Peneraju pakaian global, UNIQLO, telah menganjurkan bengkel seni ‘Bouquet of Peace’ bersama pelajar Universiti Malaya, sebagai sebahagian daripada inisiatif global meraikan pelancaran kolaborasi pertama jenama ini dengan lagenda seni dunia, Pablo Picasso. Hasil karya pelajar-pelajar ini akan disatukan dalam kolaj global yang bakal dipamerkan di Musée National Picasso dan seterusnya di butik UNIQLO Marais, Paris mulai bulan Mei.

Bengkel ini yang dikendalikan oleh organisasi seni, Artolution, mengumpulkan 50 pelajar yang diilhamkan oleh mesej keamanan dalam karya Picasso ‘Bouquet of Friendship’ (1958), yang kini turut menghiasi T-shirt amal terbaru UNIQLO di bawah projek PEACE FOR ALL. Semua keuntungan daripada jualan T-shirt ini akan disalurkan kepada organisasi bantuan antarabangsa yang membantu komuniti yang terkesan akibat konflik dan kesusahan di seluruh dunia.

Sehingga Januari 2025, seramai 42 penyumbang telah menyertai projek ini, dengan lebih 6.6 juta helai T-shirt terjual dan lebih USD12.8 juta berjaya dikumpulkan untuk tujuan amal. Dana ini disalurkan kepada tiga organisasi kemanusiaan utama iaitu: UNHCR, Save the Children & Plan International
Tomohisa Kikuchi, Ketua Pegawai Kewangan UNIQLO Malaysia, berkata, “Melalui projek PEACE FOR ALL, kami percaya bahawa sehelai T-shirt mampu menyebarkan keamanan, menghubungkan manusia dan menginspirasikan perubahan. Dengan inisiatif ‘Bouquet of Peace’ ini, kami bukan sahaja menghargai warisan Picasso, tetapi juga menggunakan bahasa seni yang universal untuk menyatukan komuniti dalam visi keamanan sejagat.”
Bengkel seni ‘Bouquet of Peace’ di Malaysia ini adalah sebahagian daripada acara global yang berlangsung di 25 bandar di seluruh dunia, bertujuan mengeratkan komuniti setempat melalui seni dengan mesej keamanan, perpaduan, belas kasihan dan harapan.

Melalui hubungan dengan karya-karya Picasso yang melangkaui batas seni biasa dan terus menyentuh hati ramai hingga ke hari ini, bengkel ini serta kolaborasi PEACE FOR ALL berusaha menyampaikan mesej keamanan dunia yang diperjuangkan oleh Picasso sepanjang hayatnya.
Layari www.uniqlo.com/my untuk ketahui lebih lanjut dan lihat koleksi PEACE FOR ALL