Langgan

Apresiasi Lokal, 9 Perkara Mesti Buat Di KL Hujung Minggu Ini

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kami menyenaraikan sembilan perkara mesti buat sekitar Kuala Lumpur, tanda penghargaan kecil anda sebagai Anak Malaysia.
4 minit untuk membaca
Published: August 31, 2024

Tahun ini, kita menyambut Hari Kebangsaan kita yang ke-67! Segenap rakyat Malaysia merayakannya, Jalur Gemilang dikibarkan dan hantaran di IG Story maasing-masing pun tak beralah menulis kapsyen tanda menghargai Hari Merdeka. Semangat yang kita mahu, menyemarakkan rasa bangga (insert emoji heart hands!). 

merdeka
Gambar oleh Deva Darshan / Unsplash

Di samping itu, apa lagi perkara-perkara yang kita boleh buat secara fizikal, sebagai tanda apresiasi buat segala hal yang berkaitan dengan lokal? Atau yang berkaitan dengan Malaysia? Di sini, kami menyenaraikan sembilan perkara yang kita mesti buat di sekitar Kuala Lumpur, untuk mengekspresikan rasa sayang kita pada Malaysia. Sungguhpun perkara-perkara ini tidaklah sebesar mana untuk dilakukan atau barangkali, ada sebilangan yang menganggap ia sedikit tacky, namun siapa kisah?! Jom, lakukannya!

Joging di Taman Tugu dan Taman Tasik Perdana

Gambar daripada Wikipedia

Waktu pagi atau waktu petang… apa kata, beriadah atau berlari joging mengitari Taman Tugu dan Taman Tasik Perdana? Malah, di Taman Tugu juga ada denai kembara buat anda yang sukakan hiking. Bukan sahaja boleh menikmati keindahan taman dan semula jadi di Tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur, malah lebih bermakna seandainya ia berhujung dengan singgah sebentar ke Tugu Negara dan menyaksikan monumen Tugu Negara.

Sarapan makan makanan lokal

merdeka
Gambar daripada Instagram Nasi Lemak Angah

Ini adalah mesti! Setiap kali hujung minggu Hari Merdeka, harus makan makanan lokal sahaja. Apatah lagi untuk dua hari hujung minggu ini. Singgah ke kedai makan, kopitiam atau gerai makan tepi jalan pun sudah memadai. Makan nasi lemak, nasi kerabu, minum air teh, seraya makan kuih-muih tradisional. No western food, please. Percayalah, momen makan makanan-makanan lokal sahaja bisa menerbitkan rasa ‘when life hits different.’ 

Kunjungi lokasi-lokasi sosial yang ada nilai sejarah

merdeka
Gambar oleh Johen Redman / Unsplash

Apa yang kami cadang di sini adalah mengunjungi tempat-tempat untuk beli-belah, atau untuk melepak, namun yang memiliki nilai sejarah di sebaliknya. Contohnya, ke Central Market yang kini sudah diperbaharui (pernah ke Central Market baru-baru ini? Sangat menarik!). Bahagian dalamannya sudah berubah, ada tempat-tempat makan yang menarik, malah terdapat juga pasaraya yang hanya menjual produk-produk lokal. Selain itu, pergi juga ke Semua House yang turut diubah suai dan seni binanya kena dengan selera moden masa kini. Dan mungkin, boleh singgah ke REX KL untuk lepak makan-makan bersama famili atau kawan-kawan. 

Naik KL Hop On Hop Off

merdeka
Gambar daripada Instagram KL Hop On Hop Off

Perkara yang paling touristy untuk dibuat, tetapi sangat menarik dan rugi seandainya tidak berpeluang untuk merasainya! Naik KL Hop On Hop Off, mengitari kota Kuala Lumpur di siang hari atau pada malam hari. Bas dua tingkat ini bawa kita pusing ke Kawasan Bukit Bintang, ke Dataran Merdeka, ke Menara Kuala Lumpur, ke Kawasan Tasik Titiwangsa, ke Menara Berkembar KLCC, kemudiannya ke Kawasan Masjid Jamek. Alah, berapa sahaja tiket Hop On Hop Off ini. RM 30 untuk Day Tour, RM 35 untuk Night Tour dan terdapat juga Family Package (Day Tour) berharga RM 90.

