Terakhir kali merilis album pada tahun 2019 menerusi projek "Daiyan Trisha The Album" - Daiya Trisha mengemudi perjalanan bermuziknya dengan begitu terancang. Tidak saban masa single dizahirkan namun masih ada masanya lagu-lagunya menjadi bualan.
"Penat" yang diedarkan pada tahun 2021 fasa pandemik menjadi antara single yang begitu diraikan peminat Daiyan. Ilham yang diberikan menerusi lagu tersebut memberi emosi yang tepat pada situasi kebanyakan kita ketika ia diedarkan.
Tahun ini Daiyan kembali memberi fokusnya terhadap muzik dengan panghasilan single "My Home is in Your Arms" yang beredar Jun lalu menjadi pertaruhan Daiyan sebelum mengumumkan penghasilan album keduanya yang beredar hari ini di semua pelantar muzik digital.
Album yang diberi judul "Lovelorn" ini menampilkan 11 lagu kesemuanya yang rata-ratanya dihasilkan sendiri oleh Daiyan Trisha bersama rakan komposer seperti Kuizz Shah, Megat Harith dan Raja Nazrin Syah. Daiyan menerusi siaran media menyifatkan "Lovelorn" sebagai her heartbreak album "Jika setiap artis mempunyai album patah hati, Lovelorn adalah milik saya."
Tambah Daiyan lagi "Lovelorn" bukan hanya sekadar album tetapi satu pengalaman mendalam yang bakal mengundang para peminat untuk bersama-sama terbuai dengan perjalanan muzik Daiyan Trisha untuk dekat dengan jiwanya.
Antara senarai lagu yang ada di album ini adalah "Everything We Had", "Surrender" dan "May". Apa yang menarik album ini turut menampilkan kolaborasi Daiyan Trisha bersama Naim Daniel menerusi lagu "LDR" dan sebuah lagu berbahasa Melayu berjudul "Pergilah".