Kempen terbaru Max Mara adalah penghormatan kepada 'wanita hebat' di seluruh dunia, dan cara terbaik untuk menandai kesempatan ini adalah dengan memperkenalkan keperluan baharu dalam dunia sut: jaket Olimpia – pakaian penting yang melambangkan komitmen jenama ini terhadap kualiti dan keanggunan kuasa halus.
Dikenali dengan gabungan keanggunan dan fungsi harian, Max Mara telah lama memperjuangkan idea bahawa pakaian harus berkembang selaras dengan pelbagai kompleksiti kehidupan. Menjadikan pakaian kerja bergaya sebagai terasnya, jenama ini membuktikan bahawa sut boleh menjadi sepenuhnya feminin, terutamanya apabila direka daripada fabrik lembut seperti kasmir dan sutera dalam tona neutral.
Kempen yang diambil oleh jurugambar Oliver Hadlee Pearch di jalanan sibuk London, model Bibi Breslin mengenakan jaket Olimpia seakan dalam perjalanan harian. Pelakon Joey King – salah seorang daripada Wanita Hebat Max Mara – turut memakai jaket ini dalam kempen tersebut dan baru-baru ini, dia juga dianugerahkan Max Mara Face of the Future 2024, sebahagian daripada Anugerah Women in Film di Los Angeles pada 24 Oktober lalu.
Dibuat daripada bulu unta tulen yang ringan, jaket ini menampilkan bahu lebar, rekaan berkancing dua, dan siluet oversized yang kemas. Dipadankan dengan seluar sut, kemeja putih bersih, leher tinggi yang selesa, atau vest hitam ringkas, jaket Olimpia menambah sentuhan elegan kepada pakaian kerja.
Menurut jenama ini, nama Olimpia yang merujuk kepada mitologi Greek, membawa maksud ‘wira wanita’ dan naratif di sebalik kempen ini mencerminkan etos abadi Max Mara di mana setiap wanita memiliki potensi untuk menjadi luar biasa, tanpa mengira jalan yang ditempuhnya. Kempen ini mengingatkan bahawa fesyen boleh menjadi perisai dan simbol ekspresi ketahanan bagi yang memakainya.
Beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan kebangkitan semula sut, yang kini mendefinisikan semula kuasa berpakaian melalui rekaan yang lebih berstruktur. Koleksi-koleksi pakaian terbaru juga membuktikan bahawa trend sut ini akan terus bertahan, dengan jenama seperti Saint Laurent, Bottega Veneta, dan Vivienne Westwood bersama Max Mara yang mengangkat pendekatan sut lebih lembut dan sesuai untuk pemakaian seharian.
Artikel asal daripada ELLE UK.