrium tengah yang menghubungkan kedua-dua bangunan bersejarah ini. Diteduhi bumbung melengkung yang diperbuat daripada kayu dan kaca, ruang ini membenarkan cahaya semula jadi mencurah masuk, mencipta suasana yang hangat, dramatik dan hampir magis. Seolah-olah berada di dalam sebuah istana moden. Siluet bumbung yang beralun membawa nuansa keagungan yang tenang, seakan menyempurnakan naratif cinta yang sedang berkembang… sebelum akhirnya berakhir dengan pilu.

Di bawah bumbung melengkung ini terletaknya galeri bawah tanah serta tangga lebar yang menghubungkan ruang-ruang utama dengan lancar dan harmoni. Reka bentuk terbukanya mencipta suasana lapang, sekali gus menyediakan ruang rehat buat para pengunjung. Tempat sempurna untuk berhenti sejenak dan menghayati keindahan sekeliling.
National Gallery Singapore berdiri sebagai simbol pertembungan antara warisan dan kontemporari. Dengan nadi seni yang berdenyut dalam ruang yang pernah menyaksikan kebesaran silam, tidak hairanlah jika ada yang akhirnya… jatuh cinta.