Hanya seminggu selepas meraikan ulang tahunnya yang ke-51 dalam sebuah soirée penuh gaya di London, Kate Moss tampil di Paris untuk menghadiri pertunjukan Dior Men musim luruh/sejuk 2025 – dan nampaknya dengan kot yang sama seperti yang dipakai semasa majlisnya.
Supermodel ini duduk di kerusi barisan hadapan Dior Homme, diapit oleh Gwendoline Christie dan atlet lawan pedang Olimpik, Miles Chamley-Watson. Moss memilih kot bulu hitam kasar bersaiz besar, sudah menjadi gaya ikoniknya selama ini.
Peminat setia Moss mungkin masih ingat dia pernah memakai kot serupa untuk sebuah parti pada tahun 2003 dan kembali menyarungnya pada acara-acara lain pada tahun 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2015. Jika anda memerlukan bukti bahawa kot yeti hitam klasik adalah pelaburan fesyen yang berbaloi dan kekal relevan sepanjang zaman, ini adalah contoh sempurna.
Untuk pertunjukan Dior Homme terbaharu oleh Kim Jones, Moss turut memperlihatkan satu lagi gaya kegemarannya: trend pakaian dalam sebagai pakaian luar. Di bawah kot tersebut, model ini menyarung gaun sutera berwarna mutiara yang dibiarkan terbuka sedikit di bahagian atas, mendedahkan sedikit bra renda hitam (gaya yang diambil terus daripada pentas peragaan Dior)
Moss melengkapkan penampilannya yang chic dengan beberapa elemen lain yang turut menjadi gaya signature baginya, termasuk stiletto vintaj hitam Vivienne Westwood yang bertatahkan studs, rambut blonde yang dibiarkan beralun secara effortless, solekan minimal, mata smoky yang subtil dan dilengkapkan dengan timbunan gelang logam bertemakan ular – mirip dengan aksesori daripada koleksi Zara yang laris baru-baru ini. Well, jika sudah elok, tak perlu diubah lagi.
*Artikel ini telah diterjemah daripada ELLE UK dan gambar diambil dari Launchmetrics Spotlight.