Langgan

Devin Halbal, Gadis ‘Kudasai’: Perjalanan Menjadi Fenomena Global

Bukan sekadar bintang TikTok.
Oleh | TERJEMAHAN Sri Azni
7 minit untuk membaca
Published: August 16, 2024
Janet; skirt; beg; cincin KATE SPADE NEW YORK. Rantai, SWAROVSKI. T-shirt, milik Halbal sendiri.

Berbekalkan selfie stick dan frasa unik - David Halbal berjaya mencipta fenomena tersendiri di TikTok hanya dengan menambah "kudasai" pada akhir ayat dalam vlog melancongnya awal tahun ini - Berpeluang untuk bersua sendiri dengannya, ternyata dia jauh lebih bijak daripada personalitinya di TikTok. "orang sering memolitikkan identiti saya, tetapi saya bersyukur masih ramai yang tidak sekadar menilai saya berdasarkan penampilan dan memilih untuk mendengar suara saya." ujarnya.Saya akui, walaupun saya telah menonton videonya di TikTok dan mengulang frasa uniknya kepada rakan-rakan dan teman sekerja, saya masih tidak pasti apa yang boleh dijangkakan daripada wanita berusia 26 tahun ini. Namun, ketika kami berbual semasa dia duduk di kerusi penggaya rambut dan jurusolek, veteran, Grego, mengenakan baju daripada koleksi merch ‘shop kundasai’. Saya senang mendapati bahawa dia adalah individu yang bijak dan fasih berbicara, yang tahu cara untuk bersenang-senang - walaupun dengan isu yang melibatkan dirinya sendiri.

Membesar di Bronx

T-shirt, milik Halbal sendiri.

Kami berbual tentang zaman kanak-kanaknya dan bagaimana rasanya membesar di Bronx (kami mungkin tersasar sedikit dan sempat membincangkan tentang minuman ‘oren’ yang disebut oleh Jennifer Lopez dalam temu bual video yang kini tular), hubungannya dengan keluarga, menerima identitinya sebagai wanita transgender, serta pengalaman penuh warna yang dibawakan dalam posting vlog harian di TikTok. Dia berkongsi banyak anekdot peribadi yang memaparkan dirinya dalam ‘cahaya’ yang berbeza - satu yang menonjolkan keberanian, ketahanan, semangat terhadap seni serta komuniti dan juga ‘akar’ kepada sikap positifnya.

“Membesar di Bronx, saya selalu merasa berbeza daripada rakan-rakan sekelas saya. Saya sentiasa sangat feminin dan orang terus cuba mendefinisikan saya,” kenangnya. “Saya sentiasa tertarik dan terinspirasi oleh dunia fesyen dan kecantikan. Tetapi saya tidak datang dari keluarga yang kaya, jadi tiada erti mewah dalam hidup saya ketika membesar—saya tidak pernah menyangka seseorang seperti saya boleh mempunyai akses kepada perkara-perkara ini, apatah lagi bercakap mengenainya. Saya tidak pernah memikirkan kelangsungan hidup sebagai sesuatu selain daripada menjaga diri sendiri.” tambahnya.

Temui Jati Diri

Kemeja, KENZO. Dress, COACH.

Pada usia 18 tahun, Halbal mula menemui jati dirinya semasa menuntut di Hunter College, mengambil pengajian media dan mengikuti kelas mengenai kewartawanan serta hak asasi manusia. Ini juga merupakan tempoh di mana Halbal membesar dengan keinginan untuk memiliki rambut panjang dan bermain dengan kuda poni tetapi tidak dapat melakukannya kerana masyarakat mengatakan bahawa lelaki suka Bob The Builder, mula menggunakan fesyen sebagai instrumen untuk menunjukkan siapa dirinya yang sebenar. “Saya akan bertanya kepada pekerja di American Apparel jika saya boleh mencuba pakaian wanita,” kenangnya. Setahun kemudian, dia menjadi pelatih di The Lesbian, Gay, Bisexual & Transgender Community Center di New York, membantu mengendalikan kumpulan sokongan.

