Ia bermula dengan look rona perang berbalas helaian denim – seakan-akan menyengajakan imej acuh tak acuh bak perempuan Parisian, lantas merawat ingatan kita pada visual gaya Phoebe Philo dengan ketindihan citra Hedi Slimane. Michael Rider yang menggalas tugas sebagai Pengarah Kreatif CELINE baharu (selepas Hedi Slimane mengundurkan diri) umpama melangsungkan legasi kedua-dua mantan pengarah kreatif ini.

Ini adalah prolog Michael Rider di CELINE. “Kembali ke CELINE, dan ke Paris, kembali ke 16 rue Vivienne dalam dunia yang telah berubah, merupakan sesuatu yang penuh emosi bagi saya.”
Kurasi rekaan himpunan musim bunga/panas 2026 daripada Michael mencetus antisipasi. Kerana dia adalah anak didik Phoebe Philo serta berbekalkan pengalaman kerja untuk jenama Balenciaga dan Ralph Lauren. Lantas ada kenescayaan yang Michael tidak akan menghampakan peminat-peminat Celine. Berdasarkan pandangan, Michael menjamah aspek Phoebe Philo dan menyulam dialog rekaannya dengan DNA Hedi Slimane sedikit. Konsentrasi Michael kali ini adalah untuk tidak mahu menghidangkan sesuatu yang bersifat ekahala, sebaliknya mengahwinkan dua era Celine yang pernah dipimpin oleh dua pengarah kreatif yang berbeza.

Apakah ini satu ‘jamuan kepulangan’ untuk jenama Celine? Barangkali ya… untuk sesetengah pencinta jenama Celine ya melihat himpunan ini sepertikan satu kebangkitan semula, terutama sekali Philophiles.
Aspek prestij yang sinonim dengan Celine dikekalkan – mementaskan citra minimal bertemu dengan jiwa seorang pemberontak. Boleh dikatakan, dia merujuk hal-hal lampau dan menerapkan ia dalam bentuk kekinian. Attitude yang sememangnya satu naratif penting buat Celine, agak jelas kelihatan. Yang bertunas kepada aturan gaya-gaya yang tak makan dek zaman. Menurut Michael, dia membayangkan gagasan rekaan pakaian yang berkonsepkan hands me down. Biar berpanjangan, mendukung landasan regeneration dalam fesyen.

Rona-rona muted serta asas menyimbah pentas Celine. Ceraian-ceraian luar seperti kot trench, blazer berkolar lapel lebar dan kardigan menjadi pilihan Michael dalam mencorakkan siluet rekaannya. Ditambah lagi aspek accessorising yang memperhebat keseluruhan penataan gaya. Tersisip mainan rona-rona seperti merah, hijau, biru serta biru firus, bagi menambah kontra pada dominasi rona-rona muted.
Mungkin ‘selamat’ bukan pertaruhan Michael, sebaliknya (sekali lagi diulangi), dia mahu mengetengahkantimelessness. Dia mengidealkan ia dalam cara berpakaian dan bagaimana setiap helaian itu ditakrifkan. Seperti bingkisan yang dia tulis dalam notanya, “Kerana ia menggambarkan jenama kami dan apa yang kami perjuangkan.” Michael berpegang pada mencipta memori dalam rekaan-rekaannya.

