
Selepas minggu yang sibuk dengan pertunjukan fesyen bertali arus di Milan, saya dibawa jauh daripada hiruk-pikuk kota ke pesona Florence yang tenang, tanah kelahiran Ferragamo. Namun, ia bukan sekadar persinggahan sahaja. Ini adalah jemputan untuk melangkah ke dunia penuh warisan sebuah maison yang disanjungi, tempat di mana kemahiran dan keanggunan bertaut indah.
Osmannoro: Nadi Ferragamo
Terletak di antara bukit-bukit Tuscany, fasiliti Osmannoro jauh daripada pentas gemerlapan dunia fesyen. Namun di sinilah kasut-kasut paling dihormati dalam industri mula tercipta. Kami disambut dengan keramahan oleh pasukan Ferragamo, termasuk Ketua Operasi Manovia Shoes Atelier, Igor Borgatti, dan Pengarah Kasut Emanuele Radicchi. Bersama, mereka membawa kami menyusuri perjalanan yang jarang dapat disaksikan, di mana kemewahan bermula bukan di pentas peragaan, tetapi di tangan para artisan.

“Setiap kasut Ferragamo bermula dengan lakaran,” kongsi Radicchi sambil menunjuk ke dinding yang dipenuhi reka bentuk. “Kemudian kami meniupkan roh ke dalamnya.”
Daripada konsep awal kepada hasil akhir, setiap langkah dicipta di sini. Lakaran diubah menjadi render 3D menggunakan software canggih, sebelum acuan kayu dibentuk untuk meniru bentuk kaki dengan ketepatan. Reka bentuk yang diluluskan kemudian diuji melalui model awal, di mana cebisan kulit mewah dipotong, disusun, direkat dan diperhalusi dengan tangan. Jahitan hanya bermula setelah setiap perincian disemak teliti.
Setiap artisan yang kami temui begitu tekun dan penuh bangga. Di Ferragamo, setiap stesen dipegang oleh seorang artisan, satu bukti komitmen rumah ini terhadap kecemerlangan. Bahkan fasa terakhir seperti pembungkusan dilakukan di sini juga, memastikan setiap pasangan sepatu menyerap sepenuhnya DNA jenama. Melihat proses ini membuatkan saya benar-benar memahami makna sebenar di sebalik kemewahan. Ia bukan sekadar glamor atau permaidani merah, ia tentang warisan, kemahiran dan pencarian keindahan serta mutu yang tidak pernah luntur. Florence, dengan langitnya yang bersinar dan semangatnya yang abadi, menjadi latar sempurna bagi pencerahan ini.

Kraf Bertemu Konsep
Seterusnya kami melangkah ke bangunan bersebelahan di mana tempat lahirnya beg tangan Ferragamo, dan di mana rahsia ketukangan rumah ini terungkap melalui kulit lembut, siluet arca dan perincian yang halus. Di sinilah beg-beg paling ikonik Ferragamo dilahirkan, termasuk It-bag terkini, Ferragamo Hug, pilihan utama dalam kalangan selebriti dan peminat fesyen.

Atelier ini merupakan ruang magis di mana artisan moden bekerjasama rapat dengan pasukan reka bentuk dan Pengarah Kreatif Ferragamo Maximilian Davis. Di sinilah kreativiti dan ketelitian hidup seiring. Seperti yang dijelaskan oleh seorang artisan, “Dialog berterusan itu penting. Kami tidak sekadar menerima lakaran dan menirunya. Kami berbicara, tentang pergerakan, struktur dan emosi.”
Ini amat penting dalam penciptaan bentuk unik seperti beg Ferragamo Soft yang dikenali kerana aliran lembutnya, atau Ferragamo Hug yang lebih berseni bina, yang menuntut perhatian tepat terhadap struktur dan keseimbangan.
Segalanya bermula dengan lakaran. Daripada lakaran, model teknikal atau “pola kertas” dicipta untuk menentukan dimensi, lengkung dan proporsi beg dengan teliti. Tujuannya: menghormati visi asal Creative Director sambil memastikan kepraktisan dan impak visual terjaga.
“Setiap beg ada ceritanya,” ujar seorang juruteknik kanan. “Kami mengambil inspirasi daripada pereka, namun kamilah yang menterjemahkan ia menjadi produk yang setia pada warisan dan seni Ferragamo.”

