Langgan

Menelusuri Sambutan Musim Panas Tommy Hilfiger

Di Resort Hilfiger, matahari, laut dan gaya santai berpadu sempurna saat jenama ini merakam kempen Musim Panas 2025 di Caribbean.
Oleh | TERJEMAHAN ELLE Malaysia
2 minit untuk membaca
Published: May 9, 2025
Gambar oleh Blackprints

Musim panas tiba lebih awal tahun ini, semuanya kerana sentuhan magis Tommy Hilfiger. Sejak dahulu lagi, jenama ini sinonim dengan gaya hidup Amerika yang dinamik, yakin dan effortless, dipersembahkan melalui koleksi pakaian yang mencerminkan semangat tersebut. Maka tidak hairanlah musim panas menjadi latar semula jadi buat rekaan-rekaan terbaru yang ringan dan breezy, sempurna untuk hari-hari yang panjang, disinari cahaya serta kehangatan yang membelai.

Tahun ini, Tommy Hilfiger mencipta percutian idaman menerusi The Hilfiger Resort, bertempat di sebuah pulau tropika di Caribbean. Mengambil alih Soho Beach House Canouan di St. Vincent and the Grenadines, jenama ini menyulap syurga tersebut menjadi taman permainan penuh gaya yang dihiasi rona merah, putih dan biru yang berpadu indah dengan cahaya keemasan senja dan laut jernih bak kristal.

Victoria Montanari, Angelina Frerk, Ryan Prevedel, Dolma Lisa Dorjee, Calum Harper. Gambar daripada Tommy Hilfiger
Abby Champion. Gambar oleh Blackprints
Nicolas Vives. Gambar oleh Blackprints
Dolma Lisa Dorjee. Gambar oleh Blackprints

Identiti gaya Tommy Hilfiger sering dirangkum sebagai ‘Prep with a Twist’ dan koleksi musim panas kali ini kekal setia pada formula tersebut. Jenama ini mempersembahkan siluet klasik yang diberi sentuhan segar, sempurna untuk petualangan musim panas yang disinari mentari dan disapa percikan ombak. Daripada gaya resort yang sofistikated untuk acara senja, hinggalah pilihan santai yang mudah disarung dan ditanggalkan di tepi pantai, semuanya tersedia dengan penuh gaya.

Abby Champion dan Patrick Schwarzenegger

Senarai tetamu di The Hilfiger Resort ibarat himpunan bintang dari dunia fesyen dan hiburan. Patrick Schwarzenegger hadir bersama tunangnya, supermodel Abby Champion, sejurus selepas kemunculannya yang mencuri perhatian dalam 'The White Lotus'. Turut memeriahkan suasana ialah pelakon Madelyn Cline, Lukas Gage, Michael Rainey Jr. dan Anupam Tripathi, serta influencer terkenal seperti Irene Kim dan Noel Robinson.

Irene Kim. Gambar oleh Tommy Hilfiger

Empat hari di The Hilfiger Resort ibarat sebuah pelarian fantasi yang menjadi nyata, sekaligus menampilkan versatiliti koleksi Musim Panas 2025 Tommy Hilfiger. Daripada gaun ringan dan kemeja santai hinggalah sut potongan lembut yang cukup relaks, setiap helaian direka untuk mengiringi pelbagai detik musim panas, sama ada menikmati koktel senja di jeti, belayar dan menyelam di perairan jernih Tobago Cays atau menjamu selera makanan laut segar di pulau berdekatan Mayreau sambil menikmati segelas piña colada.

Gambar oleh Tommy Hilfiger


Malam terakhir di The Hilfiger Resort diraikan dengan penuh meriah apabila Tommy Hilfiger dan isterinya, Dee, hadir untuk menikmati makan malam di tepi pantai. Kami turut meraikan hari lahirnya pada malam tersebut. Bola disko yang berkilauan menghiasi kawasan pasir, menjadikan pantai itu lantai tari sejurus selepas makanan dihabiskan. Sebagai penutup sempurna, Tommy Hilfiger membawa semua tetamu ke sebuah parti kejutan di kelab unik yang luarannya menyerupai pondok pantai, namun terletak tinggi di atas bukit, dengan bumbung terbuka yang menghadap pulau dan laut yang terbentang luas.

Artikel asal daripada ELLE Singapore.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down