Makan tengah hari sepasukan ELLE Malaysia sangat mengenyangkan, serasa puas pabila mencuba segala makanan di Luk Yu Tea House yang terletak di aras lower ground, The Starhill di JW Marriott Hotel!
Rasa tidak sabar berbangkit. Mengatur langkah ke Luk Yu Tea House yang berlokasi di aras bawah sekali di The Starhill, mencongak antisipasi kami yang mahu ‘mengisi perut’ dengan menu-menu makanan Cina. Apa yang uniknya fasal restoran berkonsepkan 'rumah teh' ini adalah perubahannya yang teramat mengujakan, termasuklah suntikan tenaga baharu pada menu-menunya untuk melengkapi rekaan dalamannya dengan Chinoiserie-inspired atau berilhamkan Cinoiseri.
Unsur harmoni ketimuran budaya Cina meneguhkan lagi identiti restoran ini. Estetika Cina meronai rupa dalam, menonjolkan aspek yang autentik. Tea house ini mengutip ilham daripada sajak nukilan pujangga Dinasti Tang, Lu Yu, yang menulis The Classic of Tea yang memerikan kisah sejarah dan budaya teh Cina – menurut Lu Yu, teh melambangkan harmoni dan perpaduan alam semesta yang misteri.
Luk Yu Tea House memberi penghormatan buat sarjana teh serta penulis teh Cina menerusi hidangan olahan teh-teh berkualiti dari Taiwan dan China, untuk disebatikan dengan makanan yang dimakan.
Kecap kenikmatan jamuan selera daripada Luk Yu Tea House yang menampilkan rasa-rasa autentik, yang membariskan ‘kurasi’ makanan-makanan beridentitikan adat timur Cina. Menu-menunya terdiri daripada hidangan Yum Cha, yang menampilkan dim sum handcrafted Hong Kong. Kepelbagaian hidangan homestyle istimewa Kantonis dengan signature Wok Hei yang memiliki aromatik unik ini pasti menjanjikan pengalaman yang mengujakan. Dan sudah tentu, mereka turut menghidangkan mi-mi yang disediakan secara sempurna buat pengunjung-pengunjung.
Sejujurnya, pengalaman menyudi menu-menu makanan berteraskan kecinaan di restoran ini benar-benar mengindahkan tunas rasa kami. Setiap gigitan, setiap rasa merealisasikan esen resipi tradisional dan flavor yang menyamankan.
Ulasan Luk Yu Tea House daripada ELLE Malaysia
Sri Azni Azran, Pengarah Digital, “Dari dulu lagi saya suka ke Luk Yu Tea House. It’s my go-to-place for Dim Sum, kerana makanan-makanannya berkualiti tinggi! Dan harga pun berpatutan. Kegemaran saya adalah Dim Sum dan juga udang deep-fried bersaduran floss ayam yang menjadi menu signature Luk Yu.”
Iera Nadzlim, Pengarah Seni, “Sejujurnya, saat melangkah masuk ke restoran ini, berbangkit rasa mewah. Terutama sekali ambiens restoran tersebut, seperti berada di era dinasti Tang! Servis mereka juga teramat bagus dan selesa. Menu yang menjadi pilihan saya adalah Chee Cheong Fun Udang dan kulit ikan goreng bersaduran telur masin. Sedapnya!”
Athirah Zahra, Penulis Fesyen, “Saya suka semua makanan! Tetapi jika saya harus pilih yang menjadi kegemaran utama, adalah Crispy French Bean dengan lada Sarawak. Saya rasa saya boleh pergi ke Luk Yu dan makan di sana setiap hari, haha! Servis pun bagus, ambiens yang selesa serta begitu mesra… serasi dengan mood makan tengah hari kami masa itu.”
Ardi Idewani, Pengarang Pengurusan, “Saya sukakan Cantonese-Styled Fried Rice dan Signature Foo Yong Egg with Crab Meat. Kombinasi kedua-dua santapan itu amat sempurna. Makan pula dengan kulit ikan goreng yang bersaduran telur masin dan menyempurnakan rasanya dengan Chinese Tea. Memadai buat saya. Lokasinya juga best, yang tersergam indah di tengah-tengah kota Kuala Lumpur dan tidak merumitkan untuk ke sana.”
Maklumat lanjut:
Luk Yu Tea House adalah pork free
Waktu beroperasi – 11.30am sehingga 10pm
Untuk tempahan: Whatsapp +60 18 623 0892