Pasaran muzik Pop tempatan semakin melejit dengan rangkaian lagu-lagu terbaru. Lihat senarai dengar pilihan ELLE minggu ini.
Midnight Fusic - Modus Operandi (EP)
Kugiran indie Pop tempatan yang cukup popular dengan lagu seperti Caramel Cream, Vertigo dan Lovesick ini kembali dengan naskhah terbaru dalam EP yang menampilkan empat lagu keseluruhan. "Residue" menjadi pengenalan EP ini sudah beredar awal dilengkapkan dengan tiga lagi lagu iaitu "One More Time", "Modus Perandi" dan "Upside Down".
Erni Zakri & Anggi Marito - Kisah Penuh Kecewa
Setelah kejayaan luar biasa "Masing-Masing" yang memecah tembok pasaran muzik Indonesia, Ernie Zakri meneruskan kelangsungan bermuziknya dengan sebuah lagi lagu yang akan terus digilai. Lebih istimewa kali ini dia berkolaborasi bersama Anggi Marito yang sebelum ini cukup popular dengan lagu "Tak Segampang Itu". Lagu duet pertama bersama ini diberi judul "Kisah Penuh Kecewa" hasil ciptaan bersama Ernie, Clara Riva dan S/EEK.
Aziz Harun - Ruang & Waktu
Aziz Harun kembali galau dalam persembahan lagu terbarunya "Ruang & Waktu". Setelah kejayaan lagu-lagu seperti "Janji", "Jangan" dan "Jauh" lagu ini bakal meneruskan kelangsungan kepada popularitinya. Hasil ciptaan bersama Aziz, Justin Teow, Madykit dan Reza Vebrian.
Hael Husaini - Penjuara
"Penjuara" menjadi lagu terbaru daripada soloist Hael Husaini yang diciptakan bersama Iqie Hugh. Lagu yang menjadi satu daripada tiga lagu tema utama filem Ejen Ali The Movie 2. Datang dalam ilham Pop Rock yang lengkap sebagai naskhah melatari filem animasi penuh aksi ini.
Naim Daniel & Adnin Roslan - Seni Berdamai Dengan Takdir
Setelah kejayaan EP Lelaki Gila yang beredar awal tahun ini, Naim Daniel kembali dengan sebuah lagi melodi dalam persembahan kisah penuh galau. Menjadikan lagu "Seni Berdamai Dengan Takdir" ini adalah penampilan Adnin Roslan yang pertama kalinya berkolaborasi bersama Naim Daniel.
Aizat Amdan - Sendiri Aku OK!
Lama sebetulnya Aizat tidak menzahirkan naskhah muzik terbaru. Aizat Amdan kembali dengan sebuah naskhah Synth Pop yang cukup catchy dan mungkin ini sesuatu yang baru kita dengarkan daripada Aizat yang sebelum ini cukup dikenali dengan lagu-lagu Pop Balada seperti "Lagu Kita", "Hingga Ke Hari Tua" dan "Hanya Kau Yang Mampu". Lagu ini memberi satu landskap baru muzik Aizat yang lebih segar dan mengujakan.