Coach memperkenalkan kempen musim luruh terbaharu, ‘Revive Your Courage' bersama duta global, Elle Fanning serta duta jenama terbaharu, Soyeon dan Lilas.
Berpaksikan falsafah “The Courage to Be Real”, Coach menyalakan semangat keberanian dan kebebasan untuk ekspresi diri melalui kempen terbaharu ‘Revive Your Courage’ untuk musim luruh 2025. Diterajui oleh duta global, Elle Fanning serta dua wajah baharu jenama. Artis Korea Selatan yang berani mencabar sempadan norma, Soyeon, bersama Lilas iaitu penyanyi-penulis lagu dari Jepun yang juga dikenali sebagai Ikura, serta vokalis duo muzik terkenal Yoasobi. Melalui filem sinematik dan visual bergaya, kempen ini meraikan semangat untuk menjadi diri yang sebenar dalam kebebasan, keyakinan dan ekspresi tanpa kompromi.

Dalam filem kempen utama yang diarahkan oleh Jovan Todorović, Elle Fanning membawa penonton menelusuri mimpi ke dalam naratif penuh emosi tentang menemui semula jiwa muda. Ia menceritakan kisah seorang wanita muda yang hilang semangat dalam kehidupan. Lalu dalam sekelip mata, dirinya digantikan dengan versi kanak-kanak yang penuh dengan keberanian dan kebebasan. Kedua-dua versi ini berkejaran dengan beg tangan Tabby yang menjadi simbol utama impian dan metafora tentang perjalanan peribadi. Di penghujung filem, Elle menjumpai sekeping tiket di dalam beg Tabby yang tertulis destinasi “Something New.”
Elle Fanning turut membintangi foto kempen yang dirakam oleh Elaine Constantine. Dia dilihat memegang beg tangan Bleecker Bucket dalam rona Sunset Tan yang baharu. Tona hangat ini menggambarkan semangat optimis untuk musim luruh ini. Siluet lembut beg itu dilengkapi dengan kemasan kulit Spazzolato berkilauan lembut. Dan teknik reverse-burnish yang membiaskan kehalusan seni pertukangan kulit warisan Coach.

Coach juga memperkenalkan dua wajah baharu dalam dua penceritaan tentang ekspresi diri. Dalam dua filem pendek bertajuk “Carry All Your Expressions,” arahan Teitur Ardal, Soyeon dan Lilas menonjolkan personaliti unik masing-masing melalui gaya peribadi dan beg Tabby pilihan mereka. Soyeon mempamerkan kreativiti tanpa batas apabila dia memainkan pelbagai karakter dalam sesi penggambaran imaginasi. Daripada pengarah hingga ke penata gaya hingga bintang utama, setiap satu dipadankan bersama beg Tabby berwarna Emerald Dust yang diangkat sebagai warna utama musim ini. Lilas pula meneroka dualiti pada gaya peribadinya. Tabby dalam rona Rose Mist menonjolkan sisi lembut dan feminin. Manakala satu lagi beg tangan dalam Ink Black yang menyerlahkan kekuatan dan keyakinan diri.
Koleksi Musim Luruh 2025

Koleksi Coach musim luruh 2025 menampilkan permainan tekstur dan perincian. Ia memperkukuh warisan pembuatan kulit jenama termasuk kulit pebble, kulit natural grain, dan suede premium. Kali ini, koleksi aksesori kulit disertakan dengan inovasi baharu seperti kulit Spazzolato berkilauan lembut dan teknik reverse-burnish yang menghasilkan patina mewah. Selain Tabby, kempen ini turut mengetengahkan beberapa rekaan utama daripada keluarga beg New York. Seperti Brooklyn, Empire dan Bleecker yang kini hadir dalam rona baharu seperti Burnt Caramel, Guava Bloom, dan Midnight Pewter. Setiap pilihan warna baharu ini membawa nuansa hangat untuk penggayaan akhir tahun. Selain Soho Sneaker yang menjadi asas utama pada penampilan. Coach membariskan seleksi sedia-pakai yang memberikan keseimbangan antara versatil, moden dan feminin seperti jaket kulit, denim kitar semula dan gaun kasual yang relaks.
Meneruskan legasi Coach yang terdahulu, kempen ‘Revive Your Courage’ membawakan semarak kemewahan baharu kepada wanita. Ini untuk melangkah penuh keyakinan untuk meraikan seruan ekspresi diri seperti yang didefinisikan oleh generasi masa kini.