Beberapa tahun kemudian, Halbal mendapati dirinya berada dalam situasi sukar: Pandemik telah melanda, kos sara hidup di New York melambung tinggi dan dia tidak mempunyai penjamin untuk menyewa. Pada masa itu, dia tidak tahu bahawa ini adalah titik mula ‘kenaikan’ media sosialnya. Dengan harapan untuk mengurangkan kos hidupnya, Halbal memutuskan untuk berpindah ke Croatia. “Sejujurnya, ia juga boleh jadi Malaysia. Saya sedang mengalami tekanan dan perlu keluar dari situasi itu serta berada di negara lain.” Di sana, dia mula memuat naik video dirinya menerokai negara tersebut dengan menyebarkan aura positif, menggunakan selfie sticknya yang kini juga sudah terkenal.

Seterusnya, Halbal bercakap tentang fenomena “kudasai”, perjalanan terbarunya ke Singapura, dan mengapa fesyen merupakan instrumen yang berkuasa.

Bagaimana anda menjelaskan fenomena “kudasai”? Apa yang terlintas di fikiran anda ketika pertama kali mengucapkannya lalu memuat naik ke media sosial serta mengapa anda rasa ia boleh mendapat sambutan?

Saya rasa alasan ia mendapat sambutan adalah kerana, pertama sekali, saya bukan orang Jepun. Orang ramai teruja mendengar saya menyebutnya dengan penuh semangat, sambil menghayati budaya tersebut. Semasa di Jepun, saya belajar beberapa perkataan asas dalam bahasa Jepun dan satu perkataan itu terus melekat di kepala saya kerana ia sering kedengaran di stesen kereta api serta pada pembesar suara. Ia pada dasarnya adalah cara untuk berkata "tolong" atau "berikan saya" atau bahkan "maafkan saya." Saya terus mendengarnya berulang kali dan memutuskan untuk mengucapkannya dengan cara yang dramatik. Itu meninggalkan kesan pada orang ramai dan semua orang menjadi obses. Sejak itu, saya tidak boleh berhenti mengucapkannya dan orang mula menggunakannya di Korea, Singapura, Malaysia dan Indonesia. Saya teruja untuk melihat ke mana perkataan ini akan membawa saya seterusnya.

Kami melihat video anda di TikTok dan secara tiba-tiba anda sudah mula menjadi tumpuan dan dibanjiri orang ramai di jalanan. Bagaimana rasanya?

Ia agak lucu. Setiap kali saya keluar dari hotel di Jepun, orang kenal saya dan ingin bertemu dengan saya. Ia semakin menggila ketika saat-saat terakhir saya di Jepun dan pada awal minggu saya di Korea. Apabila saya tiba di Busan, saya tidak boleh meninggalkan hotel tanpa dikerumuni. Pada mulanya, ia agak menakutkan, tetapi saya menyukainya kerana untuk saya ia adalah pengalaman yang menyeronokkan, walaupun adakalanya ia terasa sedikit seperti "Black Mirror" kerana ramai yang mengenali saya melalui internet.

Ini adalah kunjungan pertama anda ke Singapura, bagaimana pengalaman anda setakat ini?

Saya sangat menyukainya. Makanan di sini sangat luar biasa - gabungan pelbagai budaya. Seni bina juga sangat menakjubkan. Hari ini, semasa dalam GrabCar, saya melalui sebuah balai polis yang sangat berwarna-warni dan cantik. Semua bangunan di sini kelihatan gah.

Malam tadi, saya keluar untuk membeli bubble tea tetapi ia tiba-tiba berubah menjadi sesi ramah mesra bersama peminat. Saya melawat Merlion Park - banyak berjalan-jalan dan sempat membeli-belah. Aktiviti kegemaran saya adalah makan—terutamanya di medan selera. Saya sangat obses dengan laksa dan nasi ayam. Medan selera Asia Selatan, secara umum, adalah yang terbaik. Jadi, menikmati makanan adalah aktiviti yang paling saya gemari di Singapura.

