Tumbuh sama haluan dengan kesejarahan, Ralph Lauren bersungguh-sungguh mempersiapkan dua figura di Met Gala tahun ini. Supermodel lelaki, Tyson Beckford dan bintang pop, Usher dipilih oleh Ralph Lauren sebagai muse, meronai acara berprestij ini dengan gaya yang mengutip ilham daripada pemuzik era Harlem Renaissance serta detik yang mempunyai erti.

Dalam kotak fikir anda, pasti terbetik… “Masih lagi berbicara tentang Met Gala, sedangkan acaranya dah berlalu?” Well, bahangnya masih terasa, bukan? Dalam media sosial orang masih lagi menyuapkan ruang feed kita dengan memes, kandungan pakaian terbaik Met Gala dan seumpamanya. Sampai ke hari ini. Jadi, kami ambil peluang ini untuk melanjutkan bicara sedikit tentang gaya dua selebriti yang menjadi kegilaan generasi millennial – Tyson Beckford dan Usher – mengenakan Ralph Lauren di Met Gala 2025 yang bertemakan ‘Superfine : Tailoring Black Style’. Mengapa? Kerana ada kisah menarik di sebalik rekaan tuksedo untuk dua selebriti lelaki ini.
Ralph Lauren menyempurnakan gaya Usher, yang merupakan ahli jawatankuasa penganjur Met Gala tahun ini. Lingkungan black dandyism menuntut Ralph Lauren untuk mengorek sejarah yang dekat dengan bangsa kulit hitam, lantas ia memacu pandangannya ke era Harlem Renaissance sebagai sendi ilham gaya Usher. Menghormati sejarah era tersebut, Ralph Lauren mengambil susuk jijak pemuzik Duke Ellington dan Cab Calloway – Ralph Lauren sendiri mendewasa mendengarkan lagu-lagu pemuzik ini, sedari kecil lagi – mengaitkan nilai-nilai fesyen mereka untuk rekaan tuksedo Usher. Seperti apa yang terlihat di permaidani merah Met Gala 2025, Usher menyarung topcoat Ralph Lauren Purple Label daripada fabrik baldu, bersama jaket serta seluar tuksedo, kemeja, dilengkapi lagi oleh dasi, skaf dan kasut tassel loafers.

Menyentuh tentang rekaan pakaian Met Gala untuk Tyson Beckford pula, ia menemukan kita pada detik yang dekat dengan hati Ralph Lauren. Ingat lagi kempen Polo Sport tahun 1994 yang ikonik, yang memotretkan Tyson Beckford sebagai wajah utama? Momen ini tertulis sebagai titik penting kerana ia mencetus suatu perbicangan yang membuka sebiah dialog fesyen tentang representation dalam industri fesyen. Matlamat Ralph Lauren ini bukan sekadar membangunkan kesedaran, ia malah membekalkan inspirasi dalam memperkukuhkan sebuah impian.
Mundar laju ke tahun 1995, Tyson beckford menandatangani kontrak eksklusif dengan Ralph Lauren lalu menjadikannya sebagai salah seorang supermodel berkulit hitam yang terkemuka. Ketahanan keberadaan Tyson dalam industri fesyen sangat utuh sehinggalah lebih tiga dasawarsa! Hal penting ini membuatkan Ralph Lauren tidak berkeputusan untuk bekerjasama dengan Tyson, merekakan jaket dinner double breasted Ralph Lauren Purple Label, bersama kemeja serta seluar tuksedo, dasi serta slipper baldu.