Di Osmannoro, para artisan menghasilkan prototaip pertama secara manual menggunakan kulit dan logam berkualiti tinggi dari Itali. Setiap elemen, daripada lapisan dalam hingga zip dan butang, diuji dan ditapis. Setelah prototaip dimuktamadkan, ia dinilai bukan sekadar untuk estetika, tetapi juga dari segi fungsi: bagaimana ia terletak, rasa di tangan dan bagaimana ia dibuka dan ditutup.
Semua peringkat akhir, daripada sapuan warna di tepi, jahitan tangan ke penggilapan, dilakukan di bawah satu bumbung. Ini membolehkan kawalan mutu sepenuhnya. Fasa terakhir ialah the final touches: pemeriksaan rapi, pembungkusan dan dalam sesetengah kes, customisation.
Beg Ferragamo Hug adalah manifestasi sempurna antara ketukangan teknikal dan reka bentuk kontemporari. Dengan pemegang tegas dan kepak kulit yang melingkar seperti pelukan, ia kini menjadi simbol rumah Ferragamo, menyuarakan kehangatan, perlindungan dan keintiman, semua nilai yang ditanam Maximilian dalam visinya untuk jenama ini.
Palazzo Feroni, di mana warisan dihidupkan

Perhentian seterusnya: Palazzo Feroni, kediaman bersejarah Salvatore Ferragamo di tengah-tengah Florence. Kami dibawa menyusuri bangunan agung ini yang bukan sahaja lambang legasi Ferragamo, malah ruang peribadi yang penuh cerita, seni dan inspirasi.
Dibeli pada era 1930-an, palazzo abad ke-13 ini dijadikan kediaman keluarga dan pusat operasi Ferragamo. Pernah berfungsi sebagai kilang utama tempat kasut dihasilkan, gabungan sempurna antara kehangatan rumah dan kreativiti profesional.
Kami menyingkap sejarah keluarga Ferragamo yang megah. Daripada persahabatan rapat Salvatore dengan Christian Dior sehingga hubungan eratnya dengan era keemasan Hollywood, di mana ciptaannya menjadi kegemaran Marilyn Monroe, Audrey Hepburn dan Greta Garbo.
Namun lebih daripada fesyen, Ferragamo juga pencinta seni sejati. Setiap ruang di palazzo dihiasi karya seni dan perabot antik yang dipilih rapi, masing-masing membawa kisah. Ada salon dihiasi lukisan berabad usia, ada bilik kerja peribadi yang sarat buku langka dan lakaran asli. Seperti menyusuri muzium hidup yang bernafas.
Menjejak Langkah Sang Maestro

Dan saat kami menyangka segalanya telah dilihat, satu destinasi terakhir menanti, Museo Salvatore Ferragamo, yang terletak di dalam dinding palazzo itu sendiri.
Diasaskan pada 1995 oleh keluarga Ferragamo, muzium ini diwujudkan untuk menghormati legasi luar biasa Salvatore dan berkongsi perjalanan seninya dengan dunia. Ia adalah khazanah arkib: prototaip kasut dari era 1920-an, skaf sutera, lakaran, acuan kayu kaki selebriti, bahkan surat dan paten peribadinya.

Paling mempesona adalah bagaimana Salvatore menyatukan seni kraf dan sains. Seorang perintis sejati, dia mempelajari anatomi di University of Southern California bagi memahami cara mencipta kasut yang cantik dan selesa, sesuatu yang belum pernah dilakukan pada waktu itu. Ciptaan ikonik seperti cork wedge dan invisible sandal dipamerkan dengan penuh penghormatan, membolehkan pengunjung menghargai estetik dan kejuruteraan di sebalik setiap rekaan.
Pameran dalam muzium turut meneroka tema yang dekat dengan identiti rumah ini, seni, seni bina, kelestarian dan sinema, membuktikan bahawa kerja Ferragamo sentiasa mendahului zaman. Menjejak langkah dalam muzium ini seakan menyelami minda seorang maestro. Setiap ruang menyingkap wawasannya, minatnya dan semangat perintis yang membara. Penutup hari yang sempurna: bukan sekadar memerhati kemewahan, tetapi benar-benar menyelami warisan yang melatari setiap inci daripadanya. Kini, legasi Salvatore diteruskan oleh anak-anaknya, termasuk Leonardo Ferragamo, anak kelima Salvatore dan isterinya, Wanda Ferragamo.