Kongsikan tentang selfie stick yang terkenal di seluruh dunia itu.

Semasa pandemik, ramai di antara kita seperti terasing. Saya cuba elak daripada jatuh sakit dengan meluangkan masa mengambil swafoto menggunakan selfie stick yang saya miliki sejak sekolah menengah. Walaupun saya jarang menyebutnya, ada beberapa selfie lama di Instagram saya. Saya mula menggunakan selfie stick itu semula semasa lockdown kerana ia membolehkan saya merakam video sendiri tanpa bantuan sesiapa - memastikan saya kekal selamat dan dapat menjaga jarak sosial. Ramai yang menganggapnya lucu, jadi saya terus menggunakannya.

Melihat kembali video-video lama anda, adakah anda pernah membayangkan untuk berada di tempat anda sekarang?

Laman media sosial saya hanya untuk suka-suka dan berseronok. Saya sentiasa mempunyai impian besar, tetapi saya tidak sangka TikTok akan menjadi ‘pekerjaan’ saya. Saya cuma mahu membuat orang bahagia.

Perubahan besar berlaku ketika saya berada di Turki dan banyak jenama mula menghubungi saya untuk mempromosikan produk mereka. Saya berfikir, "Eh, mungkin saya boleh menjadikan ini sebagai sumber pendapatan." Jadi, saya memutuskan untuk mencuba menjana wang melalui media sosial, seperti orang lain. Kini, saya punya perancangan strategik untuk apa yang saya promosikan dan hanya memilih produk yang saya benar-benar percaya. Bukanlah saya ambil mudah perkara ini sebelumnya, tetapi kini saya lebih berhati-hati.

Anda memberi inspirasi kepada jutaan pengikut di TikTok dan Instagram untuk kekal positif dan mencintai diri sendiri. Apa yang memberi inspirasi kepada anda untuk melakukan perkara yang sama?

Sejujurnya, jika saya tidak bahagia saya akan mula berasa dunia ini dipenuhi dengan kegelapan, negatif, kekerasan dan kebencian. Saya telah mengalami ini sendiri, dilayan berbeza oleh masyarakat hanya kerana diri saya. Jadi, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa ada banyak cinta dan kebahagiaan di dunia ini. Sama ada melalui mantra atau menyanyikan puisi lucu di jalanan, perkara-perkara ini benar-benar membantu saya melalui hari-hari saya dan membuatkan saya bahagia.

Mempunyai keberanian untuk mengekspresikan diri adalah penting. Seni membantu saya berhubung dengan diri sendiri, merasa terinspirasi dan menemui kebahagiaan. Halaman media sosial saya bukan hanya untuk mempromosikan produk - ia tentang seni. Ia adalah tentang saya mengekspresikan diri melalui nyanyian, sajak dan bermain dengan kata-kata. Kreativiti ini membuatkan saya merasa bahagia dan bebas. Selagi saya bebas berkreativiti, saya akan bahagia. Tanpa kreativiti, saya rasa saya akan tertekan.

Bagaimana anda menggambarkan hubungan anda dengan fesyen?

Semasa kecil, saya ingat pergi ke salun rambut dengan ibu dan melihat kulit depan majalah yang memaparkan wanita-wanita cantik. Ia seolah membuka ruang untuk saya mula bermimpi. Pada usia empat tahun, saya terinspirasi oleh gambar-gambar ini, mengetahui ia membuat orang merasa ‘sesuatu’.

Ketika berusia 16 tahun, saya sering menonton pertunjukan fesyen secara atas talian. Saya tidak akan lupa pertunjukan Fendi di Fontana di Trevi—ia sangat manawan dan memikat, saya sering menontonnya berulang kali. Satu lagi kegemaran saya ialah pertunjukan Chanel Cruise 2016 di Seoul, yang penuh warna dan memberi inspirasi. Selepas menontonnya, saya berasa gembira sepanjang minggu - senyum dan terus memikirkan tentang penampilan yang diketengahkan Chanel.

