Langgan

Wuthering Heights (2026): Antara Cinta & Konflik

Kisah yang penuh emosi dan pengakhiran yang tragis
2 minit untuk membaca
Published: February 11, 2026

Emerald Fennell kembali dengan sebuah adaptasi berani menerusi Wuthering Heights (2026). Dibintangi oleh Margot Robbie sebagai Catherine ‘Cathy’ Earnshaw dan Jacob Elordi sebagai Heathcliff. Filem ini bukan sekadar menghidupkan semula karya klasik Emily Brontë tetapi menawarkan tafsiran yang lebih gelap, lebih psikologikal dan penuh dengan emosi yang tidak terlerai.

Berbeza daripada adaptasi terdahulu yang sering menekankan romantik klasik dan visual landskap indah, versi ini memberi fokus kepada trauma, obsesi dan konflik kelas sosial.

Sinopsis

Filem ini membuka tirai dengan visual yang ‘gore’ dan sedikit mengganggu, memberi gambaran jelas tentang zaman dan realiti kehidupan era tersebut. Nada gelap ini segera menetapkan bahawa kisah yang bakal dipersembahkan bukanlah kisah cinta yang manis semata.

Penceritaan bermula dengan Heathcliff, seorang kanak-kanak yang dibawa masuk ke dalam keluarga Earnshaw dan dibesarkan bersama Cathy. Mereka membesar sebagai dua jiwa yang saling terikat, berkongsi kebebasan dan kebahagiaan zaman kanak-kanak. Namun, perbezaan darjat dan status sosial perlahan-lahan mencipta jurang di antara mereka.

Cathy memilih kehidupan yang lebih stabil bersama Edgar Linton, seorang lelaki kaya yang tinggal berdekatan dan hubungan mereka mula berubah arah. Keputusan ini menjadi asas kepada konflik emosi yang berpanjangan, mempengaruhi perjalanan hidup setiap watak dengan cara yang tidak dapat dielakkan.

Penceritaan & Gaya Naratif

Dari segi penceritaan, Wuthering Heights (2026) bergerak dalam ritma yang perlahan tetapi penuh tekanan emosi. Emerald membina cerita dengan memberi ruang kepada emosi watak berkembang secara semula jadi. Konflik kemudian meledak, penuh dengan dendam, salah faham dan ego.

Berbanding adaptasi lama yang cenderung meromantiskan hubungan Cathy dan Heathcliff, versi ini lebih jujur dan kejam terhadap realiti emosi mereka. Cathy digambarkan hidup dalam kemewahan tetapi kosong, manakala Heathcliff pula membawa luka lama yang bertukar menjadi kemarahan dan obsesi. Di sebalik dendam dan ego, rasa cinta yang tidak pernah padam terus menghantui mereka, mewujudkan hubungan terlarang yang penuh ketegangan emosi.

Pengakhiran filem ini tidak bergantung kepada kejutan dramatik, sebaliknya meninggalkan kesan yang mendalam, tragis dan kehilangan yang sukar diluahkan.

Estetika Visual & Rekaan Kostum

Dari sudut estetika visual, Wuthering Heights menampilkan identiti sinematik yang kuat berasaskan elemen gothic romantik yang gelap dan melankolik. Landskap yang luas, berangin dan terpencil menjadi latar visual utama. Ia berfungsi bukan sekadar sebagai lokasi tetapi juga mencerminkan emosi watak: liar, sunyi dan tidak stabil.

Rekaan kostum yang diinspirasikan era Victorian memainkan peranan besar dalam penceritaan emosi watak. Kostum Cathy berubah mengikut fasa hidupnya. Daripada fabrik yang lebih ringan dan natural ketika zaman muda, kepada material yang lebih structured dan refined apabila memasuki dunia sosial yang lebih tinggi tambahan dengan dua gabungan warna merah dan putih mengikut estetika filem ini.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down