Pasaran muzik tempatan sentiasa diraikan dengan bakat-bakat muda yang sentiasa tampil dengan bakat serta ilham baru muzik mereka. Setelah era 80-an dengan nama-nama seperti Sudirman, Nassier Wahab, M. Nasir juga Amy Search bersambung pula vokalis hebat era 90-an seperti Zamani, Hattan, Awie dan Jamal Abdillah mendominasi pasaran muzik.
Mencari tahu pula siapa pelapsi Faizal Tahir, Aizat Amdan, Hafiz Suip dan Azlan (Azlan & The Typewriter) yang cukup besar di era 2000 membawakan ELLE kepada pembaca beberapa generasi pelapis lelaki dalam bidang Pop tempatan yang harus diraikan bakat luar biasa mereka.
ELLE menoleh balik sepuluh tahun silam sehingga hari ini, siapa pelapis dalam bidang muzik yang sudah mendominasi pasaran muzik tempatan dengan rangkaian hits malar segar. Baca artikel lengkap ini bagi mendapatkan jawapannya.
HAEL HUSAINI
Sejak awal memulakan karier bermuzik secara solo, Hael Husaini benar-benar siap untuk mencuri tumpuan pendengar tempatan. Hasilnya, single "Jampi" yang diedarkan menjadi titik mula bakat muda ini konsisten sebagai pemuzik sehingga hari ini. Barisan hits seperti "Hajat", "Haram", "Kelentang-Kelentong" dan beberapa lagi sudah berjaya menjadi lagu-lagu cari makannya dalam bidang ini. Tidak hanya dikenali sebagai penghibur, Hael juga sudah menghasilkan melodi lagu-lagu penyanyi popular lainnya seperti Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizan dan Jaclyn Victor.
AMIR MASDI
Soloist yang satu ini antara yang cukup konsisten dalam rencana bermuziknya. Berbekal single seperti "Kau Sakiti", "Puas" dan duet bersama Dayang Nurfaizah berjudul "Debu" - Amir Masdi menjadi pelapis Pop yang diperakui bakatnya. Baru saja mengedarkan album terbarunya berjudul AM:PM, Amir Masdi semakin pasti dengan langkahnya untuk bermuzik. Vokal padu yang dimiliki sentiasa menjadi kekuatan Amir untuk terus kekal relevan.
NAIM DANIEL
Pengalaman dalam bidang lakonan memberi kelebihan buat Naim Daniel beremosi sebebasnya dalam lagu-lagu yang pernah dirakamkan. "Sumpah" menjadi batu loncatan untuk Naim dikenali sebagai seorang penyanyi. Berbekal beberapa single lain seperti "Sembah", "Adakah Engkau Menungguku" dan kolaborasi bersama Haqiem Rusli dan Hael Husaini menerusi "Lara" meletakkan Naim Daniel tidak hanya sebagai penyanyi yang diperakui bakatnya malah sebagai pencipta lagu yang bagus.
YONNYBOII
Arena Hip-Hop tidak pernah lekang dengan bakat-bakat yang sangat berbakat. Yonnyboii satu daripadanya yang konsisten dalam rencana muziknya. Keunikan dalam stail nyanyia Yonnyboii menjadikan dia memiliki tarikan yang cukup tersendiri. Dengan bait lirik yang cukup dekat dengan pendengar muda hari ini, Yonnyboii mewakili suara generasinya tidak hanya dalam bermuzik malah pemikiran dan gaya hidup.
HAQIEM RUSLI
Dalam lapangan muzik Balada, nama Haqiem Rusli antara yang memiliki kualiti suara yang paling baik. Persembahannya yang penuh emosi sentiasa menjadi sebab mengapa Haqiem antara pelapis muzik Pop yang digilai. Dengan barisan hits seperti "Tergantung Sepi", "Segalanya", "Jatuh Bangun" sehingga yang terbaru "Sangkar Derita" sudah menjadi lagu-lagu yang dihafal penggemarnya.
ISMAIL IZZANI
Satu lagi nama yang datang dengan citarasa muzik yang sangat baik adalah Ismail Izzani. Sejak awal bermuzik dengan hits "Sabar" Ismail antara penyanyi yang datang dengan kualiti yang tersendiri. Pengaruh muzik Pop juga R&B dan Hip-Hop yang ada padanya menjadikan sound muzik Ismail kedengaran lebih forward berbanding penyanyi seangkatannya. Tahun ini Ismail menghadirkan single "Iman" setelah hampir dua tahun tidak tampil dengan sebarang lagu baru.
FIRDAUS RAHMAT
Sejak mencuri perhatian dengan single yang menjadi pengisian runut bunti siri Projek Anchor SPM menerusi lagu "Sentiasa" nama Firdaus Rahmat cukup mencuri perhatian. Dengan barisan lagu-lagu lain yang mendapat tempatan pendengar tempatan seperti "Test Drive", "Kembali Beraksi" dan "Aku Rayu" - nama Firdaus Rahmat konsisten sebagai bakat pelapis yang terus diraikan. Bakatnya dalam mencipta lagu juga sudah mendapat perhatian penyanyi papan atas tempatan yang lain.