Langgan

25 Tahun Bersama Rossa, Ratu Pop Indonesia

Filem dokumentari ‘All Access to Rossa 25 Shining Years’ akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 18 Oktober 2024
2 minit untuk membaca
Published: September 12, 2024
Rossa 25
Gambar: Rossa/ @itsrossa910

Pelbagai emosi bakal mengiringi penonton sepanjang filem dokumentari ‘All Access to Rossa: 25 Shining Years’. Penyanyi lagu ikonik Hey Ladies, Dato’ Sri Rossa, membawa penonton menyelami sisi peribadinya yang belum pernah didedahkan sebelum ini. Filem ini merungkai perjalanan hidup seorang seniman, kisah sebagai ibu kepada anak lelaki tunggalnya, serta cerita di sebalik konsert solo Rossa ‘25 Shining Years Concert’.

Filem dokumentari ini dipersembahkan oleh Time International Films dengan kerjasama Inspire Pictures dan Sinemaku Pictures, dengan arahan oleh Ani Emi Susanti. Bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura, dan Brunei pada 18 Oktober 2024. Filem ini bukan sahaja menunjukkan pencapaian Rossa dalam industri hiburan, tetapi turut mempamerkan kisah peribadinya di sebalik kejayaan, perjuangan, serta dedikasinya sebagai seorang penghibur.

Dato’ Sri Rossa, yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Teh Ocha, kini berusia 45 tahun, namun terus kekal relevan dalam industri muzik. Dengan suara memikat, beliau memulakan perjalanan seninya sejak usia remaja, menakluk hati para peminat dari Indonesia serta negara-negara serumpun. Menurut pengurusnya, P. Intan S., filem ini seolah-olah melengkapkan segala pencapaian yang telah diraih oleh Rossa selama lebih 25 tahun berkarya.

‘All Access to Rossa: 25 Shining Years’ bukan sekadar sebuah dokumentari, ia adalah penghargaan buat Rossa yang telah banyak memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat, terutama bakat-bakat muda dalam industri muzik. Rossa turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan menyokong sepanjang perjalanan kariernya.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam terdekat dan pastikan anda membawa tisu (sebagai peringatan awal). Filem ini pasti akan meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang menonton.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down