Musim bunga/panas 2025 umpama tidak berkeputusan menampilkan bintang-bintang ternama sebagai 'watak utama' dalam kempen fesyen mereka. Antaranya, peneraju siri 'The White Lotus' musi ketiga yakni Lalisa Manobal untuk Louis Vuitton!
Lisa dan Saoirse Ronan Subjek Laurent Grasso
Bicara seni bukan sekadar di lidah. Nicolas Ghesquière menerobos masuk ke kotak fikir artis Perancis bernama Laurent Grasso, menjunjung tinggi karya seninya sebagai sendi ilham Louis Vuitton musim bunga/panas 2025 – terkurasi oleh Nicolas untuk diintegrasikan dalam beberapa looks dan aspek tersebut berlanjutan ke kempen fesyen kali ini. Nicolas menghebahkan jiwa juang seninya dengan mengutip karya seni Laurent daripada siri ‘Studies Into the Past’, yang menampilkan gambaran surrealistic, segi empat hitam, pembentukan sempadan serta semula jadi yang tak ‘dijamah’, sebagai latar belakang imej kempen. Yang dihiasi oleh dua bintang teraju utama, yakni Lalisa Manoban dan Saoirse Ronan.
Fragmen Emosi Yara Shahidi dan George McKay

Membentangkan jendela fikir Sabato De Sarno pula, selaku Pengarah Kreatif Gucci, dia menyorot animo untuk mencantumkan dua jiwa dalam gambaran yang ‘tergantung rasanya’ dengan suluhan cahaya yang seolah-olah halus untuk dilihat melalui mata kasar. Dua pelakon ternama, Yara Shahidi dan George McKay dipilih untuk membintangi kempen fesyen Gucci musim bunga/panas 2025 kali ini, terlihat seperti melayang dalam buana ciptaan Sabato dan menjelmakan suatu karakter yang mempu menyatakan fragmen emosi tersebut dalam gerak isyarat yang subtle. Kempen ini diarahkan oleh Xavier Dolan, yang mengorkestrakan jalinan cerita Yara dan George bertemu dalam dunia realiti namun kualitinya merupa sebuah mimpi.
Muzik + Filem Gracie Abrams

Rasa megah menggayakan Chanel di acara-acara ternama berpahat dalam jiwa Gracie Abrams. Gracie meniupkan semangat Chanel girl, lantas menjadi wajah kempen fesyen Chanel musim bunga/panas 2025 pre-collection dan duta jenama. Di bawah bimbingan arahan seni Sofia Coppola, Chanel menugasi Craig McDean untuk menangkap imej Gracie, mengharmonikan fotografi, muzik dan filem dalam kempen ini. Aspek-aspek ini didorong oleh citra moden serta sifat kewanitaan yang setujuan dengan buana Chanel. Gracie memerankan watak sempurna kendirinya sebagai wirawati filem, memberi penghormatan buat karakter-karakter Sofia Coppola.