
Met Gala merupakan acara yang paling dinanti-nantikan dalam dunia fesyen dan sering digelar sebagai malam fesyen terbesar dunia! Ia adalah singkatan kepada Metropolitan Museum of Art Costume Institute Gala — sebuah acara tahunan berprestij yang diadakan bagi mengumpul dana untuk Costume Institute di The Metropolitan Museum of Art, New York.
Ya, itulah lokasi ikonik di mana Blair Waldorf dan rakan-rakannya sering duduk di tangga besar, berada di hadapan muzium tersebut dalam siri Gossip Girl. Apa yang menjadikan Met Gala acara fesyen paling berprestij di dunia? Siapa yang bakal hadir, apakah tema tahun ini dan mengapa ramai yang menantikan acara ini? Teruskan membaca untuk ketahui segalanya tentang Met Gala 2025.
Tarikh dan Tempat Berlangsung
Met Gala biasanya berlangsung pada hari Isnin pertama bulan Mei, dan untuk tahun ini, ia akan diadakan pada Isnin, 5 Mei 2025. Para tetamu dijangka tiba di tangga ikonik bermula jam 4:30 petang waktu New York. Seperti biasa, acara ini akan berlangsung di dalam bangunan The Metropolitan Museum of Art di New York, yang akan bertukar menjadi pusat fesyen dunia pada malam gemilang itu.
Tema dan Pameran Met Gala 2025
Pameran tahun ini bertajuk 'Superfine: Tailoring Black Style', yang diinspirasikan oleh buku Monica L. Miller bertajuk 'Slaves to Fashion: Black Dandyism and the Styling of Black Diasporic Identity', diterbitkan pada tahun 2009. Pameran ini dibahagikan kepada 12 bahagian, setiap satu menampilkan elemen berbeza dalam gaya Black dandy, iaitu:
- Ownership
- Presence
- Distinction
- Disguise
- Freedom
- Champion
- Respectability
- Jook
- Heritage
- Beauty
- Cool
- Cosmopolitanism

Pengacara Met Gala 2025
Acara tahun ini akan dihoskan oleh nama-nama besar seperti Colman Domingo, Lewis Hamilton, A$AP Rocky, Pharrell Williams dan tentunya Anna Wintour. LeBron James pula diangkat sebagai pengerusi kehormat.
Selain itu, tradisi jawatankuasa hos turut dihidupkan semula dengan barisan selebriti dan penggiat seni seperti: André 3000, Chimamanda Ngozi Adichie, Jordan Casteel, Dapper Dan, Doechii, Ayo Edebiri, Edward Enninful, Jeremy O. Harris, Branden Jacobs-Jenkins, Rashid Johnson, Spike Lee dan Tonya Lewis Lee, Audra McDonald, Janelle Monáe, Jeremy Pope, Angel Reese, Sha’Carri Richardson, Tyla, Usher, dan Kara Walker.
Jemputan dan Kod Pakaian

Setiap tahun, sekitar 450 tetamu dijemput ke Met Gala. Untuk mendapat jemputan, seseorang itu perlu mempunyai pengaruh besar dalam dunia fesyen, hiburan, seni atau budaya. Antaranya termasuk selebriti terkenal, pereka fesyen, model, pengarah kreatif, editor majalah dan individu yang sedang mencipta nama dalam industri.
Setiap jemputan perlu mendapat kelulusan daripada Anna Wintour, Editor-in-Chief Vogue yang juga pengarah utama acara ini. Walaupun tiket dan kerusi boleh dibeli pada harga yang tinggi, kebanyakan tetamu dijemput secara eksklusif oleh jenama fesyen ternama seperti Chanel, Louis Vuitton atau Dior bagi mewakili mereka.
Kod pakaian Met Gala 2025 adalah “Tailored for You”, satu penghormatan kepada seni jahitan pakaian lelaki dan sut, serta bagaimana ia telah ditafsir semula oleh komuniti Black sepanjang zaman.
Cara Menonton
Walaupun Met Gala merupakan acara tertutup, anda masih boleh mengikuti kemeriahan karpet merah dari rumah! Livestream rasmi Met Gala 2025 akan disiarkan bermula jam 6:00 petang waktu New York (6:00 pagi waktu Malaysia pada 6 Mei 2025).
Siaran langsung ini boleh ditonton di semua platform digital Vogue serta di YouTube. Ia akan menampilkan temu bual eksklusif, sorotan karpet merah dan momen di sebalik tabir bersama hos seperti Teyana Taylor, La La Anthony dan Ego Nwodim.