Paris masih dibuai kehangatan demam Olimpik dan koleksi terbaru Maria Grazia Chiuri untuk Dior menjadi bukti nyata. Dipersembahkan dengan penuh gilang-gemilang di hadapan barisan selebriti ternama seperti Rosalia, Anya Taylor-Joy, Natalie Portman, dan ramai lagi di Musee Rodin, Dior memulakan Minggu Fesyen Paris dengan koleksi SS25 yang menyatukan keanggunan Paris bersama elemen sukan yang bertenaga.
Grazia Chiuri, seorang pereka yang terkenal dengan ketelitian, sentiasa membawa naratif yang mendalam dalam setiap koleksinya dan sering kali diinspirasikan oleh artis wanita. Kali ini, sumber inspirasinya ialah Sagg Napoli, seorang artis dan pemanah profesional dari Itali. Membuka pertunjukan dengan penuh gaya, Napoli menembakkan anak panah sebenar sepanjang landasan 230 kaki (dilindungi kaca tebal untuk mengelakkan sebarang insiden). Dia menguasai pentas seperti seorang pahlawan Amazon, dengan penampilannya yang gagah dan anggun. Sementara kata-kata Napoli, “Semoga membina minda dan tubuh yang kuat menjadi karya terbesar yang pernah saya hasilkan,” terpapar dengan lantang di sepanjang landasan.
"Semoga membina minda dan tubuh yang kuat menjadi karya terbesar yang pernah saya hasilkan." — Mantra Dior SS25
Walaupun koleksi ini mengambil inspirasi dari rekaan era 50-an Dior, semangat keseluruhannya lebih menyerupai gaya Marc Bohan, pereka terdahulu Dior, yang pada era 70-an memperkenalkan gabungan antara perincian couture dan elemen athleisure. Koleksi Grazia Chiuri menampilkan baju renang bercorak checkerboard yang dipadankan dengan but bertali gaya tinju berhias, seluar trek longgar yang diimbangi dengan jaket Bar yang dijahit rapi, dan jaket kulit gaya penunggang motosikal dengan jalur lumba di lengan.
Tidak hairan jika Chiuri sedang berada dalam mood sukan. Pereka ini pernah mencipta banyak busana ikonik untuk majlis pembukaan Olimpik Paris, termasuk pakaian yang dipakai oleh Celine Dion dan Lady Gaga. Namun, bagi mereka yang mengikuti kerjayanya sudah sedia maklum bahawa elemen atletik sentiasa sebati dengan kecenderungan Chiuri terhadap keanggunan feminin. Koleksi pertamanya memperlihatkan siluet yang diinspirasikan oleh pakaian seragam sukan lawan pedang wanita. Dia pernah menyatakan bahawa dia tertarik dengan jaket quilted dan sut potongan pendek kerana “pakaian seragam sukan lawan pedang wanita dalah sama seperti uniform lelaki.”
Ini tidak bermakna koleksi SS25 kekurangan glamor. Koleksi yang didominasi warna monokrom itu diakhiri dengan percikan warna merah jambu lembut, menampilkan busana malam yang seakan terapung-apung diperbuat daripada tulle ringan yang terletak sempurna di tubuh. Elemen sukan masih kelihatan, dengan gaun malam yang diperbuat daripada jersey yang melekap pada badan, serta bodysuit yang dihiasi paillettes sulaman berat. Koleksi ini terasa segar, muda, dan penuh kehidupan, ditekankan lagi dengan runut bunyi techno yang memukau, termasuk remix Billie Eilish daripada lagu Charli XCX ‘Guess’. Iramanya benar-benar melengkapkan hari pertama PFW dengan sempurna.
Artikel asal dari ELLE Australia.