David Burleson (daripada @whatspoppin) menyampaikan pandangannya mengenai himpunan Tory Burch musim luruh/dingin 2025. Bilang David, “Saya suka kesemuanya. Tekstur, rona…everything!” Benar. Pentas Tory Burch musim luruh/dingin 2025 cetus kesukaan saat melihat keseluruhan himpunannya. Keluar sahaja model Mona Tougard mempersembahkan look pertama – helaian biru kelasi yang sarat dengan tekstur rambu-ramba bulu, bersama seluar split hem pada hujung kaki – mengikat perhatian, Tory Burch memvisualkan citra stail wanita mayapada.

Kanvas Tory Burch kali ini bukanlah hanya ilusi kesukanan Amerika sahaja. Bidikan tuju Tory Burch adalah mahu memodenkan rupa, menyanggupi cabaran untuk mengganti haluan. Ia berlawanan dengan kelaziman sifat kesukanan, namun tidak keciciran – semangat sukan masih tersisip menghiasi rekaan, namun berpadu dengan aspek unik seperti permainan pola, penataan gaya, tekstur serta rona.
Runtutan masa di New York Fashion Week berlanjutan ; bertamu ke MoMa (The Museum of Moden Art) di tengah-tengah rimba Midtown Manhattan, yang merupakan lokasi pilihan Tory Burch musim ini. Mendapat tahu pertunjukannya di MoMa, ia lekas menjentik rasa kagum. Serasa berada dalam momen a night at the museum. Apalagi Tory Burch merencanakan perjalanan cerita himpunannya kali ini di ruang pertunjukan dua aras, dengan barisan hadapan yang diduduki nama-nama besar seperti Amanda Seyfried, Ciara dan Martha Stewart.

Pendirian sukan Amerika bersebati sejiwa dengan Tory Burch, yang sedapat mungkin tidak mahu mengubur semangat tersebut dalam nada rekaannya. Umpama biarlah tersimpan aspek sukan dalam ‘graha khazanah’ fesyen Tory Burch. ‘Twisted American sportswear’ –tertulis dalam nota pertunjukannya. Kegeligaan Tory Burch adalah kehebatannya mentransformasikan citra itu, kena dengan selera wanita-wanita ultra-moden. Contohnya, ada beberapa gaya di atas pentas mempamerkan vest berbahu jatuh, dipadankan dengan kemeja oversized berlengan lebar berserta seluar split hem, yang sememangnya membudayakan imejan wanita urban. Siluet baju ragbi serta seluar sukan pun membuat kemunculan, namun disuntik oleh konsep baharu.
Cerminan itu bertumbuh sepanjang pertunjukan. Tory Burch mencorakkan aspek itu dalam gaya merupa corpcore, mendekatkan kita pada imej-imej wanita korporat dalam interpretasi unik. Lantas, konsep tailoring memainkan peranan. Gaya-gaya semi formal seperti blazer serta jaket kulit utilitarian terlihat, dimadukan bersama helaian-helaian bersifat kesukanan, seluar klasik dan skirt-skirt ladylike. Malah ada juga helaian korduroi dengan tekstur kontra, yang seakan-akan memimik topstitching details, jika sekilas memandangnya.
Pada dasarnya, Tory mengubah rangkupan paradigma klasik, membutirkan kemewahan craftsmanship.Kardigan kemas yang bahagian lengannya dipotong, seluar sukan diperbuat daripada jersi brushed Jepun, manakala baju panas disulam elok untuk memimik tekstur tweed. Ia bersangkut paut dengan kehendak wanita sendiri dalam mendefinisikan ‘klasik’ dan setiap helaian ini digambarkan sebagai item yang tak terganti berurutan masa.
Menyambung bicara fasal tekstur, musim luruh/dingin 2025 kali ini menggunakan fabrik-fabrik tidak konvensional, antaranya seperti labuci dan brushed alpaca, yang mempertingkatkan nada elegan tekstur. Sejujurnya, aspek fabrication cukup unik, malah ada tersisip sekali material kaitan (pada rekaan dress) yang menyerupai visual trompe l’oeil.

Aksesori-aksesori musim ini – seperti beg tangan dan kasut – dihidangkan dalam rupa yang di luar jangkaan. Tory Burch mengembalikan The Twisted Pump daripada himpunan musim sebelumnya, dengan rekaan T-strap yang kelihatan unnatural serta sandal bertali belakang. Rangkaian beg tangan pula diperbuat daripada material kulit, namun siluetnya lembut. Seperti beg Pierced serta beg Balloon, malah beg Eleanor dibarui rupanya untuk tampil seakan-akan pillowy.