Langgan

IWD 2025: CEO yang Mengubah Landskap Kepimpinan di Malaysia

Sempena Hari Wanita Sedunia, kami meraikan wanita yang menginspirasi generasi masa depan untuk memimpin dengan kekuatan dan ketulusan.
2 minit untuk membaca
Published: March 8, 2025

Sempena Hari Wanita Sedunia dengan tema 'Accelerate Action' kami menyoroti tiga wanita luar biasa yang sedang mentakrifkan semula kepimpinan dan kejayaan di Malaysia. Daripada industri kesihatan sehingga hiburan dan automotif, Erica Lam, Koh Mei Lee dan Amanda Zhang sedang memacu perubahan dan menetapkan piawaian baharu dalam kecemerlangan, bukti kehebatan wanita dalam kepimpinan.

Erica Lam, CEO Pantai Hospital

Erica Lam. Foto: Pantai Hospital Kuala Lumpur

Bagi Erica Lam, memimpin operasi bidang penjagaan kesihatan bukan sekadar mengurus organisasi, malah tentang mencipta perbezaan yang bermakna. Sebagai CEO Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) dan Regional Chief Executive Officer (Central) bagi IHH Healthcare Malaysia, perjalanan Erica bermula pada tahun 2006 sebagai pengurus pentadbiran di PHKL. Menjelang tahun 2010, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Operasi dan pada tahun 2017, Eria kembali sebagai CEO dengan semangat baharu.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang perubatan, 18 tahun pengalaman Erica dalam pengurusan hospital telah membentuk satu prinsip asas yang kuat dalam dirinya: "Details determine the bigger picture." Di bawah kepimpinannya, PHKL telah berkembang menjadi pusat penjagaan kesihatan bersepadu yang menawarkan rawatan canggih dan program komuniti yang bermakna seperti Cancer Survivor Month yang menghargai para pesakit kanser yang telah pulih melalui acara sokongan yang bermakna; Inisiatif Kesihatan Lembah Pantai yang menawarkan 50 hari saringan kesihatan percuma kepada komuniti setempat; dan #OpsSelimutKasih yang menyumbangkan lebih 600 selimut kepada rumah kebajikan dan NGO, menggabungkan kelestarian dengan impak sosial. Visi Erica melangkaui bidang penjagaan kesihatan, dia berhasrat untuk menginspirasi lebih ramai wanita untuk memimpin dengan ketahanan dan belas kasihan.

Koh Mei Lee, CEO Golden Screen Cinemas

CEO Wanita Malaysia
Koh Mei Lee. Foto: Instagram/GSCinemas

Koh Mei Lee telah menerajui Golden Screen Cinemas (GSC) sejak tahun 2002, memacu pengembangan syarikat daripada 70 kepada lebih 500 skrin di seluruh Malaysia serta meluaskan operasinya ke Vietnam. Ketika industri pawagam berdepan cabaran getir akibat pandemik, keyakinan Mei Lee yang tidak pernah goyah terhadap industri ini mendorong GSC untuk mengambil alih 18 lokasi tambahan pada tahun 2021, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai kumpulan pawagam utama di Malaysia.

Di bawah kepimpinan visi Mei Lee, GSC telah memperkenalkan pelbagai pengalaman pawagam inovatif yang mengubah cara rakyat Malaysia menikmati filem. Teknologi canggih seperti 4DX, ScreenX, Onyx Cinema LED, D-BOX Motion Seats, Dolby Atmos dan IMAX Laser 3D membawa dimensi baharu kepada penonton tempatan. Aurum Theatre menawarkan pengalaman pawagam mewah dengan suite peribadi, sajian kontemporari dan suasana eksklusif. Manakala Velvet Cinemas memperkenalkan konsep pawagam butik dengan tempat duduk yang mewah. Melalui GSC International Screens, Mei Lee turut memperkenalkan karya sinematik antarabangsa kepada penonton Malaysia, termasuk festival filem Perancis, Jepun dan Eropah. Kecintaan Mei Lee terhadap filem dan budaya antarabangsa telah melayakkannya menerima anugerah berprestij sebagai Knight (Chevalier) of France’s National Order of Merit pada tahun 2021.

Amanda Zhang, CEO Mercedes-Benz Malaysia

CEO Wanita Malaysia
Amanda Zhang. Foto: Mercedes-Benz Malaysia

Sejak Ogos 2023, Amanda Zhang telah menerajui Mercedes-Benz Malaysia sebagai CEO dan presiden, di samping berkhidmat sebagai Head of Region bagi Mercedes-Benz SEA II. Berbekalkan lebih 20 tahun pengalaman dalam Daimler, Amanda memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan jualan, strategi elektrifikasi dan penglibatan pelanggan di pasaran global.

Di Malaysia, Amanda memimpin strategi elektrifikasi Mercedes-Benz, mempertingkatkan pengalaman pemilikan menerusi kerjasama inovatif dan penyelesaian berfokuskan pelanggan. Antara inisiatif terkininya termasuk pengembangan ekosistem pengecasan EV yang menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses dan selesa untuk pelanggan; kerjasama dengan hotel mewah bagi mengintegrasikan mobiliti elektrik dengan pengalaman gaya hidup premium; serta penyelesaian pelanggan yang disesuaikan, menawarkan perkhidmatan eksklusif untuk mempertingkatkan pengalaman pemilikan Mercedes-Benz.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down