Setelah membisikkan azam untuk berjinak-jinak dengan persada antarabangsa, lalu mementaskan himpunan di Dubai, kemudiannya menawan hampir segenap dunia pabila terbetik khabar yang Lady Gaga menyarung rekaan mereka… jenama Rizman Ruzaini tidak membiarkan perjalanan mereka berhabuk di pertengahan. Rizman Ruzaini Couture, bersama-sama Buttonscarves, terus bersinar dan kali ini memartabatkan nama mereka di Festival Filem Cannes. Mereka berganding bahu dengan model Rawdah Mohamed, mengatur gayanya di permaidani merah Festival Filem Cannes!
Rawdah Mohamed di Cannes, cantik dalam persalinan Rizman Ruzaini Couture & Buttonscarves

Kesederhanaan dan aura glamor bersebati, meronai permaidani merah. Kemunculan kelibat-kelibat internasional tidak berantara di permaidani merah Festival Filem Cannes ke-78. Namun mata kami bertumpu terus pada kesuma yang hadir mempersiapkan dirinya dalam gaun berpinggang jatuh, berona merah jambu muda seraya elok berhijab. Model Norway-Somali, Rawdah Mohamed datang untuk acara tayangan perdana ‘Die, My Love’ di Cannes dan mencelikkan mata kita semua apabila terbetik khabar yang dia menggayakan gaun rekaan Rizman Ruzaini Couture, bersama aksesori daripada Buttonscarves.
Detik yang memahat sejarah! Rekaan Rizman Ruzaini Couture untuk Rawdah ini adalah suatu penghormatan buat modest fashion serta kehalusan mutu ketukangan. Rekaan istimewa ini – yang menggunakan material sutera – berbentuk siluet sculptural dan polanya umpama ‘mereplikakan’ bentuk tubuh langsing Rawdah pada bahagian atas.
Ia diperkemaskan lagi oleh skirt drop waist pada bahagian pinggul, dengan butiran gathers dramatik. Lantas menyerlahkan kekembangan skirt yang terlihat senteng dan tidak mencium lantai. Membuatkan keseluruhan siluet yang ditampilkan Rawdah cukup unik dan menterjemahkan nada gaya yang tidak usang ditelan waktu. So timeless.

Rizman Ruzaini memilih rona merah jambu muda atau rose pink untuk Rawdah dan dihiasi dengan perincian butang balut pada bahagian belakang badan baju. Melanjutkan bicara tentang rekaan ini, Rizman Ruzaini melengkapkan ia dengan padanan tudung tulle dalam rona yang sama dan ia terus menerbitkan keperibadian Rawdah yang kontemporari. Signature piece daripada jenama Buttonscarves menyempurnakan lagi penampilan Rawdah di Cannes.
Penampilan Rawdah di Cannes bukan sekadarkan cuma fashion statement sahaja. Ia adalah hebahan juang Rawdah untuk menyatakan komitmennya dalam memenangkan pereka fesyen Muslim dan mengetengahkan identiti tersebut di mata dunia.