Langgan

Memo Fesyen Paris: Sorotan Minggu Haute Couture dan Koleksi Lelaki Luruh/Dingin 2025

Minggu Fesyen Paris yang membuka tirai tahun baharu penuh dengan momen berita penting musim ini.
Oleh | TERJEMAHAN Sarah Hani Jamil
3 minit untuk membaca
Published: January 31, 2025

Dunia fesyen 2025 bermula dengan penuh momentum. Sudah ada beberapa perubahan besar dalam kepimpinan jenama utama (ditambah dengan khabar angin bahawa lebih banyak rombakan bakal berlaku), debut pereka baharu, serta sambutan ulang tahun jenama fesyen ikonik. Dan ini semua masih dalam bulan Januari!

Alessandro Michele Mempersembahkan Koleksi Couture

Pada September lalu, Alessandro Michele memperkenalkan era baharu Valentino yang lebih berani dan ekspresif melalui pertunjukan sulungnya sebagai Pengarah Kreatif. Kini, koleksi keduanya menandakan satu lagi pencapaian besar: debut pertamanya dalam dunia couture. Seperti yang dijangkakan, Michele membawa elemen dramatik ke setiap aspek. Pengarah fesyen ELLE UK, Avril Mair, menggambarkan pertunjukan ini sebagai "‘so much, in every sense’ — from the clothes, right down to the show format. Some of it was incredibly beautiful, some of it was historically inspired costume and all of it was entirely Alessandro Michele.”

Armani Privé Meraikan 20 Tahun

Musim ini turut menjadi momen istimewa buat Giorgio Armani. Selepas menyambut ulang tahun ke-90 tahun lalu, dia kini meraikan dua dekad Armani Privé. Koleksi SS25 bertajuk 'Lumières' menampilkan gaun anggun yang sinonim dengan red carpet, sempurna untuk musim anugerah. Dengan cetakan lembut bak cat air, siluet yang mengalir serta perincian manik dan sulaman rumit, koleksi ini memancarkan kehalusan seni yang begitu menawan. Di majlis ini, pelakon Demi Moore, yang dicalonkan untuk Oscar, turut kelihatan duduk di barisan hadapan.

Demna daripada Balenciaga Dianugerahkan ‘Order of Arts and Letters’ Perancis

Demna, Pengarah Kreatif Balenciaga, menerima penghormatan tertinggi dalam dunia seni Perancis apabila beliau dianugerahkan 'Knight of the Order of Arts and Letters'. Penghargaan ini mengiktiraf sumbangannya yang besar dalam dunia fesyen dan seni. Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati, menyampaikan anugerah ini, dengan aktres dan muse Balenciaga, Isabelle Huppert, memberikan penghormatan kepada Demna dalam ucapannya.

Peter Copping Membuat Debut di Lanvin

Bekas pereka Oscar de la Renta, yang juga pernah berkhidmat di Nina Ricci, Louis Vuitton dan Sonia Rykiel, mempersembahkan koleksi pertamanya untuk Lanvin semasa Paris Fashion Week Men's AW25. Peter menyifatkan pertunjukan ini sebagai "sangat peribadi", satu penghormatan kepada dunia Jeanne Lanvin serta estetika feminin dan romantiknya. "Saya ingin menghidupkan kembali intipati almari pakaiannya dalam konteks hari ini, membayangkannya diabadikan dalam karakter moden," katanya.

Glenn Martens Kini Pengarah Kreatif Maison Margiela

Satu lagi berita besar dalam industri fesyen: Glenn Martens dilantik sebagai Pengarah Kreatif Maison Margiela. Pereka Belgium ini, yang sebelum ini terkenal menerusi Y/Project serta peranannya sebagai Pengarah Kreatif Diesel menggantikan John Galliano yang berundur Disember lalu selepas sedekad bersama jenama itu. Menariknya, seperti pengasas Maison Margiela, Martin Margiela, Glenn juga berasal dari Belgium dan merupakan graduan Royal Academy of Fine Arts di Antwerp.

Jacquemus Kembali ke Paris Fashion Week

Simon Porte Jacquemus menutup Paris Fashion Week Koleksi Lelaki dengan pertunjukan yang menjadi penghubung sempurna ke minggu Haute Couture. Koleksi terbarunya, bertajuk 'La Croisière', membayangkan Jacquemus yang ditubuhkan di Paris pada era 1950-an, menyuntik sentuhan couture ke dalam jenama yang kini berusia 15 tahun. Lebih menarik, pertunjukan ini turut memberikan gambaran awal mengenai kolaborasi terbaharu Jacquemus bersama Nike.

Artikel asal daripada ELLE UK.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down