
Balenciaga memperkenalkan inisiatif baharu ‘Artean’ melalui sebuah instalasi seni khas di butik utamanya di Via Montenapoleone, Milan. Projek ini menandakan kolaborasi pertama bersama artis utama di bawah arahan Pengarah Kreatif, Pierpaolo Piccioli. ‘Artean’, berasal daripada bahasa Basque dan bermaksud “di antara”. Konsep ini menjadi teras inspirasi yang meneroka ruang persilangan antara seni, warisan dan fesyen.
Penghormatan kepada Eduardo Childa dan Cristobal Balenciaga

Edisi pertama ‘Artean’ oleh Balenciaga menampilkan tujuh karya oleh artis Basque terkemuka, Eduardo Chillida. Sebahagiannya sebagai penghormatan kepada pengasas rumah ini, Cristóbal Balenciaga. Dipamerkan bersama koleksi semasa, karya-karya ini mewujudkan dialog visual yang merentasi masa, menghubungkan dua bahasa estetik yang berkongsi akar budaya dan pemahaman mendalam terhadap ruang serta bentuk. Balenciaga melalui volum pada tubuh, Chillida melalui volum yang membentuk ruang itu sendiri.
Talian Atara Bentuk dan Ruang

Antara karya yang diketengahkan termasuk arca besi ‘Homenaje a Balenciaga’ (1990), ‘Proyecto Peine del Viento I’ dan ‘Lotura XVIII’, bersama siri karya atas kertas seperti ‘Gravitación’. Eksplorasi Chillida terhadap bahan seperti besi, dakwat dan tali memperlihatkan kepekaan terhadap hubungan antara jisim dan ruang kosong. Instalasi ini yang dihasilkan dengan kerjasama Eduardo Chillida Estate dan galeri Hauser & Wirth, memperkukuh kedudukan projek ini sebagai dialog artistik berskala global.
Sambutan Warisan Basque

Pelancaran rasmi berlangsung pada 21 April dengan kehadiran tetamu khas Mikel Chillida, cucu kepada artis tersebut. Acara pembukaan turut diperkaya dengan elemen budaya Basque melalui hidangan dan minuman tradisional, menambah lapisan pengalaman yang menghubungkan seni, warisan dan sensorial dalam satu naratif yang menyeluruh.

