Menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Pulau Pinang, Pengarang Rencana Bersekutu ELLE diberi peluang untuk menguji sendiri DENZA D9. Sebuah MPV elektrik yang sepenuhnya menjanjikan pengalaman pemanduan dan keselesaan bertaraf kelas 'business'.
Kenderaan yang dipandu uji ini membawa dua penumpang sahaja dengan bahagian belakang disengajakan kosong bagi memberi laluan kepada pengalaman penuh sebagai VIP. Ini diselangi ganti tukar pemandu daripada pihak DENZA sendiri selepas dua jam pemanduan berlalu.

Kuasa dan Ketelitian Teknologi
DENZA D9 merupakan MPV tujuh tempat duduk yang diimport sepenuhnya dari China. Ia ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran tempatan, pacuan hadapan dan pacuan semua roda (AWD). Dilengkapi dengan bateri Blade Battery 103.36kWh dengan keupayaan pengecasan 11kW AC dan 166kW DC. Model AWD yang dipandu menawarkan kuasa keseluruhan 275kW dan tork 470Nm. Ia turut mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 6.9 saat dengan jarak gerak sekitar 480km mengikut piawaian WLTP.

Sistem suspensi DiSus-C Intelligent Damping memberikan fleksibiliti antara mod Comfort dan Sport. Di lebuh raya, perbezaan ini terasa nyata. Mod Comfort sesuai untuk pemanduan santai sementara Mod Sport memberikan ketegasan yang lebih stabil ketika berkelajuan tinggi. Walaupun bukan suspensi udara, DENZA D9 tetap menunjukkan keupayaan adaptif terhadap permukaan jalan yang pelbagai. Hal ini menjadikan perjalanan jarak panjang lebih tenang dan yakin.

Tenang dan Penuh Keyakinan
Daripada perspektif pemandu, D9 menawarkan keseimbangan antara kawalan fizikal dan digital. Butang-butang konvensional masih dikekalkan bagi memudahkan akses terutamanya kepada golongan asas dan lebih berumur, sementara beberapa fungsi tambahan tersedia melalui skrin kawalan tengah 15.6 inci.
Ketika melalui hujan di lebuh raya, kestabilan D9 ternyata menyerlah! Tiada gelinciran mahupun getaran luar biasa, hanya prestasi teguh yang disokong bersama kesepaduan sistem keselamatan ADAS menyeluruh. Hal ini jelas mentakrifkan kestabilan pemanduannya terutamanya untuk menjadi kereta pilihan keluarga.

Walau bagaimanapun, hakikatnya D9 merupakan sebuah MPV besar bukan jentera prestasi, meskipun angka di atas kertas cukup mengujakan. Kuasanya mencukupi untuk menakluki lebuh raya dan pengecasan pantas DC 160kW membolehkan anda mendapatkan tenaga baharu dalam masa yang singkat. Sepanjang perjalanan ke utara, kami perlu berhenti di Ipoh untuk mengecas semula ke sekitar 90%. Selanjutnya tiba di George Town dengan baki tenaga yang selesa sekitar 30%.
Kemewahan Dalam Setiap Butiran
Namun, kelebihan sebenar DENZA D9 lebih terserlah di tempat duduk penumpang tengah di mana keselesaan setara kabin kelas perniagaan. Kerusinya hampir boleh direbah sepenuhnya, lengkap dengan sistem urutan badan boleh laras, pendingin udara dan pengecas tanpa wayar 50W. Setiap tempat duduk juga mempunyai skrin kawalan sentuh berwarna. Ini dapat memberi mereka yang mendudukinya akses kepada setiap sistem hiburan, bumbung suria, tingkap dan pelarasan kerusi hadapan.

Tambahan lain lagi port USB-C yang mampu mengecas komputer riba disediakan, peti sejuk mini dengan kawalan suhu -6 hingga 50 darjah Celsius. Selain itu turut menarik perhatian meja lipat yang memudahkan untuk bekerja atau menikmati hidangan dalam perjalanan. Betul-betul seakan dalam penerbangan. Ruang belakang pula sesuai untuk dua orang dewasa — tiga orang masih muat, tetapi kompromi terhadap keselesaan sedikit ketara.

Gaya dan Sentuhan Premium
Reka bentuk dalamannya menonjol dengan gabungan material mewah; suede headliner, kemasan kayu asli dan sistem audio Dynaudio 14 pembesar suara. Warna dalaman terang yang ditawarkan mungkin berani untuk citarasa keluarga tempatan. Ia juga menambah rasa lapang dan moden kepada dalam ruang kabin. Dua bumbung suria elektrik serta pintu gelangsar automatik di kedua-dua sisi juga melengkapkan lagi suasana kontemporari yang mewah kenderaan ini.
Jika ada kekurangan, mungkin terletak kepada bahasa reka bentuk yang masih mengingatkan kita kepada D.N.A. model BYD. Ianya kemas, namun belum mencapai tahap 'wow' setaraf model Zeekr 009. Namun DENZA D9 ini dilihat bukan tentang kemewahan berlebihan; ianya juga meliputi keseimbangan antara praktikaliti, keselesaan luaran dan dalaman serta nilai yang dibawa.
DENZA D9 tidak cuba untuk menjadi simbol status semata-mata. Ianya hadir untuk menawarkan pengalaman MPV elektrik yang matang, selesa dan cukup seimbang kepada siapa pemiliknya. Ianya juga mampu menjadi pilihan logik bagi mereka yang ingin beralih daripada pilihan Alphard atau Vellfire ke dunia elektrik. Iaitu kerisauan tanpa kompromi terhadap gaya dan keselesaan.
Di atas jalan sepanjang ke Pulau Pinang, D9 telah membuktikan bahawa masa depan mobiliti tidak semestinya berkilau gah dengan kemewahan melampau. Cukup sekadar elegan, tenang dan bijak dalam setiap langkah pemanduan.
