Nama Manolo Blahnik melambangkan seni dan warisan budaya. Para pencinta fesyen pasti mengenali status ikonik tumit tinggi Manolo. Setiap rekaan bukan sahaja mencerminkan kehalusan seni pertukangan tetapi turut menyimpan kisah uniknya yang tersendiri. Kami berpeluang berbicara dengan pereka legenda dari Sepanyol, Manolo Blahnik, untuk menyelami sejarah gemilang jenama ini.
Mengimbas kembali permulaan jenama ini, apakah titik perubahan pertama yang signifikan dalam kejayaan Manolo Blahnik?
Membuka butik pertama kami di Old Church Street, Chelsea, London pada tahun 1971 adalah detik yang sangat penting. Di sinilah saya mula mengenali dan memahami pelanggan saya. Chelsea pada masa itu adalah tempat yang begitu meriah dan rakan-rakan saya sering singgah untuk melihat koleksi baharu sambil menikmati teh bersama. Butik ini masih kekal hingga ke hari ini.
Koleksi mana dalam sejarah jenama ini yang menghadapi cabaran terbesar dari segi rekaan dan pertukangan?
Ia berlaku pada awal kerjaya saya. Saya mereka kasut platform turquoise dengan tumit blok getah untuk pertunjukan Ossie Clark pada tahun 1971, Quorum Black Magic di London. Ossie adalah salah seorang pereka fesyen paling berpengaruh di London pada era 70-an dan saya begitu teruja untuk mereka kasut untuknya. Namun sayangnya, saya masih belum menguasai sepenuhnya teknik pembuatan kasut ketika itu. Saya terlupa untuk memasukkan batang keluli ke dalam tumit kasut, komponen penting untuk memastikan keseimbangan kasut. Akibatnya, model-model dalam pertunjukan itu bergerak dengan cara yang ganjil kerana mereka sukar berjalan. Saya masih ingat Cecil Beaton menyebut momen itu sebagai ‘cara berjalan yang baharu.’ Pada waktu itu, saya fikir ia akan menjadi penamat kepada kerjaya saya, tetapi semua orang menyukainya pula.
Di antara banyak pencapaian dan kolaborasi dalam sejarah Manolo Blahnik, adakah anda mempunyai kisah atau detik kegemaran peribadi yang paling menonjol?
Pada tahun 1990-an, saya mula bekerjasama dengan pereka Amerika semasa New York Fashion Week dan ketika itulah saya bertemu Isaac Mizrahi. Saya mereka kasut Maysale untuk koleksi musim bunga/panas 1991 dia dan pada tahun yang sama, Madonna memakainya di Festival Filem Cannes. Kasut itu mendapat sambutan luar biasa. Saya rasa sangat terharu apabila wanita hebat seperti Linda Evangelista memesan Maysale dalam pelbagai warna. Sejak itu, kami telah menghasilkan pelbagai variasi rekaan ini, tetapi bagi saya, mule tetap menjadi kegemaran.
Adakah terdapat momen tertentu di mana anda sangat teruja dengan seorang selebriti yang memakai kasut Manolo mereka?
Pada tahun 2023, saya bekerjasama dengan pelakon Margot Robbie untuk promosi filem ‘Barbie’. Watak Barbie sentiasa relevan, jadi apabila diminta menyediakan kasut untuk Margot, saya mahu mengemas kini beberapa rekaan saya yang paling ikonik. Saya sangat teruja untuk mereka semula gaya seperti BB dan Jada dalam pelbagai rona merah jambu. Kasut Barbie mestilah ceria, berwarna-warni dan penuh keyakinan.
Bagaimana anda melihat masa depan Manolo Blahnik sebagai jenama yang terus berinovasi sambil mengekalkan legasinya?
Motto saya adalah keep going! Saya sentiasa bergerak maju dan berdedikasi terhadap apa yang saya lakukan. Saya bekerja rapat dengan anak saudara saya, Kristina, yang merupakan CEO syarikat ini. Setiap musim, saya mereka semua kasut dan memperhalusi bentuknya di kilang. Setelah prototaip siap, Kristina akan bekerjasama dengan pasukan kami untuk memperbaiki koleksi tersebut dan menambah sentuhan akhir. Saya sangat bersyukur kepada Kristina atas visinya yang mendorong syarikat ini maju, memastikan Manolo Blahnik bertahan lebih lama daripada hayat kami berdua.