Usai fasa pandemik pasaran muzik tempatan sudah melahirkan banyak bakat baru yang begitu menyerlah dengan ilham yang cukup tersendiri. Generasi baru muzik tempatan hari ini tidak menoleh ke belakang dengan idea serupa tetapi bergerak laju meneroka pengisian baru yang mampu dimanipulasi menjadi kraf mereka dengan acuan yang tersendiri.
Sekitar tahun 2017 sehingga 2020, bakat muda seperti Masdo, Insomniacks, Naim Daniel, Hael Husaini, Midnight Fusic, Zamaera dan Pastel Lite mencuri perhatian sebagai pelapis muzik yang begitu diraikan. Lagu-lagu yang dihasilkan menjadi bukti pasaran muzik ketika itu tidak kurang dengan bakat muda yang punya sesuatu yang baru dan segar untuk ditawarkan. Ia juga bergerak sebagai bukti pendengar tempatan sudah semakin terbuka meraikan bakat-bakat muda.
Dua tiga kebelakangan ini, TikTok menjadi masa depan pemasaran muzik global. Jika tepat dengan situasi dan masa – lagu yang mengena dengan keadaan, perasaan dan memiliki cerita yang berkait dengan pendengar akan mendapat tempat. Hal ini sudah terbukti dengan beberapa lagu yang popular di TikTok sebelum memuncak di gedung muzik digital lainnya. Capaian muzik yang lebih luas membenarkan lagu-lagu yang popular di aplikasi ini meledak tidak hanya di satu lokasi sahaja tetapi membelah batas pasaran muzik luar.
Yuji dan Aisha Retno antara pemuzik yang berjaya dengan formula pemasaran ini. Lagu-lagu mereka cukup diraikan tidak hanya pendengar tempatan tetapi juga penggemar muzik serantau. “Old Love” kolaborasi Yuji bersama Putri Dahlia sudah didengar lebih 270 Juta kali di Spotify sahaja dan Aisha Retno mempesona penggemar muzik nusantara berbekal single “W.H.U.T” yang sehingga hari ini sudah distrim lebih 67 Juta kali sehingga artikel ini ditulis. Kedua-dua lagu ini menembus pasaran muzik luar dengan rangkaian digital yang tersedia.
Hal ini begitu benar-benar memberi harapan yang cukup cerah untuk muzik tempatan mendunia sebetulnya. Jika ada pelan pemasaran yang bertepatan dan lebih solid berserta sokongan pihak berwajib ia akan memberikan kelebihan untuk muzik menjadi salah satu sumber ekonomi negara. Bercakap tentang hal ini, Korea Selatan sudah membuktikannya. Hiburan dilihat sebagai satu sumber ekonomi yang membantu cabang lain bagi memesatkan perkembangan ekonomi negara.
Walaupun masih jauh perjalanan kita untuk seiring Korea Selatan tetapi ruang masih ada untuk kita belajar dan melaksanakan apa yang boleh. Sayang sebetulnya jika bakat-bakat muda dalam bidang muzik ini tidak diraikan bakat mereka kerana apa yang sudah ada hari ini asasnya sudah cukup kuat untuk kita bangga dengan penghasilannya.
Beberapa album serta EP sudah diterbitkan dengan kualiti yang cukup tinggi penghasilannya. Rujukan terbaik beberapa tahun kebelakangan ini adalah album dan EP seperti Tangerine – Lunadira & Reddi Rocket (2021), Untuk Kau – FLQ (2023), Punk Gong – No Good (2022) dan New Classic (Dolla) menjadi antara gerakan penting muzik baru tempatan yang benar-benar telah meninggikan standard muzik kita ke tahap yang membanggakan.
Penghasilan album penuh semakin dipandang serius tanpa hanya perlu terikat dengan single sahaja. Tahun ini kita sudah menyaksikan penghasilan album-album penuh dengan penceritaan serta persembahan muzik yang bergerak dengan identiti sendiri. Lunadira antara soloist wanita yang benar-benar harus diraikan. Album perdananya yang beredar awal tahun ini berjudul “I’ll be alright, right?” membuktikan kemampuan Lunadira menghasilkan sesuatu yang standard-nya sebaris apa yang ada di pasaran global.
Amir Jahari dengan kejayaan luar biasanya menerusi lagu “Hasrat” membuka laluan baginya menghasilkan sebuah lagi album dengan judul “Kembali” sebagai sebuah manifestasi idea dan pemikiran Amir sebagai pemuzik. Beberapa album lain yang harus diberi perhatian adalah FUGO (99), Satwo (Di Persembunyian), Syiqin Azln (Selamat Pulang), Panklima (Lempank) dan Awang Samrow (Pok Snahu).
2024 sepertinya akan menjadi tahun yang akan menumbuhkan lebih lagi khabar-khabar gembira untuk pasaran muzik tempatan menjadi lebih berwarna. Bakat-bakat baru ini seharusnya diraikan bakat dan idea mereka tanpa prejudis. Adakah kita sebagai pendengar bersedia?
Bakat Baru Pilihan
- FLQ
- Lunadira
- Fugo
- jsprgry
- NAKI
- Syiqin Azln
- TY:DEL
ELLE Mixtape
- Jangan Biar (Ramayan / Lunadira)
- Datanglah Sang Puteri (NAKI)
- Aku Rindu (Amir Jahari)
- I Think I’m In Love (Yedira)
- Pentas Sandiwara (FUGO)
- Apa Khabar (Jsprgry)
- Sayang / Cinta (Insomniacks)
- Secukupnya (Syiqin Azln)
- Dato Seri (Panklima)
- Dok Degih (Awang Samrow)
- Here For You (Dolla)
- Hari Tua (Najmi Niery)