
Goh Boon Sin dilahirkan di Kuala Lumpur memilih Penang sebagai lokasi dia menetap bersama keluarga sejak 13 tahun lalu. Menjalankan bisnes perabot sendiri iaitu By Hogen, jenama ini direka atas prinsip tool free yang menggunakan material juga tenaga pakar tempatan. “It is a celebration of what ‘Made in Malaysia’ truly is in our own definition.” menurutnya yang juga memiliki stor barangan terpilih iaitu Mano Plus.
Atas pengalaman dan kepakaran dalam bidang rekaan hiasan dalaman ini jugalah menjadikan dia memiliki cita rasa tersendiri dalam mentafsir ruang peribadinya. Berlokasi di Southbay City tidak jauh dari jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, terletak kondominium yang dihuni Goh bersama keluarganya. “Saya sudah menetap di kediaman ini lebih dua tahun.” Goh menambah kediaman berdensiti rendah ini dipilih kerana persekitarannya yang cukup tenang jika mahu dibandingkan dengan kebanyakan lokasi di Penang hari ini.

ESTETIKA MID-CENTURY
“Saya seorang yang begitu menyenangi ilham rekaan mid-century sejak saya mula melibatkan diri dalam bidang rekaan sejak lebih dua puluh tahun lalu.” Tambah Goh lagi dia begitu menggemari perabot dan barang hiasan rumah di era tersebut dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang lestari serta memiliki estetika rekaan yang cukup tersendiri.
Menurut Goh lagi atas minat yang ada jugalah membuatkan dia mula mengumpul perabot vintaj daripada pereka ternama seperti kerusi daripada Niels Moller dan juga almari credenza daripada Peter Hvidt & Orla Molgaard-Nielsen. Selain itu tambahnya lagi meja hiasan daripada pereka Hans Wegner menjadi item fokus kediaman ini.

“Kediaman ini disiapkan dengan prinsip sebuah retrospektif pada barang-barang yang sudah saya kumpul sejak dulu lagi. Apa yang saya lakukan adalah untuk memastikan ia berfungsi sepenuhnya bagi melengkapkan kediaman ini.”
Melewati ruang kediaman ini, Goh berkata ia direka mengikut kehendak kehidupan seharian. “Saya dan isteri sukakan idea ruang yang terbuka bagi menciptakan satu keintiman dan bagi menciptakan idea tersebut kami memutuskan untuk meruntuhkan beberapa dinding asal.” Apa yang terhasil adalah satu ruang luas yang cukup versatil dan fluid.

Kepelbagaian dalam rekaan ini turut diterjermahkan di salah satu bilik yang ada. Ruang asal yang direka sebagai bilik tidur kini menjadi ruang kerja pada waktu siang dan boleh diubah kembali menjadi bilik tidur tetamu ketika diperlukan. Mata saya tertumpu ruang dapur yang cukup menyerlah dengan kabinet biru dan table top batu marmar yang melengkapkan ruang ini dengan feel dan mood yang begitu menyenangkan. Cukup kemas dan dimanipulasi sebaiknya meliputi fungsi.
Setiap item yang menjadi koleksi Goh diguna pakai sebaiknya dan tidak hanya sekadar bahan pameran. “Saya mahu memastikan setiap koleksi yang saya kumpul tidak hanya disimpan sahaja tetapi berfungsi sepenuhnya untuk digunakan sehari-seharian.”
Sofa ‘Unflod’ daripada By Hogen yang diletakkan di ruang tamu menjadi item perabot yang cukup istimewa baginya. Apa yang lebih menarik, menurut Goh ada juga produk prototaip yang direka daripada awal proses pembuatan. Ia diletakkan di kediamannya sebagai item yang cukup signifikan bagi menjadikan kediaman ini memiliki cerita yang tersendiri.