Manolo Blahnik menaruh penghargaan kepada setiap hal yang berkaitan dengan kegemarannya untuk himpunan musim luruh 2024. Bersandarkan minatnya pada kesenian seperti flamenco Sepanyol, sinema klasik, seni Surreal dan memelihara citra yang tak makan dek zaman – lanjutan ilham itu bersemi menjadi himpunan rekaan yang bersifat eklektik, inovatif dan yang paling penting, mementingkan unsur pencerminan identiti Manolo.
Setiap aspek dipedulikan. Manolo Blahnik memusatkan perhatian pada mutu ketukangan, yang menjadi teras utama dalam himpunan kali ini dan sekaligus, memperelok ciri-ciri distingtif. Perincian seperti ropol-ropol ekspresif dan lisu-lisu mendasari ilham penari-penari flamenco yang mencerminkan keasalan Manolo Blahnik dari Sepanyol. Keratan jejaring melengkung yang memimik perincian minimalis perabot dari era pertengahan abad dan jahitan berona kontra serta bahagian tepian berona merah jambu pula menambah nilai artistik. Sinkronisasi Manolo Blahnik dan kecintaan pada seni tidak tergencat di pertengahan. Contohnya, dia malah meneliti seni serta seni bina Surrealist dalam mencorakkan rekaan-rekaannya. Selain itu, gegelang bersulamkan manik adalah inspirasi yang dikutip daripada sifat elegan Rita Hayworth dalam filem 'Gilda' dan menggambarkan pengaruh sinema klasik Manolo Blahnik. Sama juga dengan rekaan kasut but suede lembut yang dicedok daripada karakter Julie Christie dalam filem klasik.
Manolo malah meneliti susuk jijak Maharani Josephine Bonaparte dalam sinema serta potret, lantas membuahkan idea untuk mencipta set gancu berkilau, dengan hiasan kristal baguette dan tumit kaki melengkung. Di samping itu, Manolo turut mempamerkan kecintaan kepada warisan Scottish dan mengolah ia dengan material Hebridean tweed serta flannel. Manakala rangkaian ikonik Maysale pula diperbaharui gayanya agar tampil lebih mewah dalam material baldu berona jewel-tone.
Manolo Blahnik menyeimbangkan warisan dengan kemodenan. Seperti sandal, flats dan kasut sarung yang dilengkapi aksesori loyang bagi menonjolkan kemahiran kerja logam tukang-tukang yang mahir. Rangkaian kasut pengantin pula diubah gayanya dalam rona putih pudar, yang disempurnakan lagi oleh perhiasan dan siluet baharu. Sekali lagi, Manolo Blahnik mengekalkan citra elegan dan bijak dalam menyatukan ia dengan permintaan masa kini. Himpunan musim luruh dingin 2024 masih menegapkan kreativiti serta kualiti kraf tinggi dan tidak meminggir inovasi dan teknik cemerlang.