Musim Mid-Autumn kembali tahun ini disambut meriah dengan kehadiran pelbagai mooncake artisan yang tampil mewah dan bergaya. Di Kuala Lumpur, lima lokasi terkemuka mempersembahkan koleksi mooncake yang bukan sahaja menawan selera, tetapi memikat pandangan dengan pembungkusan kotak hadiah yang eksklusif. Semestinya sesuai dijadikan hadiah atau kenangan istimewa. Berikut adalah pilihan top-tier mooncake ELLE tahun ini.
Ralph's Coffee
Buat julung kalinya, Ralph’s Coffee mempersembahkan koleksi mooncake edisi istimewa. Segalanya dalam satu kotak hadiah bergaya yang menempatkan enam biji mooncake mini dengan tiga perisa eksklusif (dua biji setiap perisa). Nikmati kehalusan Lotus Custard dengan inti leleh berkrim, kemanisan Chocolate Raspberry yang penuh rasa dan perisa Kopi yang diinspirasikan daripada ramuan ikonik Ralph’s Coffee sendiri.

Elegan, moden dan menyelerakan, inilah mooncake versi Ralph Lauren.
St. Regis Kuala Lumpur
Tahun ini, The St. Regis Kuala Lumpur membawakan koleksi Mid-Autumn yang penuh keanggunan dari mooncake buatan tangan yang disimpan dalam trunk mewah berinspirasikan cahaya senja, hingga kemunculan semula Swarovski® Super Mooncake Trunk yang memukau. Setiap trunk menampilkan ruang khas, teh premium dan karya seni eksklusif oleh Puan Sri Sharon Chua, menjadikan setiap satu sebagai simbol warisan dan keindahan malam purnama.

Edisi baharu tahun ini: The Travellers Choice: interpretasi moden untuk hadiah mewah ketika dalam perjalanan.
Elegan, berbudaya dan bermakna. Koleksi ini meraikan tradisi dalam gaya St. Regis yang tiada tandingan.
Park Hyatt Kuala Lumpur
Park Hyatt Kuala Lumpur pula mempersembahkan koleksi mooncake 2025 bertemakan 'A Journey Through Time & Taste'. Satu penghormatan kepada warisan budaya, kenangan dan indahnya saat pertemuan semula bersama keluarga. Koleksi ini menampilkan gabungan mooncake klasik bakar, snow skin moden, serta siri coklat artisan untuk pencinta rasa mewah. Setiap mooncake dihasilkan dengan ramuan premium dan teknik kulinari moden. Namun masih mengekalkan rasa tradisional yang disanjung. Antara perisa yang ditawarkan termasuk White Lotus dengan Telur Masin dan Durian Musang King.

Hadir dalam bentuk set hadiah elegan atau secara individu, setiap mooncake adalah simbol ingatan, penghargaan dan kasih sayang. Sempurna seakan sesuai untuk dikongsi di bawah cahaya bulan purnama.
W Kuala Lumpur
Tradisi yang diberi nafas baharu. Hadiah lebih bergaya. Rasa di luar jangka. Tahun ini, W Kuala Lumpur menyambut Mid-Autumn dengan koleksi mooncake avant-garde dengan konsep Celestial Rhapsody. Konsep ini direka khas untuk mereka yang berjiwa moden dan berani mencuba sesuatu yang luar biasa. Tampilan koleksi ini juga hadir dengan reka bentuk futuristik, kemasan metalik mewah dan unsur muzik & seni visual.

Selain itu, ia menggabungkan warisan budaya dengan inovasi moden. Setiap kotak bukan sekadar hadiah, ia adalah pengalaman sensori penuh gaya.
EQ Kuala Lumpur
EQ Kuala Lumpur pula kembali dengan koleksi mooncake yang mengangkat keaslian rasa tradisional dalam sentuhan moden yang penuh keanggunan. Untuk tahun ini, pilihan mooncake bakar menampilkan lima perisa klasik termasuk white lotus, red bean, mixed nuts dan Pearl of Prosperity yang menjadi kegemaran ramai. Bagi cita rasa lebih berani, koleksi snow skin hadir dengan enam perisa unik seperti Musang King durian arang, pandan yuzu, red bean custard, dan gabungan kreatif seperti mint chocolate serta scallop kering dengan kekacang.

Semua mooncake dibentangkan dalam Autumn Jade iaitu kotak bujur mewah dengan motif arnab timbul dan tali boleh tanggal yang boleh dijadikan beg tangan atau aksesori peribadi.
Harmoni antara warisan dan gaya. EQ mengekalkan keindahan tradisi dalam bentuk yang kontemporari.
Daripada gaya heritage luxury ke modern avant-garde, pelbagai pilihan mooncake artisan yang menawan untuk musim Mid-Autumn ini untuk anda daparkan. Sama ada untuk dihadiahkan kepada yang tersayang atau dinikmati sendiri, kelima-lima pilihan ini menjanjikan pengalaman rasa dan estetik yang tidak dapat dilupakan.
