Oktober telah tiba, membawa bersama suasana perayaan Halloween yang dipenuhi misteri dan kegelapan. Dalam bulan yang menyeramkan ini, ramai di antara kita 'terikat' dengan pesona filem-filem hantu dan kisah seram dari Hollywood. Jadi, mengapa tidak kita selami dunia cerita-cerita hantu buatan Malaysia pula? Daripada kisah klasik yang menggetarkan jiwa sehinggalah penggambaran moden yang penuh kejutan, filem-filem seram tempatan ini menjanjikan pengalaman menggentingkan yang tidak kurang hebatnya. Inilah pilihan yang tepat untuk anda yang ingin menikmati filem seram pada bulan Oktober ini!
Munafik
Gambar: imdb.com
Munafik adalah filem seram Malaysia yang menarik perhatian, yang diarahkan oleh Syamsul Yusof. Mengisahkan Adam, seorang ustaz yang melawan kuasa jahat selepas peristiwa misteri, filem ini dibintangi pelakon hebat seperti Nabila Huda dan Datuk Rosyam Nor. Elemen seram yang ditonjolkan, termasuklah hantu dan ujian yang mencabar keimanan, menjadikan filem ini penuh ketegangan dan menggugah pemikiran. Munafik adalah pilihan tepat untuk peminat filem seram yang mencari pengalaman menakutkan dan refleksi mendalam tentang kepercayaan.
Dukun
Gambar: imdb.com
Dukun mengisahkan Mona, seorang dukun terbabit dalam kes pembunuhan, menjalani kehidupan gelap yang dipenuhi amalan ilmu hitam. Filem yang diarahkan oleh Dain Said dan dibintangi Umie Aida ini mempamerkan bagaimana usaha Mona untuk membantu seorang pelanggan berubah menjadi tragedi yang tidak terduga. Sarat dengan suasana tegang dan elemen mistik, Dukun menawarkan pengalaman seram yang mendalam serta mengajak penonton merenung kembali tentang akibat perbuatan seseorang.
Penunggang Agama
Gambar: @astroshaw instagram
Penunggang Agama mengisahkan watak bernama Amir dan Anna, pasangan suami isteri yang mendepani cabaran apabila ibu tiri Amir, yakni Datin Maria, mengalami gangguan makhluk halus. Bapa Amir, Dato' Hafsyam, memanggil Tok Haji, seorang ‘pakar ruqyah’, namun Amir dan Anna (yang dilakonkan oleh Zul Ariffin dan Azira Shafinaz) meragui kepakaran Tok Haji. Anna yakin Tok Haji sebenarnya adakah seorang bomoh. Dilengkapi suasana genting dan elemen seram yang mendalam, filem ini bermain dengan teka-teki tentang siapakah penunggang agama yang sebenar? Ia mengajak penonton-penonton untuk berfikir semula tentang kepercayaan serta moral dalam kehidupan.
Hantu Kak Limah Balik Rumah
Gambar: youtube.com
Dah bosan dengan cerita seram yang tidak dapat membuat anda tidur? Mungkin Hantu Kak Limah Balik Rumah yang menggabungkan komedi dan seram ini dapat menarik perhatian anda! Husin yang dilakonkan oleh Awie pulang ke Kampung Pisang setelah bekerja di Singapura dan mendapati jirannya, Kak Limah, berkelakuan aneh. Setelah berkongsi cerita di kedai kopi, Pak Abu, yang dilakonkan oleh Zami Ismail, mencadangkan mereka untuk pergi menyiasat. Namun, mereka terkejut menemukan Kak Limah, yang dilakonkan oleh Delimawati, sudah menjadi mayat yang semakin membusuk. Walaupun Kak Limah sudah dikebumikan, kejadian aneh terus menghantui kampung tersebut. Diarahkan oleh Allahyarham Mamat Khalid, filem ini menawarkan pengalaman seram yang diselitkan elemen humor dan pasti akan menghiburkan anda sepanjang tontonan!
Ngangkung
Gambar: imdb.com
Tiga sahabat baik berusaha mendapatkan nombor bertuah untuk loteri, tetapi pelbagai masalah (dan tawa) timbul. Azim, pemandu lori, berjumpa bomoh untuk masalah kewangan, tetapi perangainya berubah. Tasnim melanggar janji untuk tidak membeli tiket loteri demi isterinya yang hamil, manakala Wan terjebak dengan pinjaman hutang. Filem arahan Ismail Bob Hashim ini menampilkan Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak dan Azad Jasmin sebagai teraju utama. Dengan gabungan elemen komedi dan seram, penonton wajib menonton cerita ini untuk merasai ketegangan yang mendebarkan sambil ketawa. Menjadikannya pengalaman yang menghiburkan dan unik!