Fesyen membuatkan orang merasa cantik dan berdaya. Ia meraikan kehidupan, membolehkan anda menjadi sesiapa sahaja yang anda mahu dan mengekspresikan diri dengan cara yang anda inginkan.

Apa cabaran yang anda hadapi dan bagaimana anda mengharunginya?

Saya sering dianggap sebagai kontroversi hanya kerana diri saya yang sebenar. Walaupun kandungan saya tidak bersifat politik, tetapi orang sering memolitikkan identiti saya. Namun, saya bersyukur masih ramai yang tidak sekadar menilai saya berdasarkan penampilan dan memilih untuk mendengar suara saya. 

Kandungan saya merangkumi kecantikan, solekan, makanan dan alam semula jadi, mencerminkan minat saya yang pelbagai. Walaupun begitu, satu cabaran adalah mengatasi salah faham bahawa kebahagiaan saya adalah satu kenyataan radikal. Kebahagiaan adalah perjalanan berterusan menuju penghapusan standard kecantikan kolonial dan meraikan keperibadian.

Selain mengembara dan mencuba perkara baru, apakah perkara lain yang mampu menarik minat anda? Apakah hobi anda?

Saya suka menulis - sama ada puisi, esei peribadi atau mencatat pengalaman dalam jurnal yang saya bawa ke mana sahaja. Saya juga minat melukis, meskipun agak sukar untuk mengekalkan hobi ini ketika mengembara. Semasa di sekolah, saya terlibat dalam koir - ia memberi inspirasi kepada beberapa puisi dan video nyanyian saya. Selain TikTok, saya tertarik dengan sinematografi dan pembangunan set filem - saya ingin meneroka pembuatan filem dan pengarahan kreatif di masa hadapan.

Apa nasihat anda kepada mereka yang ingin mengikuti jejak langkah anda? Bagaimana anda mengatasi turun naik dalam pengiktirafan dan perhatian orang ramai?

Tiada nasihat yang sesuai untuk semua orang dalam mengurusi populariti - anda perlu mengalaminya sendiri. Kehilangan anonimiti dan privasi boleh menjadi sangat membebankan. Secara peribadi, saya menjaga privasi persahabatan dan hubungan saya kerana saya percaya ada perkara yang perlu dihormati. Jika saya jatuh cinta dan ingin berkahwin suatu hari nanti, saya akan berkongsi bila masanya tiba. Membangun keyakinan adalah penting untuk bertahan dalam masyarakat yang sering mencipta ke-tidak-amanan. Menerima kekurangan diri dan menggalakkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama adalah teras mesej saya.

Bukan sekadar bintang TikTok.

Apa yang anda ingin capai menerusi kerjaya dan kehidupan peribadi anda?

Secara peribadi dan profesional, kejayaan bagi saya bermakna kekal menjadi diri sendiri, tidak berlandaskan jangkaan masyarakat atau mengorbankan pendirian saya untuk diterima atau untuk keuntungan kewangan. Saya berhasrat untuk menyebarkan kasih sayang dan perkara positif, melawan kegelapan dengan kebahagiaan di mana sahaja saya pergi. Kebahagiaan bagi saya, adalah sesuatu yang suci dan berkuasa—ia mampu mengatasi perkara negatif, walaupun mungkin kedengaran klise.

Apa lagi yang ingin anda kongsikan atau ingin orang tahu?

Saya mahu semua orang merasa dicintai, berharga dan mampu mencapai impian mereka. Jangan biarkan sesiapa pun membuat anda merasa anda tidak layak atau tidak boleh berjaya. Dalam dunia yang sering cuba merendahkan kita, mencintai diri sendiri adalah tindakan radikal. Kebahagiaan dan kasih sayang selalu lebih besar daripada negativiti.

Artikel asal dari ELLE Singapore.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down