Keperibadian yang cukup lembut memberi pentafsiran pada hasil karyanya yang disifatkan sebagai sesuatu yang menyenangkan. Sofia Haron menjadi titik tumpu pelapis dalam bidang seni halus sejak awal dia memulakan karier dalam bidang ini. Hari ini dia bertumbuh sebagai seorang karyawan seni yang tinggi permintaannya.
CERITAKAN TENTANG DIRI ANDA
Saya seorang karyawan seni halus yang aktif dalam bidang ini sejak tahun 2011. Sepanjang menjadi seorang pekerja seni saya sudah melaksanakan dua pameran solo dan pelbagai pameran berbentuk kolaborasi bersama artis lain.
BOLEH CERITAKAN BAGAIMANA KARIER ANDA BERMULA?
Saya bertuah sejak awal melibatkan diri dalam bidang ini saya mendapat bimbingan daripada karyawan senior. Ia membuka banyak peluang untuk saya melibatkan diri untuk terlibat dalam pelbagai pameran seni.
BOLEH CERITAKAN PROSES KREATIF KETIKA BEKERJA?
Ketika berkarya fokus saya adalah pada figura manusia. Selalunya saya sudah ada bayangan siapa yang menjadi muse pada satu-satu karya yang mahu dihasilkan. Saya akan merakam gambar muse tersebut dan memulakan proses lakaran sehingga mendapat komposisi yang tepat seperti apa yang saya mahukan. Daripada situ proses seterusnya bermula sehinggalah saya berpuas hati dengan hasilnya.
BAGAIMANA ANDA MENTAFSIRKAN HASIL KARYA ANDA?
Jika mahu diberikan satu terma terbaik dalam pentafsiran stail karya seni saya sifatkan sebagai ‘Romanticism in 21st Century’. Sesuatu yang berpaksi pada kelembutan dengan pilihan warna terang yang menyerlahkan emosi serta perasaan. Kebanyakan masa saya berkarya adalah pada waktu siang kerana saya percaya cahaya matahari mampu memberi justifikasi terbaik pada warna yang saya pilih dalam setiap karya.
ADA RUJUKAN TERTENTU ATAU IKON PILIHAN?
Renaisans adalah era yang paling banyak memberi inspirasi pada saya. Karya Hieronymus Bosch’s ‘The Garden of Earthly Delights’ satu daripada karya pilihan saya dan James Jean adalah figura seni yang saya kagum.
APA YANG MEMBEZAKAN ANDA DENGAN PEREKA LAIN?
Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang seni saya tidak mahu terikat dengan dengan penghasilan seni halus sahaja. Banyak platform seni lain yang sudah saya terokai untuk mengembangkan idea seni. Daripada rekaan set muzik video, seni rekaan dalaman sehinggalah melakukan pameran seni.
APA YANG MEMBERI INSPIRASI BUAT ANDA KEBELAKANGAN INI?
Kebelakangan ini saya sibuk dengan menyiapkan ruang kreatif untuk saya bekerja dan banyak inspirasi saya salurkan menerusi projek ini. Setelah ia selesai saya akan mula dengan projek seni yang baru pula.
JENIS MUZIK YANG ANDA DENGARKAN KETIKA BERKARYA?
Muzik begitu memainkan peranan penting membentuk persekitaran dan mood proses menyiapkan kerja. Saya banyak mendengar Poetry Rap, Hip-Hop dan runut bunyi anime. Antara yang saya suka juga adalah runut bunyi ‘Final Fantasy’. Tapi selalunya muzik Hardcore Rap banyak memberi momentum setiap kali saya harus siapkan sesuatu karya.
TIGA PERKATAAN YANG MENGGAMBARKAN ESTETIKA ANDA?
Soft, feminine, calm.
Penulis / Penyelaras: Hafizan Mohd / Athirah Zahra Arahan Seni: Iera Nadzlim Penataan Gaya: Ardi Idewani Fotografi: Azim Mahayudin/Am Studio dibantu Adil Aqil Solekan: El Manda menggunakan YSL Beauty Dandanan: VV Chan menggunakan Shisheido Professional