
Perasaan yang hadir apabila berpegang kepada sesuatu yang tidak lagi sama seperti yang dikenang suatu masa dahulu, pendambaan, cinta dan kekecewaan. Emosi-emosi inilah yang menjadi titik inspirasi bagi koleksi musim bunga/panas 2027 Raja Irfan yang dinamakan 'SUATU'.
Berpaksikan pengalaman yang bersifat peribadi, Raja Irfan membina koleksi ini daripada kata-kata yang terpendam di dalam hati. Namun, sepanjang proses penghasilan dia menyedari bahawa kisah tersebut tidak seharusnya berakhir di situ. Sifat yang terbentuk setelah mengharungi pengalaman tersebut juga memiliki suara yang harus diperdengarkan.
Penceritaan Melalui Persembahan Visual

Melihat koleksi itu diperagakan di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), kisah yang ingin dipersembahkan jelas disampaikan. Koleksi ini bermula dengan sebuah dress merah terang berpotongan mermaid dipenuhi sequin dan berperincian renda. Rekaan berani ini menyerlahkan emosi membara yang menyelebungi seseorang setelah sebuah kejadian. Dress itu kemudiannya diikuti berberapa persalinan merah terang yang lain sebelum warna hitam mula muncul dalam rekaan-rekaan seterusnya.

Bagi Raja Irfan, warna hitam tidak melambangkan kesedihan atau kegelapan. Warna hitam dalam koleksi ini melambangkan kekuatan, kesedaran dan peredaran. Rekaan berstruktur dan siluet dramatik mula muncul di pentas peragaan, menampilkan wanita yang lebih kuat dan yakin dengan diri sendiri. Sepanjang koleksi dipersembahkan renda memainkan peranan penting bagi mengikat koleksi itu kepada emosi romantik yang menjadi asas penceritaan. Di saat final look koleksi ini, fabrik itu tidak lagi diketengahkan.
Merentasi Dunia Fesyen
Naratif disebalik koleksi SUATU bukan sahaja terikat kepada dunia fesyen. Malah sebelum pakaian dipersembahkan, koleksi itu telahpun diperkaya dengan media visual yang lain. Sebuah ilustrasi oleh Nadhir Nor diperkenalkan di media sosial dan juga secara fizikal di tempat duduk para hadirin KLFW sebagai teaser. Ilustrasi itu mencerminkan memori sebelum kejadian yang menginspirasikan koleksi itu dan dibahagikan lima bahagian yakni Awakening, Devotion, Fracture, Haunting dan Release.
Sesudah Suatu

Raja Irfan amat berbangga dengan pertunjukan koleksinya. "Perasaan melihat setiap persalinan, penggayaan, model, muzik, lighting dan suasana di persembahan itu bersatu sangat istimewa bagi saya," kata pereka fesyen itu. Baginya, SUATU menggambarkan apa yang dia ingin sampaikan. Dia berharap sesiapa yang melihat atau menggayakan koleksi itu dapat menghayati emosi disebaliknya. "Saya mahu mereka melihat bagaimana kekuatan boleh terbentuk daripada saat-saat rapuh.