Lepak kafe-kafe lokal di sekitar KL

Gambar daripada Instagram Monet In The City

Antara aktiviti menarik pada hujung minggu Hari Merdeka adalah singgah ke kafe-kafe lokal sebagai tanda menyokong bisnes lokal. Hashtag sapot lokal! Contohnya ke Petaling Street dan mencuba kafe-kafe lokal di sana yang kebanyakannya dikendalikan oleh anak-anak muda. Malah, lokasi-lokasi kejiranan seperti Taman Paramount, Gombak dan sekitar Bangsar pun sudah ada banyak kafe-kafe lokal yang masing-masingnya tampil dengan konsep unik.

Ambil gambar di mercu tanda KL

Gambar oleh Nelson Wong / Unsplash

Ya, mungkin kedengaran agak tacky, namun percayalah. Ini adalah memori singkat yang tidak mudah dilupakan. Contohnya, bawa famili atau kawan-kawan ke lokasi-lokasi mercu tanda Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar KLCC, bangunan Sultan Abdul Samad, tiang Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, bangunan-bangunan ikonik di Putrajaya dan sebagainya. Kemudian, ambil gambar di lokasi-lokasi ini dan simpan sebagai memori terindah anda. Bila sudah menua nanti, gambar-gambar ini pasti membekas dan tanda kenangan manis anda. 

Pakai dan beli jenama lokal

Gambar daripada Instagram MimpiKita

Satu lagi cara untuk mendukung semua hal yang berkaitan dengan lokal, yakni pakai jenama-jenama lokal! Dan memperagakan ia dengan rasa bangga. Apalagi kemunculan jenama-jenama lokal rencaman – baik fesyen, mahupun jenama-jenama produk kecantikan, produk-produk makanan dan jenama-jenama perabot. Bukan sahaja membantu membaikkan ekonomi negara, ia juga adalah langkah untuk menghargai bakat atau kebolehan orang-orang lokal kita yang gigih dalam hal keusahawanan. 

Tonton filem-filem buatan Malaysia

Filem 'Takluk : Lahad Datu'

Jika bawa famili atau kawan-kawan ke pawagam berdekatan untuk menonton filem hujung minggu , cadang filem-filem lokal kepada mereka. Atau jika bersantai duduk di rumah hujung minggu ini dan fikir untuk tonton sesuatu di Netflix atau apa-apa sahaja di televisyen, tontonlah filem-filem buatan Malaysia. Lebih menarik lagi, jika menonton filem-filem Malaysia yang bertemakan patriotik. Contohnya, filem ‘Takluk : Lahad Datu’ yang kini sedang dipertontonkan di pawagam, atau filem klasik seperti ‘Leftenan Adnan’. Menjadikan Hari Merdeka anda lebih bermakna dan bangkit semangat patriotik.

Naik pengangkutan awam seperti MRT atau tren

Gambar oleh Cecilia Chang / Unsplash

Tidak usah pandu kereta sendiri. Sebaliknya, cuba naik pengangkutan awam seperti MRT atau perkhidmatan tren yang lain. Ubah angin anda! Sepanjang hujung minggu menaiki pengangkutan awam seperti MRT, menerbitkan mood yang berbeza. Apatah lagi bila menaikinya bersama yang tersayang, pasti mencipta momen istimewa. Mahu mencuba sesuatu yang lebih menarik? Berhenti di hentian-hentian atau kawasan yang anda tidak pernah pergi sebelum ini dan ambil peluang untuk menerokai apa yang menarik di situ. Entah-entah anda akan jumpa kafe atau tempat makan menarik yang selama ini anda tidak tahu?

Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down