Sejak awal penubuhannya, Louis Vuitton sentiasa sinonim dengan dunia pengembaraan. Daripada trunk bermonogram sehinggalah ke beg tangan ikoniknya, semuanya direka dengan fungsi praktikal. Jenama ini sekian lama menjadi pilihan golongan yang peka terhadap gaya. Bayangkan Audrey Hepburn dengan beg Speedy di tangan atau Kate Moss melangkah keluar dari pesawat dengan Keepall.
Destinasi terbaharu dalam dunia kembara Louis Vuitton? Jenama ini membuka ‘hotel’ sendiri di Berkeley Square, kawasan eksklusif di Mayfair, London.
Dibuka pada 24 April, townhouse yang luas ini diolah dalam bentuk sebuah hotel lengkap dengan kaunter daftar masuk, di mana setiap tetamu diberikan ‘kunci bilik’ Louis Vuitton tersendiri. Walaupun anda tidak boleh bermalam di sini, suasananya cukup imersif untuk membuatkan anda seolah-olah sedang menginap dalam dunia LV.

Pop-up yang berlangsung selama dua bulan ini meraikan Monogram ikonik Louis Vuitton, yang dicipta oleh Georges Vuitton sebagai penghormatan kepada bapanya. Setiap ruang didedikasikan kepada beg tangan yang menampilkan corak yang cukup dikenali. Pemilihan London juga bermakna kerana bandar ini merupakan lokasi butik kedua Louis Vuitton selepas flagship di Paris, sekali gus menandakan langkah antarabangsa pertama jenama tersebut.
Menyusuri tangga berlingkar, pengunjung akan menemui ruang yang meraikan beg-beg seperti Speedy, Keepall, Noé, Alma dan Neverfull. Anda mungkin mengenali beg-beg ini tetapi pengalaman ini mengajak anda menyelami sejarah dan ketukangan di sebaliknya dengan lebih mendalam. Setiap bilik direka unik, diinspirasikan oleh karakter setiap beg. Di pintu masuk, Keepall Lobby menyambut pengunjung dengan penghormatan kepada beg duffle bersaiz besar, lengkap dengan sudut bacaan yang menampilkan koleksi sastera Louis Vuitton. Bagi pemilik beg Louis Vuitton yang memerlukan sedikit penjagaan, tersedia juga perkhidmatan ‘restorative short stay’ untuk mengembalikan keindahannya.
Di aras bawah, Bar Noé tampil dengan suasana glamor. Bar champagne bercahaya malap ini menawarkan pengalaman paling intim dengan sentuhan reka bentuk yang merujuk kepada fungsi asal beg Noé yang mampu membawa lima botol champagne. Pada hujung minggu, ruang ini dibuka sehingga jam 11 malam dengan alunan muzik DJ yang menyemarakkan suasana.

Di tingkat atas pula, Café Alma menggabungkan konsep tearoom dan salon, meraikan beg top-handle yang diperkenalkan pada tahun 1992 melalui pengalaman menjamu selera. Tetamu boleh menikmati hidangan ringan atau minum petang dalam suasana yang cukup elegan.

Peminat fesyen pasti sukar menahan diri di Speedy Room di tingkat dua. Beberapa ruang di sini didedikasikan kepada beg Speedy gaya bowling yang diperkenalkan sejak 1930-an, sehingga kini kekal sebagai kegemaran editor fesyen, lebih-lebih lagi selepas dihidupkan semula oleh Pharrell Williams untuk koleksi menswear Louis Vuitton. Versi eksklusif dipamerkan dalam Speedy P9 ‘Safe Room’ bersama pameran komponen beg yang memperlihatkan tahap ketukangan yang luar biasa. Jangan lepaskan peluang mengangkat telefon di ruang ini kerana ada naratif kecil yang membuka lembaran sejarah fesyen.

Seterusnya, ruang yang diinspirasikan oleh beg Neverfull hadir dalam bentuk gim kompak. Pemilihan ini bukan sekadar estetika. Beg seberat 800 gram ini terbukti mampu menampung sehingga 100kg. Di sini juga, ruang dumbbell bermonogram LV menjadi latar sempurna untuk foto bergaya.
Tidak lengkap tanpa pengalaman membeli-belah, ‘hotel’ ini turut menawarkan koleksi yang boleh dimiliki. Daripada Speedy edisi khas berwarna terang sehinggalah Noé klasik bermonogram, selain rangkaian kecantikan, parfum serta aksesori seperti charm, tag dan keyring, semuanya tersedia untuk peminat setia LV.
Secara keseluruhannya, Louis Vuitton Hotel ini merupakan satu perayaan terhadap monogram LV antara motif fesyen paling dikenali di dunia sempena ulang tahun ke-130. Mungkin sudah tiba masanya untuk ‘check-in’ dan menyaksikan sendiri bagaimana ikon ini terus mendefinisikan gaya merentas generasi.
Buat tempahan untuk seluruh Hotel Louis Vuitton, Café Alma dan Bar Noé di sini.
Artikel asal daripada ELLE UK.

