Cukup popular di kalangan penggemar dunia kecantikan, Tyra Kamaruzzaman mencipta pesona dengan caranya yang tersendiri. Bermula menceburkan diri dalam bidang perniagaan sejak usia belasan tahun, Tyra hari ini menjadi inspirasi kebanyakan pengikutnya.
CERITAKAN TENTANG DIRI ANDA
Minat dalam bidang kecantikan bermula sejak saya berusia 15 tahun dan pada usia 18 tahun saya memulakan perniagaan dalam bidang ini. Bermula dengan jenama BeauTyra kini jenama kecantikan yang saya jalankan ini berkembang dengan nama baru iaitu TK By Tyra dengan fokus pemasaran serta sasaran pengguna yang berbeza.
BOLEH CERITAKAN BAGAIMANA KARIER ANDA BERMULA?
Awalnya saya mendapat tawaran menjadi model pada usia 15 tahun dan bayaran pertama yang saya dapat saya ke Sephora untuk membeli alat mekap kerana minat yang ada. Pada masa yang sama juga saya banyak melihat video-video Michelle Phan dan Zoella Beauty di YouTube yang membuatkan minat dalam bidang kecantikan semakin mendalam. Daripada situ kecintaan terhadap bidang kecantikan bercambah.
ADAKAH APA YANG ANDA LAKUKAN SEKARANG SEBAHAGIAN DARIPADA IMPIAN MASA KECIL?
Kalau diikutkan ketika kecil dulu saya bercita-cita untuk menjadi seorang pakar forensik. Mungkin juga ketika membesar saya banyak bergaul dengan adik-beradik dan sepupu lelaki. Tapi semuanya berubah ketika saya mula mendapatkan job pertama dalam bidang modeling.
BOLEH CERITAKAN PROSES KREATIF KETIKA BEKERJA?
Tiada proses yang tertentu. Saya suka untuk menjadikan sesuatu yang saya lakukan lebih memiliki sentuhan yang personal. Jika ia memberi keterujaan, saya akan mencari cara terbaik dalam melaksanakannya.
BAGAIMANA ANDA MENTAFSIRKAN HASIL KARYA ANDA?
Personal dan simple tetapi ada daya tarikan. Saya sukakan sesuatu yang minimal tetapi pada masa yang sama masih mampu menyerlah dan meninggalkan kesan. Apa yang penting bagi saya adalah keseimbangan dalam menciptakan sesuatu yang menepati estetika kerja saya dan sesuatu yang mampu menarik perhatian orang ramai.
ADA RUJUKAN TERTENTU ATAU IKON PILIHAN?
Tiada ikon tertentu yang saya jadikan rujukan tetapi saya suka melihat persekitaran dan individu-individu yang ada cerita tersendiri. Melihat ragam orang-orang sekeliling juga mampu memberi inspirasi bagi saya.
APA YANG MEMBEZAKAN ANDA DENGAN PEREKA LAIN?
Inklusif. Saya ciptakan sesuatu yang memiliki sentuhan peribadi dan inilah yang membuatkan orang selesa dan dekat dengan apa yang saya lakukan. Saya mahu semua orang mampu memahami visi yang ada dan pada masa yang sama boleh relate dengan apa yang saya lakukan.
APA YANG MEMBERI INSPIRASI BUAT ANDA KEBELAKANGAN INI?
Love. Sejak mengandungkan bayi pertama ini saya rasa ia satu pengalaman dan transisi yang cukup menarik untuk saya raikan sekarang. Pengalaman ini memberi satu impak berbeza dalam kerja dan kehidupan saya sebenarnya.
JENIS MUZIK YANG ANDA DENGARKAN KETIKA BERKARYA?
Saya sukakan Jhene Aiko, Sade dan Kehlani. Muzik mereka memberi satu ketenangan yang memberi refleksi pada kreativiti kerja. Selain itu lagu-lagu mereka sangat membangkit mood saya ketika bekerja.
TIGA PERKATAAN YANG MENGGAMBARKAN ESTETIKA ANDA?
Personal, timeless, inclusive.
Penulis / Penyelaras: Hafizan Mohd / Athirah Zahra Arahan Seni: Iera Nadzlim Penataan Gaya: Ardi Idewani Fotografi: Azim Mahayudin/Am Studio dibantu Adil Aqil Solekan: El Manda menggunakan YSL Beauty Dandanan: VV Chan menggunakan Shisheido Professional