Langgan

Pilihan ELLE: 4 Koleksi Terbaik Kim Jones di Dior

Tujuh tahun cemerlang menerajui bahagian kreatif Dior.
2 minit untuk membaca
Published: February 2, 2025
kim jones

Biodata Ringkas Kim Jones

Nama Penuh: Kim Niklas Jones 

Tarikh Lahir: 11 Ogos 1979 (46 Tahun)

Tempat Lahir: London, England

Pendidikan

  • Central Saint Martins
  • University of the Arts London

Kerjaya:

  • Pengarah Kreatif Dior’s Men: 2018–2025
  • Pengarah Kreatif Fendi’s Women: 2020 - 2024
  • Pengarah Kreatif Louis Vuitton Men’s: 2011–2018
  • Pengarah Kreatif Alfred Dunhill: 2008–2010

Setelah tujuh tahun cemerlang menerajui bahagian kreatif Dior, Kim Jones akhirnya mengumumkan untuk melepaskan jawatannya. Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah Artistik Dior Homme, Kim Jones telah membawa perubahan yang besar dalam dunia fesyen lelaki. Kejayaannya tidak hanya meremajakan Dior Men, tetapi juga menjambatani jurang antara fesyen mewah dan street style dengan cara yang sangat inovatif serta berani. Dia berjaya menghasilkan koleksi yang sangat relevan untuk generasi muda, sambil tetap mengekalkan keaslian dan kemewahan klasik yang menjadi identiti utama Dior.

Pemergian Kim Jones daripada Dior menandakan penutupan satu bab gemilang dalam sejarah Dior.  Namun, pengaruhnya akan terus membentuk masa depan dunia fesyen dan menjadi aspirasi buat ramai. Dalam mengenang legasinya, ELLE mempersembahkan semula 4 koleksi terbaik Kim Jones di pentas fesyen rumah Dior. 

1. Koleksi Dior Men musim bunga/panas 2019

Koleksi ini adalah salah satu detik ikonik yang mendefinisikan semula fesyen lelaki moden. Ia menandakan debut Kim Jones sebagai pengarah kreatif Dior Men, selepas beliau mengambil alih jawatan daripada Kris Van Assche. Koleksi ini menggabungkan tailoring mewah dengan elemen streetwear. T-shirt grafik dan hoodie digabungkan dengan bahan mewah seperti kashmir, sutera dan tweed, mencipta kontras antara fesyen mewah dan pakaian kasual. Selain itu, Kim Jones turut berkolaborasi dengan KAWS (Brian Donnelly), seorang artis visual. Patung “Companion’ KAWS bukan sahaja menjadi motif visual pada helaian pakaian, tetapi turut dipersembahkan sebagai patung gergasi di pentas peragaan fesyen. Kolaborasi ini jelas mencerminkan perpaduan seni dan fesyen dalam budaya pop moden. 

2. Koleksi Dior Men musim luruh 2020

Kim Jones adalah ikon dalam berkolaborasi. Mencipta namanya dengan LV x Supreme di Louis Vuitton, dia terus membawa kecemerlangan itu ke Dior. Untuk koleksi Dior Men musim luruh 2020, Kim Jones menghasilkan kolaborasi dengan pengasas Stüssy, Shawn Stussy. Koleksi ini menampilkan cetakan grafiti, membawa elemen streetwear ke dalam dunia adi busana Dior. Koleksi ini turut menampilkan rekaan “Toile de Judy” (fabrik klasik Dior dengan ciri elegan dan mewah) yang diolah dengan cara moden. Ia menggabungkan elemen daripada budaya buruh lelaki, menghasilkan siluet kasual yang praktikal dan relevan untuk lelaki moden kini.

3. Koleksi Dior Men musim bunga/panas 2023

Pentas pertunjukkan di ubah menjadi taman yang diinspirasikan daripada perjalanan Granville, Normandy, tempat kelahiran Christian Dior ke Charleston di Sussex, England. Kim Jones menghidupkan suasana yang khasnya untuk Bloomsbury Group, melambangkan kekagumannya terhadap seni dan kesusasteraan awal abad ke-20. Dalam palet romantik seperti merah jambu ros, biru kusam dan krim, karya seni Duncan Grant diolah menjadi koleksi pakaian bertaraf adi busana.

4. Koleksi Dior Men musim luruh/sejuk 2025 

Menandakan penutup eranya, koleksi ini diinspirasikan daripada koleksi Ligne H adi busana tahun 1954 oleh Christian Dior, terkenal dengan elemen “grafik dan bersudut”. Teknik jahitan koleksi ini diperhalusi dengan sentuhan elegan Dior, menggabungkan jahitan mewah daripada abad ke-18 bersama rekaan utilitarian abad ke-19. Sebahagian daripada model memakai penutup mata separa lut sinar. Dari segi siluet, Kim Jones kali ini menyatukan elemen maskulin dan feminin sambil menghubungkan keanggunan klasik dan sentuhan moden dengan sempurna. Kim Jones turut menerima anugerah French Legion of Honour, yakni anugerah sivil tertinggi di Perancis. 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down