Langgan

Inspirasi Perjalanan Selena Gomez, Bilionair Muda

Rare Beauty telah menjadi penyumbang besar kepada kejayaannya sebagai salah seorang bilionair muda.
2 minit untuk membaca
Published: September 8, 2024
selena gomez
Gambar: Instagram/ @selenagomez

Bermula sebagai bintang kanak-kanak dalam siri Disney Channel, Selena Gomez kini merupakan salah seorang wanita termuda yang memegang status bilionair. Meskipun Selena dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, kesusahan hidup bukan penghalang bagi mengubah nasib keluarganya. Kejayaannya datang dari hasil kerja keras sejak di awal usia.

Rangkaian kosmetik Rare Beauty, yang dilancarkan pada September 2020 merupakan faktor kejayaannya. Rare Beauty bukan sekadar jenama kecantikan yang biasa, ia membawa visi untuk mencabar norma kecantikan yang sering meletakkan fokus kepada kecantikan fizikal. Visi utamanya adalah untuk mempromosikan penerimaan diri dan menghargai keunikan setiap individu.

Selain daripada itu, usahanya untuk mengubah persepsi dalam industri kecantikan, menjadikan Rare Beauty lebih inklusif dan mesra kepada semua individu tanpa mengira umur, jantina, bangsa, keupayaan fizikal mahupun mental. Produk yang dihasilkan turut direka dengan tujuan untuk memudahkan penggunanya, termasuk individu yang mempunyai kelemahan fizikal. Dalam hanya tempoh empat tahun, Rare Beauty telah berjaya membina sebuah komuniti dan peminat di seluruh dunia. 

Menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg, kekayaan Selena kini dianggar bernilai sebanyak AS$1.3 bilion. Bahagian besar daripada kekayaan ini adalah hasil daripada kejayaan Rare Beauty, manakala bahagian selebihnya datang daripada kerjayanya sebagai seorang pelakon, penyanyi serta kolaborasi bersama jenama seperti Puma dan Coach.

Menerusi filem dokumentari Selena Gomez: My Mind & Me: Selena berkongsi perjuangan melawan lupus dan gangguan bipolar, menjadikannya suara penting dalam kesedaran kesihatan mental. Selena berusaha menghapuskan stereotaip negatif dengan menggalakkan perbincangan terbuka tentang isu ini untuk meningkatkan kesejahteraan mental bagi individu yang memerlukan. Dengan lebih daripada 424 juta pengikut di Instagram, Selena mempunyai kuasa besar dalam mempengaruhi para peminatnya.

Jelas, perjalanan Selena Gomez daripada bintang kanak-kanak yang menghadapi pelbagai cabaran peribadi sehingga menjadi salah seorang bilionair termuda di Amerika Syarikat merupakan inspirasi kepada semua. 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down